Images
  • Riverside restaurant (2)
    Sambil makan dialun ombak, faktor unik tarik pelanggan ke restoran ini. (Gambar-gambar: Reuters)

Sambil makan dialun 'ombak', faktor unik tarik pelanggan ke restoran ini

THAILAND: Pemilik sebuah restoran yang terletak di tepi sungai, Titiporn Jutimanon, mulanya yakin banjir yang melanda Thailand satu petanda bahawa perniagannya, yang sedang bergelut dengan pandemik, kini akan lingkup.

Namun, paras air yang meningkat di sungai Chao Phraya minggu ini sebaliknya membawa rezeki dan peluang baru yang tidak disangka-sangka.

Daripada menutup kedainya di tengah-tengah banjir itu, perniagaan Cik Titiporn malah menarik perhatian ramai di Thailand.


Ia terus dibuka kepada pelanggan yang berasa seronok makan dan minum sambil duduk di kawasan banjir, dengan paras air setinggi tulang kering mereka.

Malah, para pelanggan juga ghairah mengelak percikan air sedang bot-bot melalui kawasan tersebut.

"Para pelanggan sangat sukakan air banjir yang berombak," kata Cik Titiporn, yang mengendalikan Kafe Antik Chao Phraya di Nonthaburi, yang bertempat du daerah utara Bangkok.

"Apa yang saya sangkakan satu krisis kini peluang meraih rezeki."

Video-video yang tular di media sosial menunjukkan pelanggan duduk di kerusi-kerusi yang basah sambil menikmati hidangan mereka sambil mendengar deruman enjin bot-bot yang lalu-lalang, cuba mengelak terkena percikan air.


Sekitar 30 wilayah di utara dan selatan Thailand dilanda banjir sejak beberapa minggu ini, menyebabkan paras air di sungai popular itu mengalir ke merata Bangkok.

Perniagaan Cik Titiporn terpaksa ditutup semasa perintah berkurung COVID-19. Namun beliau gembira setelah memutuskan untuk mengharungi banjir dan terus membuka kedai.

"Pelanggan bukan sahaja menyukai suasana dan daging barbeku dan pemandangan matahari terbenam...banjir ini menjadi faktor unik tambahan," kata beliau.

"Saya rasa bertuah kerana pelanggan menyukainya, banjir ini ternyata bukan hambatan untuk mereka datang ke sini."


Para pelanggan bersorak dan tertawa apabila bangku-bangku kayu mereka dialun ombak banjir yang menderu ke restoran itu.

Restoran itu mengadakan dua sesi makan dan minum sehari untuk pelanggan menikmati pengalaman tersebut apabila air naik ke paras paling tinggi.

"Ia cabaran yang menyeronokkan - anda tidak tahu sama ada anda akan dihanyutkan oleh air ke satu tempat yang lain semasa makan," seloroh seorang pelanggan. 

- Reuters/NK/nk

Top