Images
  • pasar malam corner
    Kedai Pasar Malam Corner yang terletak bersebelahan pusat beli-belah JCube di Jurong East. (Gambar: @cr0issant7/Twitter) 

Rindu makan burger Ramly? Warung Jurong East ini sajikan beraneka juadah pasar malam sepanjang hari

SINGAPURA: Sejak pandemik COVID-19 melanda, pasti ramai yang rindu dengan suasana riuh-rendah pasar malam, apatah lagi juadah dan cemil-cemilan yang dimasak panas-panas.

Namun kini, anda tidak lagi perlu tertunggu-tunggu untuk pasar malam datang bertandang ke kejiranan anda! Disebabkan tidak lagi dapat berniaga di pasar malam, seorang peniaga memutuskan untuk membuka sendiri sebuah warung yang menjual juadah pasar malam yang dibuka sepanjang hari.

Pembukaan warung Pasar Malam Corner diumumkan oleh anak Cik Asnizar menerusi akaun Twitternya @Cr0issant7.


"Hai saya perlukan bantuan anda untuk sebarkan (berita) bahawa ibu saya baru saja buka sebuah kedai baru yang terletak bersebelahan (pusat beli-belah) JCube di belakang (pasar raya) NTUC! Disebabkan COVID-19, kami tidak dapat adakan pasar malam tetapi jangan risau kerana kami akan membawa pasar malam kepada anda! Jadi sila datang dan sokong kami," tulis anak Cik Asnizar dalam catatan Twitternya pada Khamis (4 Feb).

Catatan Twitter itu menerima lebih 3,000 'likes' dan dikongsi lebih 5,000 kali dalam masa sehari.


Berdasarkan gambar-gambar yang dimuat naik ke akaun Twitter tersebut dan laman EATBOOK, antara juadah yang dijual termasuk Burger Ramly, takoyaki, pisang goreng, vadai, dan minuman jalanan kegemaran ramai seperti teh susu Thai serta matcha dan Bandung. Ada juga gerai yang menjual Nasi Padang dan beraneka lauk-pauk.


PENIAGA LAIN JUGA BERALIH KE GERAI TETAP

Selain peniaga Pasar Malam Corner, sebilangan peniaga lain seperti Jayz Snacks dan The Original Vadai juga membuka kedai tetap di lokasi-lokasi seperti Sembawang, Golden Mile dan Joo Chiat selain menawarkan khidmat penghantaran ke rumah.


Buat masa ini, gerai The Original Vadai terpaksa ditutup kerana pusat penjaja Golden Mile (lebih dikenali sebagai pusat makanan Beach Road) sedang melalui kerja-kerja naik taraf.

Pusat penjaja kegemaran ramai penduduk Singapura yang menggemari masakan India seperti Sup Tulang Merah itu dijangka dibuka semula pada bulan depan. 

- BERITAMediacorp/ay

Top