Images
  • bunga telang
    (Gambar fail bunga telang)

Sarung batik bermotif bunga telang direka khas buat kaum lelaki

BACHOK: Kain sarung batik cukup sinonim dengan nilai estetika dan kebudayaan Melayu, bahkan suatu masa dahulu, peranannya cukup penting dan menjadi antara keperluan masyarakat sebagai pakaian harian.

Entah di mana silapnya, kain sarung batik kini dipandang sepi terutama oleh generasi muda. Malah, agak menyedihkan, apabila ada antara mereka tidak mengetahui cara memakainya.

Ledakan fesyen berjaya mempopularkan batik termasuk kain sarung yang dipelbagaikan gaya rekaannya dan penggunaan kain itu sangat akrab dalam tradisi masyarakat di Kelantan.

Jika batik lazimnya dibuat baju kemeja serta baju kurung serta pelbagai aksesori dengan motif flora, fauna dan geometri - yang rata-ratanya bersifat feminis, pereka di Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan, Mohd Nazlan Mat Nasir pula menjadikannya sebagai sarung bagi lelaki. 

Dinamakan Sarung Maskulin, rekaan khusus batik buat golongan lelaki yang mengetengahkan Bunga Telang sebagai motif rekaan utama itu dilihat mampu memartabatkan kain sarung yang bersandarkan nilai estetika tradisi negeri Kelantan.

“Idea ini tercetus apabila timbul keinginan untuk melihat transformasi kain pelekat yang dipakai oleh kaum Adam dan percaya ia mampu untuk menarik minat golongan remaja untuk memakainya secara santai.

“Lagipun Bunga Telang atau butterfly-pea sangat sinonim di Malaysia sebagai pewarna makanan berwarna biru/ungu khususnya bagi nasi kerabu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

TEKNIK BATIK SKRIN

Lebih istimewa, sarung maskulin berasaskan ‘batik’ cetusan kreatif pemuda berusia 37 tahun itu dihasilkan menerusi proses pembuatan batik secara canting, blok dan skrin.

Sebagai permulaan, anak jati Kota Bharu itu menghasilkannya melaluiteknik batik skrin yang mana proses pembuatannya lebih cepat daripada teknik membatik yang lain serta menjimatkan kos.

“Untuk menampakkan lagi imej sarung maskulin, elemen seni seperti garisan, jalinan, geometri dan abstrak yang berpaksikan motif Bunga Telang, diterap dan digabungkan berbagai rupa dan gaya. 

“Dengan pemilihan warna latar seperti ungu, kuning mustard dan turquoise, sarung maskulin ini dilihat mampu menarik minat ramai anak muda dan tua untuk digayakan,” jelasnya yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai pereka.

Bercerita lanjut, proses menghasilkan rekaan hanya mengambil masa seminggu manakala proses untuk menghasilkan reka corak, pembuatan batik dan jahitan produk siap mengambil masa selama sebulan.

MAMPU GANTIKAN KAIN PELEKAT

Biarpun masih dalam peringkat kajian dan pengembangan (R&D), hasil nukilan anak tempatan itu dilihat mampu mengambil alih penggunaan kain pelekat yang rata-rata diimport dari Indonesia.

Maklum balas yang diterima sangat positif terutama ketika sarung itu diperagakan di pentas pertunjukan fesyen yang diadakan baru-baru ini di Kelantan serta Kuala Lumpur. 

“Ini mampu menjadi satu evolusi dalam industri tekstil dan fesyen batik negara. Pemakaian kain pelekat yang diberi nafas baru - Sarung Maskulin daripada batik ini mampu memikat lelaki generasi kini yang semakin kurang menggunakan sarung,” katanya yang memulakan projek tersebut pada hujung tahun 2019.

Turut menjayakan projek Sarung Maskulin ialah Shakirah Halim dan Siti Nursyuhadah (pembantu pereka), Akmarizal Hamid (pakar pewarnaan), Che Nazaki Zahdi dan Mazlan Ab Ghani (pelaksana batik skrin).

Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail menjelaskan Kraftangan Malaysia kini dalam usaha memartabatkan Bunga Telang sebagai antara ikon rekaan negeri tersebut.

“Lazimnya, bunga berwarna biru itu sinonim dengan nasi kerabu yang menjadi antara bahan asas masakan tersebut sejak turun-temurun. Dan kini, kami mahu jadikan ia sebagai motif dalam rekaan batik, sekali gus membawa identiti negeri ini," katanya.

- BERNAMA/HA/ha

Top