Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran Islamic cecah 100 tahun; akan agih 2,021 nasi beriani percuma

Restoran nasi beriani pertama Singapura - iaitu Restoran Islamic - bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada April ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Restoran nasi beriani pertama Singapura - iaitu Restoran Islamic - bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada April ini.

Ini tentunya detik penting dalam sejarah restoran itu memandangkan jarang sekali terdapat restoran yang bertahan sebegitu lama.

Untuk meraikan hari istimewa itu, pemiliknya mahu mengagihkan 2,021 bungkus beriani ayam kepada para petugas dan kakitangan barisan hadapan di enam hospital setempat dan juga kepada orang awam.

Pemilik generasi ketiga Restoran Islamic, Encik Kaliloor Rahaman Abdul Wahab, memberitahu BERITAmediacorp, pengagihan bungkusan nasi beriani kepada para petugas khidmat jagaan kesihatan akan dijalankan dalam tempoh lima hari bermula 31 Mac, manakala bagi pelanggannya, pada hari ulang tahun restoran itu sendiri.

Encik Kalil berkata beliau masih memikirkan cara terbaik untuk mengagihkan beriani percuma kepada pelanggan supaya dapat terus memastikan langkah-langkah jarak selamat terjaga. Ini akan diumumkan hampir tarikh ulang tahun nanti.

Beliau berkata, pengagihan beriani secara percuma itu adalah usahanya untuk “menyumbang kembali kepada anggota masyarakat” dan sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka selama ini.

“Memang saya perlu mengucapkan terima kasih kepada mereka (pelanggan). Saya ada pelanggan (tetap) daripada sebelum saya dilahirkan lagi,” seloroh Encik Kalil.

“Saya ada pelanggan (tetap) yang berusia 70 tahun, ada yang berusia 80 tahun juga. Jadi mereka ini adalah pelanggan saya yang dihargai. Saya harus ucapkan terima kasih kerana menyokong kami sepanjang tempoh ini.”

Hakikatnya bukan mudah untuk satu-satu perniagaan bertahan selama berpuluh tahun. Apatah lagi sehingga satu abad!

Lantaran itu, sambutan ulang tahun ke-100 Restoran Islamic ini sememangnya detik penting dalam sejarah keluarga Encik Kalil.

“Saya berasa bangga mencapai detik 100 tahun ini. Perjalanannya tidak sentiasa mudah. Sentiasa ada masa-masa sukar. Tetapi kami cuba menanganinya dan mengharungi masa-masa sukar itu,” kata Encik Kalil, 59 tahun.

Apabila ditanya apakah resepi kejayaan restoran itu bertahan sebegini lama, Encik Kalil berkata sebabnya ada dua.

“Pertama, adalah mutu makanan. Kedua, adalah perpaduan dalam keluarga. Jadi saya percaya akan dua sebab utama ini,” ujar beliau.

Encik Kalil mengambil alih perniagaan keluarganya itu daripada bapa beliau, Abdul Wahab M. Abdul Rahman, pada tahun 1990. Encik Kalil menambah, semasa mengambil alih perniagaan itu beliau sudah dapat menjangkakan cabaran-cabaran yang mendatang.

Namun, berkat semangat berkobar-kobar untuk memastikan resepi turun-temurun keluarganya itu dapat terus dinikmati masyarakat, beliau mengambil pendekatan merancang bagi jangka panjang.

“Saya membesar di kawasan Kampong Gelam, semasa kecil saya tidur di Restoran Islamic. Dari situ timbul rasa suka untuk menghidangkan (makanan) kepada pelanggan. Saya suka menghidangkan makanan kepada pelanggan dan produknya juga tepat. Datuk saya cipta resepi yang formulanya menjadi. Saya tidak perlu tukar apa-apa,” cerita Encik Kalil kepada BERITAmediacorp.

Di bawah pengurusannya, beliau sering meneroka idea-idea baru untuk memastikan resepi 100 tahun itu kekal sama. Ini termasuk mendakap pendigitalan dan automasi dan membeli enam mesin bagi memasak nasi beriani di restoran itu.

“Kami dakapi pendigitalan hampir 30 tahun lalu, jauh lebih awal. Saya melakukan R&D (kajian dan pembangunan) di Jerman selama tiga bulan untuk memahami bagaimana resepi 100 tahun ini boleh dimasak menggunakan kaedah moden.

“Kami ambil masa hampir tiga tahun untuk memasak resepi asal menggunakan kaedah pendigitalan. Inilah salah satu sebab kami dapat bertahan. Cara masak juga senang. Tekan butang 1, 2 dan 3. Ini salah satu sebab mutu makanan kami sangat konsisten setiap hari. Saya berasa tenang dan tidak tertekan dari segi operasi,” jelas Encik Kalil.

Ini bermakna, rasa nasi beriani Restoran Islamic sekarang ini 100 peratus sama dengan rasanya 100 tahun lalu.

Encik Kalil berkata resepi itu dicipta oleh Allahyarham datuknya M. Abdul Rahman, yang merupakan Ketua Cef bagi keluarga Arab Alsagoff yang masyhur, kaya dan berpengaruh.

Resepi ciptaan datuk Encik Kalil itu adalah gabungan citarasa dari India dan Turki. Ia menjadi hidangan kegemaran keluarga Alsagoff, yang sering mempelawa tetamunya - termasuk orang-orang kenamaan, untuk menikmati hidangan tersebut.

Semasa zaman jajahan Jepun, datuk Encik Kalil juga memasak nasi beriani dalam jumlah yang begitu banyak setiap hari untuk diagihkan oleh keluarga Alsagoff kepada orang-orang miskin dan gelandangan.

Melihat anggota masyarakat yang menggemari hidangan beriani masakannya, datuk Encik Kalil lantas membuka Restoran Islamic yang pertama pada tahun 1921 di 791 -797 North Bridge Road.

Menurut Encik Kalil, datuknya adalah orang pertama yang memperkenalkan beriani kepada masyarakat Singapura ketika itu.

Sehingga hari ini, nasi beriani Restoran Islamic masih digemari bukan sahaja oleh penduduk tempatan, ia juga menjadi buruan orang-orang kenamaan dari negara-negara jiran termasuk Malaysia dan Brunei.

Apabila ditanya berapa lama lagi Restoran Islamic, yang kini terletak di 735 North Bridge Road sejak 2008 akan bertahan, sambil tersenyum Encik Kalil berkata: “Sekarang sudah 100 tahun. Saya mahu meneruskan perniagaan ini lagi 500 tahun, insya-Allah.”

Anak tunggalnya, Abdul Rahman Kaliloor Rahaman 39 tahun, menunjukkan minat untuk mengambil alih perniagaan itu dan sedang mempelajari selok-belok mengendalikannya.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan