Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Santapan diraja Melayu lebih mudah dinikmati masyarakat umum, usaha melestari khazanah Kesultanan Melayu

Santapan diraja kini lebih mudah dinikmati sama masyarakat umum hasil usaha untuk melestarikan hidangan golongan istana itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jun 2021 08:02PM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 05:21PM

BERITAmediacorp: Santapan diraja kini lebih mudah dinikmati sama masyarakat umum hasil usaha untuk melestarikan hidangan golongan istana itu.

Seorang cef dan cucu tukang masak keluarga diraja Pahang berkongsi usaha mereka kepada BERITAmediacorp dalam memperkenalkan keistimewaan sajian Kesultanan Melayu, melalui buku-buku resepi dan juga menu di restoran.

Kemewahan dan kelazatan santapan yang dinikmati oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja sering diperkatakan sejak berzaman.

Kini, hidangan yang sukar dirasai suatu masa dahulu, boleh dinikmati ramai dek kemampuan masyarakat dan perubahan citarasa.

Cef Norzailina Nordin bersama Profesor Shaharudin Ali, kedua-duanya dari Malaysia, membuat kajian tentang makanan diraja zaman kesultanan Melayu dahulu berdasarkan buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Hasilnya ialah novel fiksyen sejarah, Air Mata Raja.

"Kami dapat ilham untuk menghidangkan makanan berdasarkan buku Sulalatus Salatin antaranya ialah dagingnya. Masa itu daging rusa. Kami menyediakan daging rusa masak rendang dan juga ada kerabu dari rumpai laut yang diilhamkan oleh Seri Teri Buana.

"Semasa dalam perjalanan untuk membuka Temasek rombongan baginda terkandas di sebuah tempat. Di situ dayang-dayang telah mengutip rumpai laut untuk membuat kerabu dan juga siput barai," kongsi Cef Norzailina.

Berdasarkan rempah ratus yang diketahui pada zaman itu, Cef Norzailina menyediakan tiga resepi yang sering dinikmati keluarga diraja Perak.

Beliau menambah: "Dalam buku resipi Kesultanan Perak itu daging ini dipanggil daging bersemah. Kemudian, ada juga urap kangkung dengan pucuk paku. Sayur kangkung ini juga dikaitkan dengan pemergian Tun Pepatih Putih, orang besar Melaka ke negeri China pada zaman Sultan Mansur Syah.

"Nasi kunyit dengan minyak sapi juga disajikan sebab pada zaman Raja Ahmad iaitu anakanda kepada Sultan Mahmud Sultan Melaka yang terakhir, dikatakan beliau dihidangkan dengan nasi kunyit dan minyak sapi dihidangkan berasingan dalam bekas yang lain sebab masa itu zaman itu minyak sapi mungkin sukar diperolehi."

Bagi Maizumah Mohamud, Allahyarhamha neneknya adalah bekas tukang masak keluarga diraja Pahang, dan mencipta hidangan pencuci mulut yang menjadi kegemaran Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sebagai pewaris puding diraja yang dicipta lebih 40 tahun lalu itu, beliau memastikan ketulenan resipinya.

"Dulu, pencuci mulut ini tidak boleh dibuat di luar istana. Ia hanya boleh dibuat di dalam istana. Satu hari itu mungkin agaknya keadaan semasa, jadi arwah nenek saya meminta kebenaran dengan tuanku Sultan, masa itu Sultan Abu Bakar kalau tak silap untuk membuat pencuci mulut ini di rumah," kata Cik Maizumah.

Kini beliau mengusahakan puding diraja itu secara komersil.

Tambahnya: "Bila ia sudah tersebar, kebanyakan orang boleh membuatnya. Saya lihat cara hiasan tidak sama, rasa pun tidak sama. Rasa macam kecewa."

Beberapa usaha melestarikan sajian diraja telah dilakukan. Permaisuri Pahang, Tuanku Azizah Aminah yang terkenal dengan kemahiran memasaknya, menghasilkan buku resepi, Airtangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada 2005.

Istana Selangor juga telah melancarkan buku resepi dari bonda Sultan Selangor bertajuk “Dapur Istana Alam Shah" pada 2016.

Pada 2015, syarikat penerbangan Malaysia Airlines menyajikan menu hidangan Istana Johor dalam penerbangan.

"Kita harus bangga dengan makanan yang ada di dalam keluarga setiap kerabat. Saya rasa kalau kita yang tak memulakan usaha ini mungkin ia akan hilang begitu saja," ujar Cef Norzailina.

Bagi Cef Norzailina, kajian tentang resepi dan masakan Kesultanan Melayu masih ketinggalan berbanding golongan bangsawan di luar negara.

"Saya kira sehingga kini tidak banyak data-data tentang resipi-resipi zaman dahulu. Hanya dinyatakan sedikit sedikit sahaja dan daripada situ saya terfikir 'Oh begini cara dia mungkin begini caranya.'

"Berbanding dengan golongan golongan bangsawan di luar negara yang rekodnya tentang resipi memang banyaklah," tambah beliau.

Justeru, beliau berharap lebih banyak kajian mengenai masakan diraja diusahakan bagi generasi muda mengenali warisan khazanah Kesultanan Melayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan