Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Saintis Finland cipta biji kopi di makmal dengan aroma, rasa menyerupai aslinya

Penggemar latte tidak lama lagi mungkin akan dapat minum kopi yang datang dari piring petri dan bukan ladang, menurut saintis yang membangunkan teknik untuk menghasilkan kopi yang mampan dalam makmal.

Anggaran Waktu Membaca:

HELSINKI: Penggemar latte tidak lama lagi mungkin akan dapat minum kopi yang datang dari piring petri dan bukan ladang, menurut saintis yang membangunkan teknik untuk menghasilkan kopi yang mampan dalam makmal.

"Ia benar-benar kopi, kerana tiada apa-apa lagi selain bahan kopi dalam produk ini," kata Dr Heiko Rischer kepada AFP, merujuk kepada serbuk warna coklat muda di atas piring.

Pasukan penyelidiknya di institut penyelidikan teknikal Finland, VTT percaya kopi mereka akan mengelakkan banyak masalah alam sekitar yang berkaitan dengan pengeluaran besar-besaran salah satu minuman kegemaran dunia.

Kopi khas itu tidak dikisar dari biji, sebaliknya dituai daripada sekumpulan sel tumbuhan kopi di bawah keadaan suhu, cahaya dan oksigen yang dikawal rapi dalam reaktor bio.

Setelah dibakar, serbuk itu boleh dibancuh dengan cara yang sama seperti kopi biasa dengan aroma dan rasa menyerupai aslinya.

Pasukan Dr Rischer menggunakan prinsip kultur sel yang sama digunakan bagi daging dihasilkan di makmal, yang tidak melibatkan penyembelihan haiwan ternakan. Kaedah penghasilan daging itu diluluskan pihak berkuasa Singapura tahun lalu dan mula dijual buat kali pertamanya di sini.

"Kopi sudah tentu produk yang bermasalah," kata Dr Rischer, sebahagiannya kerana peningkatan suhu bumi menjadikan ladang sedia ada kurang berdaya hasil, mendorong petani untuk menebas kawasan hutan hujan yang semakin luas untuk tanaman baru.

"Terdapat isu pengangkutan, penggunaan bahan bakar fosil... jadi sangat masuk akal untuk mencari alternatif," jelas Dr Rischer.

Pasukan itu sedang menjalankan analisis yang lebih lengkap tentang kemampanan produk mereka jika dihasilkan secara besar-besaran, namun yakin ia akan menggunakan tenaga kerja dan sumber yang sedikit berbanding kopi biasa.

"Kami sudah tahu bahawa penggunaan air kami, misalnya, jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan untuk tanaman di ladang," kata Dr Rischer.

UJIAN RASA

Bagi penggemar kopi, kunci kejayaan kopi yang dihasilkan di makmal terletak pada rasanya — namun setakat ini hanya panel penganalisis deria terlatih yang dibenarkan untuk mencuba minuman baru kerana statusnya sebagai "makanan baru".

Buat masa ini, mereka hanya dibenarkan "merasa dan meludah semula, tetapi tidak menelannya," kata saintis penyelidik Dr Heikki Aisala, pakar dalam persepsi deria yang mengetuai ujian rasa dalam projek itu.

"Berbanding kopi biasa, kopi dari kultur sel ini kurang pahit," yang mungkin disebabkan kandungan kafein yang lebih rendah sedikit, kata Dr Aisala kepada AFP, sambil menambah bahawa rasa buah-buahan juga kurang menonjol dalam serbuk yang dihasilkan di makmal itu.

"Pun begitu, kami benar-benar perlu menekankan bahawa kami bukan pemanggang kopi profesional dan sebahagian besar rasa sebenarnya dikeluarkan dalam proses tersebut," kata Dr Rischer.

Inisiatif lain juga sedang dijalankan untuk mencari alternatif yang lebih mampan bagi kopi.

Syarikat pemula di Seattle, Atomo pada September mengumumkan ia berjaya mengumpulkan AS$11.5 juta (S$15.5 juta) dalam pembiayaan untuk "kopi molekul" yang mempunyai rasa yang sama seperti minuman itu, tetapi berasal daripada bahan organik lain yang bukan tumbuhan kopi.

Di Helsinki, Dr Rischer menganggar projek itu akan memakan masa sekurang-kurangnya empat tahun sebelum kopi yang dihasilkan pasukannya di makmal boleh mendapat kelulusan pengawal selia dan sokongan komersil untuk dijual bersama kopi biasa.

Projek itu mempunyai kepentingan istimewa di Finland, yang menurut kumpulan penganalisis Statista adalah antara negara yang paling banyak minum kopi, dengan purata 10 kilogram setiap orang setahun.

"Tentu sekali banyak minat terhadapnya," kata Dr Aisala.

Sumber : AFP/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan