Skip to main content

Iklan

Iklan

Teknologi

Samsung buka kilang telefon terbesar dunia di India

Kilang Samsung di Noida memperkasa keupayaan Samsung untuk berdaya saing

Anggaran Waktu Membaca:
Samsung buka kilang telefon terbesar dunia di India

Logo Samsung. (Gambar fail: REUTERS/Andrew Kelly)

Diterbitkan : 10 Jul 2018 08:56PM Dikemas Kini : 10 Jul 2018 09:00PM

MUMBAI: Samsung Electronics membuka secara rasmi sebuah kilang yang baru di India. Menurut syarikat teknologi Korea Selatan itu kilang tersebut adalah penghasil telefon bimbit terbesar dunia. Ia merupakan sebahagian rancangan syarikat berkenaan untuk mengembangkan penghasilan di pasaran utama telefon bimbit yang paling pesat tumbuh di dunia itu.

Kilang yang terletak di wilayah Noida, di pinggir bandar New Delhi itu akan membolehkan Samsung untuk menghasilkan telefon dengan kos yang lebih rendah sedang hab-hab penghasilan telefon lain, seperti China bertambah mahal. Demikian menurut para penganalisis sektor tersebut.

Kilang berkenaan dilancarkan bersama oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, pada 9 Julai. Kilang itu juga akan membantu Samsung untuk bersaing secara lebih berkesan dengan para pesaingnya, seperti syarikat China Xiaomi. Xiaomi adalah jenama telefon bijak yang terbesar di India berdasarkan penghantaran awal tahun ini.

Pada tahun lalu, Samsung menyatakan bahawa ia akan membelanjakan sejumlah AS$716.57 juta (S$969 juta) sepanjang tiga tahun bagi meningkatkan keupayaan di kilang Noida.

Menerusi satu kenyataan, Samsung mendedahkan bahawa kilang baru itu akan membantu Samsung menggandakan jumlah penghasilan sekarang kepada sebanyak 120 juta unit setahun selepas fasa pengembangan selesai.

India merupakan pasaran telefon bijak terbesar kedua dunia dan mempunyai lebih sebilion pelanggan khidmat tanpa wayar. Ini menawarkan peluang lumayan bagi Samsung yang mengalami pertumbuhan pendapatan yang lembap. Keadaan itu menimbulkan keprihatinan bahawa perniagaan telefon bimbitnya semakin ketandusan idea untuk mengukuhkan jualan peralatan Galaxy premiumnya.

Samsung yang mula menghasilkan telefon bimbit di India sejak 2007 juga merancang untuk mengeksport gagang-gagang telefon buatan India.

Sumber : Reuters/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan