Images
  • samsung galaxy fold 2
    (Gambar: Agihan/Samsung Electronics/AFP)

Samsung Galaxy Z Fold 2 dilancarkan

SINGAPURA: Telefon bijak lipat terbaru Samsung yang juga terbesar dikeluarkannya, menawarkan skrin sebesar tablet yang 12 peratus lebih besar daripada produk Galaxy Fold pertamanya.

Dilancarkan pada Selasa (1 Sep), skrin Galaxy Z Fold 2 berukuran 7.6 inci apabila dibuka. Skrin penutup pula sebesar 6.2 inci.

Ini adalah peranti lipat generasi ketiga Samsung.

Telefon berkeupayaan 5G itu juga adalah peranti boleh lipat termahal keluaran Samsung, pada harga AS$1,999 (S$2,720) di Amerika Syarikat berbanding AS$1,980 untuk Galaxy Fold yang dilancarkan tahun lalu. Ia akan dijual pada harga £1,799 di UK.

Telefon ini dipacu oleh cip pemroses Qualcomm Snapdragon 865 Plus dan dilengkapi dengan RAM 12GB dan keupayaan simpanan 256GB yang tetap kerana peranti ini tidak dilengkapi dengan soket khas untuk kad microSD.

Fold 2 dilengkapi tiga kamera di bahagian belakang peranti, kesemuanya dengan penderia 12MP, memberikan anda keupayaan ultra-lebar, sudut lebar dan telefoto. Anda juga boleh menggunakan kamera semasa telefon tidak dibuka sepenuhnya.

Model baru itu dikeluarkan di tengah-tengah pasaran yang mencabar dengan ketidaktentuan ekonomi yang diwujudkan oleh pandemik COVID-19, menyebabkan permintaan hambar bagi telefon bijak mewah.

Meskipun dengan pelancaran barisan Galaxy S20 premium pada Mac, Samsung tetap mengalami prestasi yang buruk. Penjualan telefon bijak pada suku kedua menjunam 30 peratus dan syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu hilang kedudukannya sebagai penjual telefon bijak terbesar di dunia kepada pesaing China, Huawei, menurut firma penyelidikan Canalys.

Ditawarkan dalam dua warna - hitam mistik (mystic black) dan gangsa mistik (mystic bronze) - Galaxy Z Fold 2 akan mula dijual pada 18 Sep di sekitar 40 pasaran, termasuk Amerika Syarikat dan Korea.

Butiran mengenai penjualannya di Singapura akan diumumkan akhir bulan ini.

Telefon ini juga akan ditawarkan dalam pakej Thom Browne premium edisi terhad. Pada harga AS$3,299, anda juga mendapat Galaxy Watch 3 dan Galaxy Buds Live.

- Reuters/CNA/TQ/tq

Top