Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Scoot tawar baucar bayar balik, SIA ketepi yuran tempahan semula kerana COVID-19

Scoot mengumumkan pada Isnin (16 Mac) bahawa pihaknya akan menawarkan baucar bayaran balik dengan serta merta, bagi nilai penuh tempahan yang dibuat pada atau sebelum 15 Mac dan untuk perjalanan sehingga 31 Mei, 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Scoot tawar baucar bayar balik, SIA ketepi yuran tempahan semula kerana COVID-19

Gambar fail pesawat Scoot, Silkair dan SIA di landasan Lapangan Terbang Changi (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 16 Mar 2020 03:26PM Dikemas Kini : 16 Mar 2020 03:34PM

SINGAPURA: Scoot mengumumkan pada Isnin (16 Mac) bahawa pihaknya akan menawarkan baucar bayaran balik dengan serta merta, bagi nilai penuh tempahan yang dibuat pada atau sebelum 15 Mac dan untuk perjalanan sehingga 31 Mei, 2020.

Baucar tersebut sah digunakan selama tempoh 12 bulan, apabila para pelanggan yang perlu menjadualkan semula rancangan mereka boleh melakukan demikian.

Langkah itu diambil setelah Singapore Airlines mengumumkan bahawa ia akan mengetepikan yuran tempahan semula bagi tiket penerbangan yang dikeluarkan pada atau sebelum 15 Mac.

Bagi memudahkan proses tersebut, Scoot menyatakan ia akan melancarkan portal layan diri untuk semua pelanggan yang memenuhi syarat mendapatkan baucar. Memandangkan portal itu akan dibuka tidak lama lagi, Scoot menggalakkan para pelanggan untuk hanya menghubungi mereka mengenai baucar tersebut jika penerbangan mereka dijadualkan dalam tempoh masa 72 jam akan datang.

Selain baucar, Scoot juga menawarkan perubahan tarikh sekali sahaja secara percuma, namun pelanggan masih dikehendaki membayar perbezaan tambang. Tawaran ini termasuk semua tempahan yang dibuat di laman web, app mudah alih atau laman tempahan mini WeChat milik Scoot antara 15 Mac dengan 31 Mei.

Penukaran tarikh sekali saja secara percuma itu boleh digunakan sehingga empat jam sebelum waktu pelepasan penerbangan untuk perjalanan yang dijadualkan hingga 31 Mac, 2021.

Jika tempahan dibuat melalui saluran pihak ketiga atau agensi pelancongan, Scoot menasihati supaya penumpang menghubungi saluran atau ejen berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

SIA KETEPI YURAN TEMPAHAN SEMULA TIKET

Pada Ahad (15 Mac), syarikat penerbangan negara Singapore Airlines (SIA) mengumumkan langkah mengetepikan semua yuran tempahan semula bagi tiket-tiket yang diedarkan pada atau sebelum 15 Mac dengan serta merta.

Ini adalah bagi sebarang perjalanan hingga 31 Mei.

"Para pelanggan boleh membatalkan rancangan penerbangan sedia ada, mengekalkan nilai tiket mereka dan buat tempahan semula pada tarikh kemudian apabila mereka sudah mendapat kepastian tentang rancangan perjalanan mereka," kata SIA dalam catatan Facebook pada Ahad.

Rancangan penerbangan baru itu perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2021.

SIA menambah bahawa dasar itu merangkumi kesemua penerbangan sehingga 31 Mei tahun ini, dan ia boleh dilanjutkan bergantung kepada perkembangan keadaan COVID-19 dalam minggu-minggu mendatang.

Semua yuran tempahan semula akan diketepikan. Namun para penumpang perlu membayar perbezaan harga tiket yang baru.

SIA juga akan mengetepikan yuran tempahan semula bagi semua tiket baru penerbangan SIA dan SilkAir yang diedarkan antara sekarang hingga 31 Mac ini.

Langkah-langkah tersebut diambil oleh syarikat-syarikat penerbangan menyusuli pengumuman pemerintah pada Ahad bahawa semua yang memasuki negara ini dengan sejarah perjalanan ke negara-negara ASEAN, Jepun, Switzerland atau United Kingdom baru-baru ini akan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah selama 14 hari. Arahan yang berkuatkuasa pada 16 Mac pada 11.59 malam, dikenakan ke atas semua pelawat kecuali warga Singapura dan rakyat Malaysia yang menyeberangi laluan laut dan darat dengan Malaysia.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan warga Singapura agar menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke luar negara dengan segera.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan