Images
  • samsung s10
    (Gambar: Samsung/Facebook)

Samsung mula 'usik' pengguna dengan telefon terbarunya, Galaxy S10

SEOUL: Samsung Electronics Co. pada Rabu (13 Feb) memulakan kempen iklan untuk keluaran terbarunya, Galaxy 10, seminggu sebelum acara pelancarannya, lapor agensi berita Yonhap.

Upacara pelancaran tersebut dipanggil Galaxy Unpacked dan iklan terbaru yang dikeluarkannya itu jelas menunjukkan nombor '10'. Ini merupakan ulang tahun ke-10 model Galaxy syarikat Samsung.

Pengeluar telefon bimbit terbesar dunia itu menyatakan papan iklan gergasi dalam tulisan Korea dipasang di beberapa bandar utama dunia untuk menarik perhatian masyarakat mengenai model terbaru telefon pintar, Galaxy S10.

Antaranya di The Heeren Singapura, Times Square New York, Piazza del Duomo Milan, Callao Square Madrid dan Hydroproject Building Moscow.

Telefon pintar yang bertemakan "The future unfolds" itu akan mula dilancarkan secara rasmi pada 20 Feb di San Francisco.

Dilengkapi teknologi 5G dan boleh dilipat, model terbaru itu dijangka mampu memberikan saingan dengan produk keluaran Apple.  

- BERNAMA/AQ/aq

Top