Images
  • tfc - main - lobster fried rice
    (Gambar: The Fortune Cookie)

Restoran The Fortune Cookie mahu perkenal sajian makanan fusion Cina halal yang bermutu

BERITAmediacorp: Pengasas restoran halal Cina ini bukan calang-calang orang. Beliau sudah cukup terkenal dalam industri makanan dan minuman halal - Mohamad Hafiz Salim Al-Khatib.

Jejaka berusia 36 tahun itu memulakan restoran popular The Malayan Council (TMC) yang kini sudah pun mempunyai tiga cawangan. Terkini, beliau mengembangkan sayap untuk membuka pula sebuah restoran yang menyediakan sajian fusion Cina fusion bernama The Fortune Cookie (TFC).


(Gambar: Aizam Omar)

Terletak di Bussorah Street, malah bertentangan dengan TMC, TFC dibuka pada Oktober 2020 dengan modal sekitar S$250,000-S$300,000.

Encik Hafiz berkata beliau mendapat inspirasi untuk membuka restoran The Fortune Cookie semasa berada di kawasan Chinatown di Melbourne, Australia.

“Dari situ tercetus idea untuk memiliki restoran yang berfomulasikan sajian Cina,” kata Encik Hafiz yang mula memikirkan konsep restoran ini pada musim ‘circuit breaker’ tahun lalu.


Menurutnya lagi, untuk mendapatkan sajian Cina Halal di restoran yang setanding dengan jenama popular seperti Tung Lok dan Din Tai Fung amatlah sukar di kota Singa ini. Lantas, dengan lahirnya TFC, Encik Hafiz berharap untuk dapat memperkenalkan sajian fusion Cina yang bermutu kepada masyarakat Melayu dan juga bangsa asing.

Lebih menarik lagi, setiap resipi direka khas oleh beliau sendiri untuk memastikan rasa yang konsisten dan yang penting enak.


Mewujudkan suasana selesa dan ‘cosy’, restoran ini sesuai untuk kunjungan seisi keluarga dan teman-teman. Rekaan dalaman restoran ini tampil unik berwarna-warni dengan hiasan tanglung, payung dan kipas lipat pula dibahagian dinding.

Tapi kenapa restoran ini dinamakan The Fortune Cookie?

“Kalau diperhatikan, biskut fortune cookie selalunya akan diberikan kepada pelanggan yang menikmati jamuan di restoran Cina dan ia merupakan satu kebiasaan. Lantas, setiap pelanggan TFC juga akan mendapat satu paket fortune cookie selepas mereka menjamu selera di TFC,” kata Encik Hafiz yang berpengalaman bertugas sebagai pelayan di Hotel Ritz-Carlton dan cef di Hotel Raffles sebelum melibatkan diri dalam perniagaan makanan dan minuman ini.


(Gambar-gambar: Aizam Omar, The Fortune Cookie)

ANEKA SAJIAN

Seperti The Malayan Council, TFC turut menawarkan sajian yang menyeluruh dari pencuci mulut, sup, salada, sajian utama untuk dewasa dan kanak-kanak, mi, pasta, aneka minuman dan banyak lagi.

Jika pertama kali berkunjung ke TFC, seperti saya, anda mungkin binggung tidak tahu nak buat pilihan makanan yang mana satu. Bila membelek menu dan melihat senarai sajian yang ditawarkan semuanya tampil menyelerakan walaupun menunya tidak bergambar.


Antaranya San Choy Pau, Fortune Foie Gras, Superior Fish Maw & Dumpling Soup, Imperial Abalone Broccolini, Hainanese Chicken Chop, Mudcrab & Lobster Fried Rice, Lotus Duck Rice, Beef Rib Bak Kut Teh dan Peking Duck Wanton Noodle. Ada banyak lagi sebenarnya.

Memang bingung juga tak tahu mahu pilih yang mana. Lantas, saya mendapatkan pelayan yang bertugas untuk memberi saranan dan membantu membuat pilihan. Saya diberi tahu, setiap hidangan sajiannya lumayan dan boleh dikongsi bersama, bergantung kepada selera makan masing-masing.


Untuk sajian permulaan, saya mencuba Oyster Omelette. Tiramnya tampil segar dan saiznya juga besar. Ia dimasak dengan sos istimewa dan dipadankan dengan telur omelette. Tidak hamis, sajian ini enak diratah dan dicecah dengan sos cili yang disediakan.

Bagi yang gemar menikmati ayam goreng garing, anda boleh cuba IP Man Mala Wings. Ayam goreng ini disalut dengan rempah khas yang direka sendiri dan sos mala. Walaupun pedas, rasanya seimbang tidak terlalu menggigit lidah dan juga tidak masam atau terlalu manis. Sesuai untuk diratah begitu saja sementara menantikan hidangan utama.

Sajian Truffle Chicken Rice dan Char Kuew Teow Kobe menjadi pilihan hidangan utama saya. Berbeza dengan nasi ayam yang biasa, sajian klasik ini dihidangkan dengan setengah ekor ayam panggang yang disalut dengan minyak truffle. Hidangan nasinya yang lembut dan harum dimasak dengan air rebusan ayam. Rasa nasi ayam ini lebih enak apabila dinikmati dengan sampingan keropok, sos cili bawang putih, jam halia dan sos kicap yang pekat.


Bagi yang kepingan untuk menikmati kuetiau goreng autentik, hidangan Char Kuew Teow Kobe ini pasti tidak akan menghampakan. Ia tidak lokek dengan rencah seperti daging cincang, kepah, telur dan bahan lain. Yang lebih menarik, sorotan sajian ini terletak pada kepingan daging kobe premium yang akan dimasak mengikut cita rasa pelanggan. Lengkapkan sajian ini dengan sambal yang dibuat sendiri. Rasanya pasti syok!

PENCUCI MULUT

Selepas menikmati sajian utama yang mengenyangkan, rehatkan perut seketika agar ia dapat memberi ruang untuk menikmati aneka manisan unik yang direka khas. Apabila melihat senarai pencuci mulut yang ada, rasa ‘tergoda’ seperti mahu cuba semua. Tapi, apakan daya, perut saya sudah cecah limit!


Saya hanya boleh mencuba Lemongrass Beancurd dan Soursop Crème Brule saja. Sejuk, lembut dan wangi! Pencuci mulut Lemongrass Beancurd ini sangat menyegarkan! Teksturnya sangat lembut berperisakan serai yang wangi.

Selain itu, Soursop Crème Brule juga merupakan antara yang mesti dicuba. Pencuci mulut berperisakan durian belanda ini tidak masam dan tidak terlalu manis. Bagi yang gemar menikmati manisan pencuci mulut ini anda pasti nak tambah lagi!


Bagi anda yang ingin menikmati minuman sejuk atau panas, TFC turut menawarkan aneka kopi seperti Gula Melaka Latte, Affogato, Salted Caramel Latte dan banyak lagi. Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis teh dan moktel.

Jadi tunggu apa lagi? Jika anda ada rancangan untuk keluar makan bersama keluarga atau rakan-rakan, TFC mungkin antara restoran yang boleh anda pertimbangkan.


The Fortune Cookie
Alamat: 11 Bussorah Street
Waktu operasi: 11.00 pagi – 11.00 malam
Tel: 9002 4414 (tempahan juga boleh dibuat melalui IG: @thefortunecookie.sg)


Sudah terbuka selera? Jemput baca laporan-laporan ini pula:

 

- BERITAmediacorp/tq

Top