Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran bufet 'Permata Singapore' pesona terbaru Gedung Kuning; dibuka 23 Apr ini

Sebuah restoran bufet yang berkonsepkan nusantara akan dibuka di Gedung Kuning pada 23 April ini, yang pertama seumpamanya di bangunan bersejarah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran bufet 'Permata Singapore' pesona terbaru Gedung Kuning; dibuka 23 Apr ini

Restoran Permata Singapore di Gedung Kuning dibuka pada 23 April. (Gambar: Permata Singapore)

SINGAPURA: Sebuah restoran bufet yang berkonsepkan nusantara akan dibuka di Gedung Kuning pada 23 April ini, yang pertama seumpamanya di bangunan bersejarah itu.

Demikian diumumkan oleh penyewa terbaru bangunan itu, Singapura Chambers of Secrets, menerusi laman Facebook restoran Permata Singapore pada Isnin (12 Apr).

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada BERITAmediacorp pada Ahad (18 Apr), restoran itu diilhamkan daripada perdaganan yang dijalankan pada tahun 1920an, di mana intan dan permata dijual di kawasan Kampong Gelam.

Maka, restoran itu mungkin menjadi destinasi tumpuan para pelanggan untuk mencari 'permata' yang akan membuka selera mereka.

Dengan pilihan lebih 60 hidangan, para pengunjung pasti akan teruja untuk memilih yang mana satu akan menjadi pujaan hati atau lebih tepat lagi, perut mereka. Ini kerana makanan yang ditawarkan agak unik namun masih mengekalkan ciri-ciri nostalgia.

Sekurang-kurangnya, itulah matlamat Cef Eksekutif Permata Singapore, Firdauz Nasir.

Antara hidangan menarik yang bakal memikat para pelanggan termasuk Rendang Daging Wagyu, Ayam Binjai, Brownie Buah Keluak, Tempoyak Ikan Patin yang dihidangkan bersama Nasi Bunga Telang - yang merupakan hidangan eksklusif Permata Singapore.

Cef Firdauz mempunyai misi untuk memartabatkan hidangan nusantara di Singapura dan memastikan juadah nostalgia seperti ulam, kerabu dan lemang kekal dalam menu restoran itu, menurut kenyataan itu lagi.

Restoran itu juga menawarkan pilihan makanan laut segar di samping sudut-sudut makanan yang dimasak secara langsung apabila ditempah atau 'live station' seperti sudut mi, sudut roti jala dan sudut daging panggang.

Ia turut menawarkan enam jenis sambal tumbuk untuk menambah rasa hidangan yang menjadi pilihan.

Selain Brownie Buah Keluak, satu lagi pencuci mulut yang tidak kurang unik, ialah Intan Permata - iaitu sejenis kek sifon (chiffon) yang diserap perasa pandan, disapu coklat putih dan ditaburi hirisan limau kasturi.

Harga bufet adalah antara S$42 dengan S$58 bagi orang dewasa dan antara S$22 dengan S$28 bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan 10 tahun.

KONSEP GAYA HIDUP 4 DALAM 1 DI GEDUNG KUNING

Restoran Permata Singapore itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan Gedung Kuning sebagai destinasi nusantara.

Berkonsepkan gaya hidup, Gedung Kuning sekarang ini menawarkan daya tarikan, iaitu Amazing Chambers Singapura, menyediakan ruang interaktif dengan tujuh tema bagi mempelajari sejarah Singapura sejak 800 tahun lalu, dengan penggunaan teknologi 'escape room'.

Amazing Chambers Singapura dirasmikan pada1 November 2019.

Kini, dengan adanya sebuah restoran di bangunan yang sama, ia adalah destinasi menyeluruh yang boleh dinikmati seisi keluarga. Usai 'kembali' ke zaman silam untuk meneroka sejarah silam kota Singa di Amazing Chambers Singapura, di samping menikmati hidangan-hidangan menarik di Permata Singapore.

Malah, itu baru dua daripada empat rancangan firma Singapura Chambers of Secrets bagi Gedung Kuning, yang mempunyai kawasan seluas lebih 10,000 kaki persegi.

Pada masa akan datang, ia akan menawarkan sebuah kafe buku dan ruang majlis perkahwinan dan kemasyarakatan. Bagaimanapun, perinciannya hanya akan didedahkan apabila dekat dengan waktu pengumuman selanjutnya kelak.

Singapura Chambers of Secrets adalah penyewa ketiga Gedung Kuning. Dua penyewa sebelum ini adalah Restoran Tepak Sireh dan Mamanda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan