Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sate ayam dan daging - tapi ia bukan ayam atau daging ia sayur

Dari sate ayam tiruan hingga rendang daging tiruan, sebuah makmal canggih Singapura sedang meniru hidangan Asia yang popular dengan daging alternatif berasaskan sayuran untuk memenuhi permintaan meningkat di rantau ini bagi makanan mampan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sate ayam dan daging - tapi ia bukan ayam atau daging ia sayur

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 May 2021 12:11AM Dikemas Kini : 09 May 2021 12:42AM

SINGAPURA: Dari sate ayam tiruan hingga rendang daging tiruan, sebuah makmal canggih Singapura sedang meniru hidangan Asia yang popular dengan daging alternatif berasaskan sayuran untuk memenuhi permintaan meningkat di rantau ini bagi makanan mampan.

Pakar perisa dan saintis makanan menggunakan ekstrak tumbuhan di satu kemudahan yang baru dibuka untuk menghasilkan hidangan yang lazimnya berasaskan daging, namun kini bebas daging tanpa merubah rasanya.

Permintaan untuk makanan mampan di Asia, walaupun kecil berbanding di negara-negara Barat, meningkat seiring dengan kesedaran yang lebih meluas mengenai pemakanan yang sihat dan kebimbangan terhadap kesan persekitaran akibat pemakanan daging.

Burger dan nuget ayam berasaskan tumbuhan sudah boleh didapati di rantau ini, tetapi syarikat pemprosesan makanan Amerika Syarikat, ADM, sedang menumpukan usahanya pada hidangan dengan tarikan tempatan.

"Kami bekerja dengan tukang masak tempatan, bekerja dengan pelanggan tempatan untuk benar-benar mengembangkan dan menyesuaikan cita rasa dengan apa yang diperlukan di Asia," kata Encik Dirk Oyen, naib presiden dan pengurus besar Asia Tenggara syarikat untuk pemakanan manusia.

"Itu benar-benar kuncinya - jadi kami dapat menghasilkan rasa tempatan."

Makmal ADM sudah berjaya memasak sate dan rendang versi sayuran.

Ia berharap dapat menyempurnakan ramuan asas untuk makanan kegemaran itu dan memasarkannya kepada firma pengguna dan pasar raya.

Para saintis menggunakan teknologi canggih untuk menggabungkan zat pemakanan, tekstur, aroma dan rasa untuk mencipta alternatif kepada daging yang kaya dengan protein, terutamanya menggunakan kacang soya dan kacang pis.

Produk mereka meniru daging lembu, daging babi, ayam dan makanan laut dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Mereka juga mencipta produk daging yang diproses, seperti ham dan sosej tiruan.

MAKANAN ALTERNATIF DI ASIA

Asia sudahpun mempunyai beberapa makanan utama berasaskan tumbuh-tumbuhan, seperti tahu dan tempe, namun ADM berharap dapat menawarkan pilihan yang lebih luas dan canggih kepada pengguna.

Rasa bimbang mengenai kesan sekitaran memakan daging berpusat pada jumlah metana - sejenis gas rumah hijau yang kuat - yang dihasilkan oleh lembu, serta pembalakan hutan untuk memberi laluan kepada padang rumput.

Walaupun permintaan untuk alternatif daging semakin meningkat di Asia, syarikat seperti ADM masih menghadapi cabaran, daripada memujuk pengguna untuk mengubah tabiat makan lama hinggalah persaingan yang sengit.

Singapura sudah menempatkan beberapa syarikat pemula tempatan yang mencipta makanan mampan, termasuk makanan laut yang "dibiak dalam makmal" hingga ladu yang dibuat dengan buah-buahan tropika.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan