Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

‘Run-cation’ makin popular; rakyat S’pura bentuk 40% peserta maraton Bintan tahun ini

Disember lalu, tulang rusuk beliau retak disebabkan kecederaan atas kapal. Namun, selepas hanya berlatih kurang tiga bulan, Abdul Kadir Abu Bakar berjaya menamatkan acara larian bagi kategori 21km Maraton Mandiri Bintan 2019 pada Ahad (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
‘Run-cation’ makin popular; rakyat S’pura bentuk 40% peserta maraton Bintan tahun ini

Run-cation ke Bintan kini popular dengan ramai rakyat S'pura meluangkan hujung minggu untuk bercuti sambil berlari. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Said Mahadi)

BINTAN: Disember lalu, tulang rusuk beliau retak disebabkan kecederaan atas kapal.

Namun, selepas hanya berlatih kurang tiga bulan, Abdul Kadir Abu Bakar berjaya menamatkan acara larian bagi kategori 21km Maraton Mandiri Bintan 2019 pada Ahad (8 Sep).

Encik Abdul Kadir mengukir senyuman walaupun penat berlari di bawah terik matahari.

“Saya berhenti berlatih selama sekitar tiga atau empat bulan. Oleh kerana itu juga berat badan saya naik 10 kilogram. Sebelum ini, saya hanya 70 kilogram. Sebab itu, sekarang ini saya mahu berlatih semula pun bukan mudah,” kongsi Encik Kadir yang mencatat masa tidak rasmi 2 jam 50 minit.

Meskipun gagal menepati sasarannya iaitu 2 jam 45 minit, individu yang sudahpun berusia 57 tahun itu tetap berpuas hati dengan pencapaiannya yang lebih pantas berbanding masa yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Tambahan pula Encik Kadir tertarik dengan pemandangan indah nun hijau sepanjang laluan lariannya yang ternyata jauh berbeza berbanding berlari-lari anak di tengah-tengah hutan batu Singapura.

Para peserta Maraton Mandiri Bintan, 8 September 2019. (Gambar: BERITAmediacorp/Said Mahadi Said Iziddin)

“Jalannya sama seperti di Langkawi. Kiri kanan rimba, padang luas, bukit bukau. Cantik dilihat," kata Encik Kadir yang ditemani isteri sepanjang hujung minggu ini.

RUN-CATION KIAN POPULAR

Menariknya, ramai anak kota Singapura lain seperti Encik Kadir dan isteri turut ke pulau Bintan bukan saja untuk menikmati udara berlainan tapi juga untuk berlari!

Dalam erti kata lain, ‘run-cation’ di Bintan kini semakin popular.

“Run-cation adalah lari dan vacation (bercuti). Salah satu tujuan kita mengadakan (maraton) di sini adalah untuk semua peringkat usia tidak kira muda mahupun yang sudah lanjut usia.

"Terdapat ramai peserta Melayu di antara mereka. Mereka mengambil kesempatan daripada acara ini untuk bercuti bersama teman-teman yang lain dan pada masa yang sama untuk berlari.”

Ini menurut Pengurus Besar PT Bintan Resort Cakrawala Group, Encik Abdul Wahab.

Menurut beliau lagi, jumlah peserta bagi edisi kedua ini melonjak tiga kali ganda melebihi 3,000 pelari, dengan rakyat Singapura membentuk 40 peratus daripada bilangan tersebut.

Sementara itu, 50 peratus daripadanya datang dari Indonesia dan lagi 10 peratus dari lebih 30 negara termasuk Kenya dan China.

Antara pelari tanah air yang tidak asing lagi dalam larian maraton tempatan ialah Encik Shariff Abdullah atau lebih dikenali dengan gelaran ‘The Singapore Blade Runner’.

Mengongsi pengalaman beliau yang sering merantau untuk mengambil bahagian dalam acara-acara larian, atlit kurang upaya berusia 51 tahun itu berkata:

“Saya berlari di banyak tempat tapi kalau kita cakap tentang Bintan ini, dia ada lain sikit. Di sini, kebanyakannya adalah alam semula jadi. Dia ada tropical gardens dan sebagainya. Sewaktu kita berlari, tidak ada banyak kenderaan. Sikit saja. Jadi bila anda berlari, anda berlari seperti ‘elite’. Tenangkan fikiran, tidak fikirkan pasal trafik, tidak fikirkan pasal apa-apa.”

Bagi edisi sulung acara tersebut tahun lalu, atlit dengan kaki prostetik itu hanya menyertai acara 21km tetapi tahun ini, beliau turun padang untuk maraton penuh iaitu 42.195km pula.

Cuaca panas tidak menghambat para peserta daripada meluangkan masa mengambil bahagian dalam acara Fun Run bersama keluarga.

Malangnya, cuaca yang panas terik menjangkaui 31 darjah Selsius dan jalan naik turun bukit terbukti terlalu mencabar bagi beliau yang gagal menepati masa tamat larian ataupun ‘cut off time’ yang ditetapkan.

“Alhamdulillah saya dapat melakukannya – dapat berlari sampai atas bukit itu tapi sedihnya cut off time terlalu singkat. Itu tandanya saya tidak berlatih betul. Saya tidak ada alasan. Saya tidak berlatih betul. Jadi insya Allah tahun depan kalau ada peluang, saya akan berlari penuh ataupun mungkin lari 21km,” kata Encik Shariff dengan penuh semangat.

TANAM AZAM TERUS BERLARI

Berbeza nasib berbanding The Singapore Blade Runner, Cik Siti Hajjar Mohamed bangga dapat menamatkan larian 10km bersama rakan-rakan yang lain.

Cik Siti Hajjar mula berlari tahun lalu dan kini telah memasuki berbagai-bagai acara sukan seperti larian Spartan dan larian di alam maya (virtual run).

Walaupun ‘run-cation’ individu berusia 47 tahun itu hanya sehari sahaja, beliau tetap gembira kerana berpeluang meluangkan masa dengan teman-teman sebaya sambil melakukan kegiatan sihat.

“Oleh kerana mereka menawarkan pakej ‘day tripper’ iaitu ulang-alik dalam jangka sehari selepas melakukan larian, saya pun kata mengapa tidak? Saya mahu lihat keadaan.

“Saya pernah berlari di Petaling Jaya, 10km tapi ia sebuah bandar seperti Singapura. Oleh itu, saya ingin lihat bagaimana larian di suasana kehijauan Bintan pula,” kata Cik Siti yang mula kerap berlari setahun lalu.

Beliau merupakan salah seorang anggota kumpulan GEMS yang ditubuhkan bagi menggalak kaum Hawa mengamalkan gaya hidup sihat dengan berlari-lari anak, senaman aerobik dan sebagainya.

Run-cation ke Bintan kini popular dengan ramai rakyat S'pura meluangkan hujung minggu untuk bercuti sambil berlari. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Said Mahadi)

Anggota kumpulan JEMS mengambil kesempatan hujung minggu untuk ke Bintan bagi menyertai acara larian ini bersama-sama.

“Saya mula berkecimpung dalam acara-acara larian pada tahun lepas. Ketika itu sebenarnya, saya mahu memasuki acara Spartan. Apabila saya mendaftarkan diri untuk Spartan, saya bertemu dengan coach Efa.

“Coach Efa membentuk kumpulan untuk berlatih bersama bagi acara Spartan. Jadi daripada situ saya berlatih dengan coach Efa dan yang lain-lain dan kita adakan latihan hampir setiap minggu,” ujar beliau.

Maka itu, tidak hairanlah kalender individu aktif seperti Cik Siti, Encik Shariff dan Encik Kadir sarat dengan acara-acara sukan bukan saja setakat di dalam negeri bahkan di luar negara juga.

Sambutan dan sokongan para penonton pembakar semangat para peserta untuk menghabiskan acara masing-masing. 

Yang pasti, ‘run-cation’ semakin mendapat sambutan dengan acara seperti Maraton Mandiri Bintan 2019 menyediakan peluang emas untuk bercuti sehari dua sambil menyertai acara larian hanya sejam dari Singapura.

Mungkin mengecap kepuasan selepas berjaya menamatkan larian adalah sesuatu yang diburu para pelancong seperti mereka.

Bak kata Cik Siti: “Saya berlari bukan untuk bertanding tapi untuk mencabar diri sendiri.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan