Images
  • dino
    (Gambar: Universiti Hokkaido)

Saintis Jepun temui spesies baru dinosaur

TOKYO: Saintis Jepun mengenal pasti spesies dinosaur yang baru selepas menemui rangka yang hampir sempurna berukuran lapan meter panjang.

Rangka berkenaan adalah yang terbesar pernah ditemui di negara tersebut.

Selepas menganalisa ratusan tulang berusia lebih 72 juta tahun, pasukan yang diketuai Universiti Hokkaido membuat kesimpulan bahawa rangka itu dimiliki spesies baru dinosaur hadrosaurid, sejenis haiwan yang hanya makan sayur-sayuran dan pernah terdapat di muka bumi ini pada akhir era Cretaceous.

Sebahagian daripada ekor spesies itu ditemui di utara Jepun pada 2013. Kerja-kerja penggalian seterusnya menemukan keseluruhan rangka spesies tersebut.

Pasukan itu menamakan spesies berkenaan sebagai ‘Kamuysaurus japonicus’ yang bermaksud ‘tuhan naga Jepun’, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pihak universiti.

Mereka percaya ia adalah dinosaur dewasa berusia sembilan tahun dengan berat mencecah empat hingga 5.3 tan bergantung kepada sama ada ia mempunyai dua atau empat kaki.

Penemuan itu turut disiarkan jurnal Britain, ‘Scientific Reports’.

Ia turut mendapati bahawa berkemungkinan spesies dinosaur tersebut gemar hidup di kawasan berhampiran laut.

- AFP/SU/aq

Top