Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sampai bila anda patut tidur bersama bayi anda? Ini jawapannya...

Sesetengah ibu bapa bimbang dan teragak-agak untuk membiarkan bayi mereka tidur sendirian dalam bilik berasingan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sampai bila anda patut tidur bersama bayi anda? Ini jawapannya...

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 17 Apr 2018 10:57PM Dikemas Kini : 17 Apr 2018 11:03PM

NEW YORK: Sesetengah ibu bapa bimbang dan teragak-agak untuk membiarkan bayi mereka tidur sendirian dalam bilik berasingan. Ini kerana mereka bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diinginkan kepada bayi kecil mereka.

Ini terutama sekali benar bagi ibu bapa di Amerika Syarikat di mana berlaku kes-kes bayi yang meninggal secara mendadak. Sindrom Bayi Meninggal Mendadak (SIDS) pernah menjadi masalah yang sering berlaku di negara itu sehingga kempen diadakan bagi mendidik para ibu bapa tentang kedudukan bayi ketika sedang tidur.

Kempen itu berkesan kerana jumlah kes kematian bayi merosot. Namun, hingga ke hari ini, kematian bayi masih berlaku. Pada 2015 sahaja, terdapat 3,700 kematian bayi dan 1,600 daripadanya berlaku akibat SIDS.

Ini yang membuat sesetengah ibu bapa memilih untuk tidur bersama bayi mereka. Bagaimanapun, mereka akui keberadaan bayi mereka dalam bilik akan menjejas hubungan mereka sebagai sepasang suami isteri.

Mujur, kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati mereka hanya perlu tidur bersama bayi mereka sehingga mereka berusia enam bulan.

KEBAIKAN TIDUR BERSAMA

Tidur bersama-sama dapat mencegah kematian bayi yang berusia kurang enam bulan kerana ia menghalang mereka daripada tidur terlalu nyenyak dan tidak bangun lagi selepas itu. Ini kerana keberadaan orang lain dalam ruang yang sama akan membuat suasana tidak begitu sunyi. Bayi juga dikatakan masih terlalu kecil dan sensitif pada enam bulan pertamanya.

Selain itu, jika si ibu tidur bersama bayinya, ia akan memudahkannya untuk menyusui bayi.

Berkongsi ruang yang sama, bagaimanapun tidak seharusnya berlaku secara berterusan. Ia tidak hanya akan menjejas hubungan suami isteri tetapi kesihatan sebuah keluarga secara umumnya. Ini kerana, jadual tidur mereka akan sering terganggu.

TIDUR BERASINGAN LEBIH BAIK BUAT IBU

Apabila anda memutuskan untuk tidak tidur bersama bayi, anda sebenarnya sedang melatih bayi anda untuk mempunyai jadual tidur yang teratur.

Kajian juga mendapati sang ibu boleh menyusui anaknya bagi tempoh lebih lama sekiranya mereka tidur berasingan kerana mereka akan menjadi lebih sihat selepas tidak perlu bangun untuk beberapa kali pada waktu malam.

Namun, perlu diingatkan ini semua boleh anda cuba selepas bayi menjejaki usia lebih enam bulan. Kajian mendapati mengongsi bilik selepas bayi berusia lebih enam bulan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas kes yang menjejas keselamatan dan kematian bayi.

BUAT PENYESUAIAN SENDIRI

Bagi Cik Jodi Mindell, seorang pakar pediatrik di Hospital Philadelphia, sekitaran tempat tidur bayi perlu dititikberatkan. Antaranya, ibu bapa harus memastikan bayi tidur di tempat yang selamat dan tiada yang merokok di ruang tidur bayi.

Beliau juga menasihati golongan doktor untuk mendidik ibu bapa baru tentang perkara ini.

Apa yang lebih penting lagi, ibu bapa perlu menimbangkan beberapa faktor lain sebelum membuat pilihan yang terbaik buat diri mereka dan bayi tersayang. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan