Images
  • fbb main
    (Gambar: The Fabulous Baker Boy)

Restoran Fabulous Baker Boy Juwanda Hassim buka semula di lokasi baru Aliwal Street

BERITAmediacorp: Selepas ditutup buat seketika, restoran The Fabulous Baker Boy milik aktivis teater Juwanda Hassim kini dibuka semula baru-baru ini di sebuah lokasi baru.

Kafe, bakery dan restoran Juwanda kini terletak di # 01-01 Aliwal Arts Centre, 28 Aliwal Street. Ia menampilkan hiasan dalaman lebih cantik, berwarna-warni dan lebih lapang untuk pelanggan yang ingin mencuba pelbagai menu baru selain mengekalkan sajian kek mereka yang dikatakan sukar untuk anda melupakan setelah mencubanya.


(Gambar-gambar: The Fabulous Baker Boy)

Sebelum ini, lokasi lama cawangan itu terletak di Fort Canning dan beroperasi selama hampir sembilan tahun. The Fabulous Baker Boy ketikaitu sinonim dengan sajian kek-kek yang lazat. Antara yang popular adalah Ab Fab Red Velvet, Nutty Monkey, Big Lub Carrot Cake dan Lady Marmalade.

Ketika ditemui baru-baru ini, Juwanda Hassim berkongsi bahawa beliau berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Aliwal Arts Centre sebagai “food partner “untuk festival jalanan yang bakal dianjurkan pada bulan Mac atau Jun nanti.


Dengan tagline “Big Love Bakery and Soul Kitchen“, anda boleh menikmati sajian sarapan mereka iaitu All Day Breakfast atau sajian tengahari pada bila-bila masa sahaja.

Anda boleh mencuba sajian breakfast pada sebelah petang atau menikmati sajian tengah hari pada sebelah pagi pula. Itulah kelainan yang sukar didapati di mana-mana kafe lain setakat ini.

Tambah pemilik yang peramah itu kepada BERITAMediacorp: “Pelanggan kami vokal. Mereka selalu bertanya mengapa tidak boleh makan menu ini pada masa lain? Saya sedar ada yang nak makan sarapan pagi kemudian, nak santai jadi kami cuba memuaskan hati semua pelanggan. Walaupun agak sukar di dapur, janji semua pelanggan gembira. Semua menu boleh dimakan pada bila-bila masa.“


Kali ini, Juwanda menambah lebih banyak menu di lokasi baru mereka. Terdapat FAB Duck Confit, Chilli Crab Mac & Cheese, BBQ Beef Ribs, Lamb Shank juga.

Untuk menu klasik pula, anda boleh mencuba Fab Fry Up with Turkey Bacon atau Uncle Jimmy’s Fish & Chips.
Bagi anda yang inginkan kelainan, boleh mencuba sajian menarik seperti RTFBB Fried Chicken and Waffles atau Heart Attack French Toast atau Crab Profiteroles.


Sajian kek-kek di The Fabulous Baker Boy harus dicuba kerana terdapat 16 jenis kek. Pada hujung minggu pula, pilihan kek lebih luas kerana sejumlah 27 jenis kek akan disediakan membuat anda pening seketika untuk memilihnya. Kesemuanya laris setiap hari!

Uniknya, kek-kek tersebut disenaraikan sebagai siri Diva dan Divo kerana Juwanda rasakan lebih menarik menamakan kek-kek dengan menggunakan nama-nama selebriti popular seperti Whitney Houston, Celine Dion, Tina Turner, Barack Obama, Keanu Reeves agar lari dari panggilan klise nama-nama kek di pasaran. Kek Pandan pula diberi nama Sheila Majid.


“Kami gunakan mentega yang berkualiti, bukan marjerin. Tiada bahan pengawet. Kami kurangkan gula untuk kek-kek kami kerana ramai keluarga dan kanak-kanak makan di sini. Saya tidak akan benarkan gula yang berlebihan atau pewarna berlebihan,“ katanya lagi kepada penulis.

Untuk menambahkan lagi kelainan di tempat baru ini, hanya cef-chef dan pembuat kek wanita sahaja ditugaskan menyiapkan kesemua sajian menu kafe tersebut.


Apa pula pandangan Juwanda mengenai persaingan beroperasi di kawasan itu yang sudahpun dibanjiri oleh kafe-kafe lain?

“Saya tak rasakan ia adalah persaingan sebab saya perkenalkan kelainan pada menu kami. Kami tidak bersaing dengan sesiapapun. Cuma kami ada semuanya di sini jika dibandingkan dengan sesetengah tempat yang hanya ada kek atau roti sahaja. Kesemua di sini dilakukan dari 'scratch' (mula) dan kecintaan terhadap apa yang kami lakukan,” jawab peniaga ini.


Berikut adalah antara menu All Day Dining yang terdapat di kafe tersebut.

Fab Fry Up With Turkey Bacon

Sarapan ala England lengkap dengan baked beans dan sosej lembu yang kurang kandungan lemak tetapi tetap “ juicy“. Telur sunny side up atau scramble pun boleh ditambah.

Cinn Bun pancake

Penkek kayu manis yang tidak muak meskipun ditambah dengan krim maple keju dan sirap maple. Terasa lebih enak dengan kacang pecan.


FAB Duck Confit

Peha itik dimasak semalaman selama 7 jam, 'blowtorch' kulitnya sehingga garing sebelum sampai ke meja anda bersama kentang lecek. Tekstur daging itik yang lembut dan tidak berbau hamis sesuai untuk penggemar itik.

RTFBB Fried Chicken and Waffles

Menu ini mendapat inspirasi dari Selatan Amerika. Rempah ayam menggunakan ketumbar, bawang putih, sos ikan dan sus mentega membuat ayamnya lazat dan rangup. Sesuai juga untuk kanak-kanak yang gemar dengan waffles.


Heart Attack French Toast

Brioche sourdough yang boleh menggemukkan. Dibuat dengan mentega, digoreng dan digolekkan dengan kayu manis dan sedikit gula. Dilengkapkan dengan tairu.  

- BERITAmediacorp/ha

Top