Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran dari Hollywood, Fatburger, dalam proses dapatkan pensijilan halal di S'pura

Berita baik buat anda yang ingin merasakan makanan ala Hollywood, khususnya burger unik setebal empat lapis daging yang halal! 

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran dari Hollywood, Fatburger, dalam proses dapatkan pensijilan halal di S'pura

Rangkaian restoran yang terkenal dan berasal dari California, FatBurger, kini sudah menebarkan sayapnya ke Singapura. (Gambar: Fatburger Singapore)

BERITAmediacorp: Berita baik buat anda yang ingin merasakan makanan ala Hollywood, khususnya burger unik setebal empat lapis daging yang halal! Rangkaian restoran yang terkenal dan berasal dari California, Fatburger, kini sudah menebarkan sayapnya ke Singapura dan ia 100 peratus dimiliki usahawan muslim.

Jenama ikonik dari Amerika Syarikat yang diasaskan pada tahun 1952 serta mempunyai ibu pejabat di Beverly Hills itu, menjual pelbagai hidangan burger, kepak ayam serta sandwic ayam dan berkonsepkan 'kasual segera' (fast casual).

(Gambar: Fatburger Singapore)

Meskipun sudah membuka dua cawangan - di KINEX (dahulu OneKM) dan Velocity@Novena - sejak dua bulan lalu, pemilik Fatburger Singapore, Mohamed Ibrahim atau Moe Ibrahim, hanya bercadang menguar-uarkan status halal restoran itu selepas setiap bahan sudah dapat dipastikan ada sijil halal.

Sejak ia dilancarkan, Fatburger Singapore sudah mengadakan perbincangan dengan konsultan halal SAHL International dan mereka banyak menguruskan pensijilan halal bagi semua produk yang digunakan dalam menu. Restoran itu mendedahkan kepada BERITAmediacorp, ia sudahpun membuat permohonan sijil halal kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada awal bulan ini.

"Kini (Fatburger Singapore) dan pasukan halal yang dilantik sedang menghabiskan kelas pensijilan mereka dan sudah menjalankan prosedur dan dasar yang diperlukan badan penguat kuasa halal tempatan," jelas jurucakap bagi Fatburger Singapore.

(Gambar: Fatburger Singapore)

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, MUIS mengesahkan bahawa Fatburger Singapore sememangnya sudah mengirimkan permohonan bagi mendapatkan sijil halal.

Kedai atau restoran yang memenuhi Syarat Pensijilan Halal (HCC) MUIS biasanya diberikan sijil halal sekitar "empat hingga lapan minggu" selepas membuat permohonan, menurut MUIS.

BURGER "SEGAR, ASLI, ENAK"

Laman rasmi Fatburger di Amerika Syarikat membutirkan bahawa ia kini mempunyai lebih 200 cawangan di 25 buah negara serata dunia, dan Singapura merupakan antara yang terbaru baginya.

Apakah antara keistimewaan lain Fatburger? Encik Moe, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Deelish Brands, memberitahu BERITAmediacorp kesegaran bahan menjadi tunggak jenama tersebut.

(Gambar: Fatburger Singapore/Facebook)

"Kami mahu menghasilkan alternatif makanan yang sihat, segar, tidak diproses dan juga halal.

"Buat masa ini, anda tidak dapat memesan khas burger anda di tempat lain seperti ini. Dengan bahan yang digunakan serta mutu yang diberikan, ia seperti satu burger 'gourmet' yang mungkin berharga $30 di restoran lain," jelas Encik Moe, seorang berketurunan Mesir yang dilahirkan di Amerika.

Daging Fatburger diterbangkan dari Australia tanpa bahan pengawet, menurut Encik Moe. Beliau menambah daging tersebut juga tidak dibekukan, malah hanya disejukkan bagi mengekalkan kesegarannya.

(Gambar: Fatburger Singapore)

"Meskipun ia dipanggil Fatburger, ia sebenarnya bermakna Fresh Authentic Tasty (Segar Asli Enak). Itulah asal usul perkataan FAT bagi Fatburger," kongsi beliau, yang juga seorang Penduduk Tetap Singapura.

Skinny Burger berharga $7.50 manakala Quad Burger (burger dengan empat lapisan daging) dijual pada harga $15.90. Fatburger turut menjual Fat Fries, Skinny Fries dan Sweet Potato Fries.

Bahkan jika pelanggan berhasil menghabiskan Quad Burger, beliau juga mungkin menerima sijil, dengan gambarnya ditampal di Wall of Fame, menurut kenyataan media Fatburger.

Selain Quad Burger, 'milkshake' dan 'onion rings' buatan sendiri juga menjadi daya tarikan utama Fatburger, jelas Encik Moe.

BAGAIMANA PESAN MAKANAN DI FATBURGER?

Berbeza daripada restoran makanan segera, Fatburger dengan konsep 'kasual segera' ini hanya mula menyiapkan khas makanan pelanggan selepas mereka selesai membuat pesanan.

Hidangan tersebut kemudian dihantar ke meja dalam masa sekitar lapan minit untuk dinikmati pelanggan.

(Gambar: Fatburger Singapore)

"Kami mempunyai budaya khidmat meja, yang mana kami menghantar makanan ke meja pelanggan.

"Ini langkah tambahan bagi kami yang juga memberikan perhatian lebih dengan meminta nama pelanggan semasa mengambil pesanan supaya dapat menjalinkan hubungan dengan kumpulan pelanggan kami," ujar Encik Moe, yang juga kini di bawah program Pengurusan Pemilik/Presiden (OPM) di Universiti Harvard.

CUBA KEKAL KEASLIAN JENAMA

Meskipun sudah terdapat beberapa cawangan halal Fatburger di serata dunia termasuk di Dubai dan Britain, Encik Moe enggan memandang ringan terhadap cara menyediakan makanannya di sini. Beliau tetap mahu mengekalkan keaslian jenama itu seboleh mungkin.

(Gambar: Fatburger Singapore)

"Saya tidak fikir wujud perbezaan daripada di Los Angeles. Di sini mahupun di sana, kami menggunakan 100 peratus daging lembu kisar.

"Tetapi di Singapura kami dapat menyediakan makanan segar dengan lebih baik lagi," jelas beliau.

HASRAT KEMBANGKAN PERNIAGAAN

Dibuka dalam masa enam bulan sahaja sejak pertama kali menghubungi Fatburger Amerika dan baru bertapak di sini, francais di Singapura ini sudahpun berhasrat untuk terus berkembang. Encik Moe mendedahkan beliau sudahpun mula mencari tempat bagi membuka cawangan terbaru tahun depan.

"Kami mahu menjadi jenama 'besar' dan tahun depan kami mahu membuka sekurang-kurangnya satu lagi cawangan (bermakna akan ada tiga cawangan).

(Gambar: Fatburger Singapore/Facebook)

"Buat masa ini, kami juga sedang menghasilkan perisa baru 'milkshake' yang menarik dan unik. Kami juga bakal menambah hidangan baru kepada menu kami tidak lama lagi," kongsi Encik Moe.

Diasaskan Lovie Yancey lebih 60 tahun lalu, laman Fatburger menyatakan, ia kini dalam proses bertapak di lebih 30 negara kesemuanya. Selain lebih 200 cawangan yang ada sekarang, ia juga dalam proses membuka atau mengembangkan perniagaan bagi 350 cawangan.

Di Asia Tenggara, selain Singapura, ia sudahpun mempunyai francais di Malaysia, Indonesia dan Filipina.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan