Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sasar 10,000 wanita berhijab berbilang bangsa, agama bagi pecah rekod S’pura

Bayangkan, Baghdad Street yang biasanya dikunjungi kaum Melayu yang makan dan bersembang di kafe, dibanjiri dengan 10,000 individu dari berlainan kaum dan agama pada satu-satu masa - semuanya sambil memakai hijab!

Anggaran Waktu Membaca:
Sasar 10,000 wanita berhijab berbilang bangsa, agama bagi pecah rekod S’pura

(Gambar: MODESTyle)

BERITAMediacorp: Bayangkan, Baghdad Street yang biasanya dikunjungi kaum Melayu yang makan dan bersembang di kafe, dibanjiri dengan 10,000 individu dari berlainan kaum dan agama pada satu-satu masa - semuanya sambil memakai hijab! Inisiatif tersebut demi memecahkan Buku Rekod Singapura bagi bilangan paling ramai orang memakai hijab pada satu-satu acara.

Itulah sasaran yang ingin ditepati platform online utama bagi fesyen sopan, MODESTyle sebagai penganjur Hari Hijab Sedunia (WHD) 2018, edisi Singapura.

Acara WHD tersebut akan diadakan di Baghdad Street pada hujung minggu ini (17 dan 18 Feb) dari 3.00 petang hingga 11.00 malam sempena gerakan yang diraikan di sekeliling dunia sepanjang bulan Februari.

Perhimpunan terbesar wanita memakai hijab itu akan diadakan pada 5.00 petang Sabtu ini (17 Feb).

(Gambar: MODESTyle)

Bersempena tema tahun ini iaitu untuk "memberi inspirasi bagi memperkasakan diri", acara WHD tidak mengaut keuntungan itu juga berhasrat menangani isu Islamofobia dan menyertakan elemen berbilang ras dan agama.

Editor pemasaran digital MODESTyle Fatin Khan memberitahu BERITAMediacorp: "Kami mahu memupuk sifat toleransi antara kaum, menangani tanggapan termasuk Islamofobia dan memperkasakan diri wanita. Kami ingin meraikan wanita dengan menghimpunkan mereka bersama.

"Ia bukan sahaja tentang memakai hijab, tetapi juga tentang menangani perspektif berbeza mengenai hijab. Kami menggalakkan wanita dari pelbagai kaum dan agama untuk mencubanya selama sehari."

26 GERAI PASAR LAMBAK, GALAK 'HIJAB-PRENEUR'

Sebagai penganjur kali pertama WHD di Singapura, MODESTyle turut berniat mendorong lebih ramai usahawan wanita, sekaligus memberikan tumpuan kepada usahawan hijab atau "hijab-preneur" sempena acara tersebut.

"Responsnya positif sejauh ini. 90 peratus gerai dan ruang pasar lambak sudahpun diambil. Selain itu, kami juga mempunyai kawasan di mana persembahan jalanan diadakan," kata Cik Fatin, yang berkongsi terdapat 26 gerai dan ruang pasar lambak kesemuanya.

Usaha tersebut juga dilakukan dalam bentuk fiesta berilhamkan karnival yang bakal menampilkan pelbagai jenama tempatan dan serantau. Ini termasuk penjualan hijab, aksesori dan pakaian.

Antara jenama yang ditampilkan termasuk Pure The Label, Ana & Azi, Moshka Collections, Waneeta, Modest Nour, Arina Collection, Modern Collezione, Zen Aura, Hijabified SG, Truly Muslimah, Inbihaar, Rauqah Sportswear dan Ettahir.

TERIMA SOKONGAN 'INFLUENCER' MEDIA SOSIAL

Selain itu, WHD edisi Singapura itu juga menerima sokongan beberapa personaliti media sosial sebagai Duta Singapura, sebagai sebahagian daripada gerakan global tersebut.

Personaliti-personaliti itu turut membantu mewar-warkan acara WHD sambil menceritakan pengalaman peribadi sebagai wanita berhijab menjelang acara hujung minggu ini.

Antara personaliti media yang terlibat termasuk Nurliyana Selamat, Wina Othman, Tiara Skadiang, Intan Amanina dan Aruni Musfirah.

Tiara Skadiang. (Gambar: Tskadiang/Instagram)

Menurut Cik Fatin, duta-duta tersebut juga bakal menghadiri acara dua hari itu bagi mendorong wanita pelbagai kaum dan budaya untuk memakai hijab bagi memupuk pemahaman dan toleransi lebih tinggi dalam kalangan masyarakat Singapura.

JAWATANKUASA WHD NEW YORK 'RESTU' EDISI S'PURA

Malah, acara WHD di Baghadad Street itu turut menerima 'restu' pihak penganjur utama di New York yang melancarkan gerakan tersebut. Ini sedang kejadian Islamofobia nampaknya semakin meningkat di sebahagian dunia, khususnya dunia Barat dan Amerika Syarikat.

"Jawatankuasa WHD di New York menyokong usaha kami selepas kami berkongsikan inisiatif itu. Pihaknya bahkan ingin kami terus meningkatkan kesedaran tentang hijab ke seluruh dunia," kongsi Cik Fatin daripada MODESTyle, yang turut bertindak sebagai penganjur bersama rasmi bagi Minggu Fesyen Singapura (SFW) tahun lalu.

"Ajak rakan-rakan anda berbangsa lain untuk turut serta dan mencuba hijab sambil mengambil bahagian dalam acara bagi memecah rekod itu. Kami mengalu-alukan peserta untuk datang dan berseronok!” ujar Cik Fatin lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan