Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Santai sambil jamu selera dalam gua ini di Kuching

Menikmati makanan mewah dan bersantai di dalam gua? Peluang itu bakal dinikmati tidak lama lagi di Sarawak apabila buat julung-julung kalinya, restoran dan bar di dalam gua bakal beroperasi awal tahun depan di daerah Bau, kira-kira 35 kilometer dari Kuching, Sarawak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Santai sambil jamu selera dalam gua ini di Kuching

(Gambar: Amansar Travel & Tours)

Diterbitkan : 28 Aug 2020 11:16PM Dikemas Kini : 30 Aug 2020 04:15PM

KUCHING: Menikmati makanan mewah dan bersantai di dalam gua? Peluang itu bakal dinikmati tidak lama lagi di Sarawak apabila buat julung-julung kalinya, restoran dan bar di dalam gua bakal beroperasi awal tahun depan di daerah Bau, kira-kira 35 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Terletak dalam gua lebih kecil bersebelahan Fairy Cave atau Gua Pari-Pari, yang terkenal dengan cerita legenda pari-pari di daerah Kuching projek itu hasil inisiatif Koperasi Komuniti Krokong di bawah Projek Transformasi Luar Bandar Dewan Undangan Negeri Serumbu.

Selain terkenal dengan cerita mitosnya, Fairy Cave menjadi pilihan pembikin filem untuk lokasi penggambaran di kawasan itu termasuk filem terbaru bertajuk, The White Rajah, kerana kaya dengan keindahan alam semula jadinya dan antara tarikan utama di daerah Bau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serumbu Miro Simuh, yang mempelawa Bernama mengunjungi tempat itu baru-baru ini, berkata berdasarkan kemajuannya, beliau yakin fasa pertama kerja-kerja naik taraf Taman Rekreasi Fairy Cave termasuk cadangan membina restoran dan bar dijangka siap hujung tahun ini.

“Restoran dan bar dalam gua itu boleh memuatkan 50 hingga 60 pelanggan dalam satu-satu masa dan dijangka dibuka awal tahun depan,” kata Miro.

Selain restoran dan bar, Miro berkata kerja-kerja naik taraf fasa pertama melibatkan pembinaan penginapan rumah panjang 10 pintu serta rumah baruk dan projek pengindahan sungai yang mengalir di hadapan gua itu melibatkan kos RM300,000 (S$98,000) daripada peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar tahun ini.

Beliau berkata sejumlah RM200,000 (S$65,000) akan diperuntukkan bagi fasa kedua tahun depan yang akan digunakan untuk membina pusat penjaja serta kemudahan lain termasuk kaunter bayaran.

“Dengan penambahbaikan kemudahan ini, saya optimis tempat ini akan menjadi tarikan dan dikunjungi lebih ramai pengunjung (pelancong tempatan dan asing) ke Fairy Cave dan kawasan sekitar Serumbu,” kata Miro.

Beliau menambah pelancong juga boleh melawat sembilan kampung berhampiran termasuk Kampung Gumbang berdekatan sempadan Kalimantana Barat manakala aktiviti lain yang dirancang termasuk mendaki tebing batu atau 'rock climbing', festival tahunan Fairy Cave, berkayak dan mengunjungi pasar minggu.

Selain daripada legenda mistiknya, Fairy Cave juga dipercayai memainkan peranan penting dalam sejarah Sarawak kerana anggota tentera Jepun pernah menggunakannya sebagai tempat persembunyian semasa Perang Dunia II. Ia juga digunakan bagi tujuan yang sama oleh pengganas komunis semasa tempoh pemberontakan pada tahun 1960-an. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan