Images
  • ryde premium
    (Gambar: Ryde)

Ryde bakal lancar khidmat kereta sewa mewah di S'pura

SINGAPURA: Perlu ke mesyuarat kerja, makan tengah hari korporat atau konvensyen perniagaan? Sekiranya anda ingin melakukan perjalanan "kelas perniagaan", aplikasi tempahan pengangkutan Singapura, Ryde bakal melancarkan secara rasmi RydeLUXE - perkhidmatan tempahan kenderaan premiumnya - pada 29 April. Perkhidmatan tersebut kini sedang dalam tahap ujian beta.

Dengan RydeLUXE, pengguna akan dipadankan dengan pemandu profesional khidmat kereta sewa peribadi mewah dalam aplikasi Ryde. Kereta yang ditawarkan termasuk kenderaan dengan enam tempat duduk seperti model Toyota Alphard dan Vellfire. Khidmat itu menyasarkan eksekutif perniagaan, pelancong dan pelanggan premium, kata Ryde dalam satu kenyataan media.

Syarikat itu menjangkakan permintaan akan datang dari kawasan tengah bandar. Tambang semasa waktu sibuk dianggarkan S$25 bagi perjalanan dari Tanglin ke Bugis, dan S$50 dari Bugis ke Changi Business Park.

Pesanan mengikut permintaan ataupun tempahan awal kedua-duanya akan diterima. Hanya "pemandu profesional dengan rating tertinggi" akan dibenarkan untuk menerima tempahan RydeLUXE, jelas syarikat itu.

"Pelancaran RydeLUXE mencerminkan keyakinan dan komitmen kami untuk melancarkan ciri-ciri inovatif untuk pasaran tempahan kenderaan. Ini juga menandakan pencapaian penting bagi kami, ketika kami menembusi pasaran mewah dan memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza." kata Terence Zou, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ryde Technologies.

Pengguna yang berminat boleh mendaftar dan menempah perjalanan premium dengan memuat turun aplikasi Ryde dari App Store dan Google Playstore.

- CNA/TQ/tq

Top