Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran baru The White Label tawar makanan 'fusion' Melayu-Perancis

Restoran halal terbaru, The White Label, membuka pintunya pada 24 Disember setelah Singapura membuka Fasa Ketiga pembukaannya. Bagi anda yang gemar dengan makanan ala Perancis dan ingin mencuba makanan fusion Perancis-Melayu, mungkin ini tempatnya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Restoran halal terbaru, The White Label, membuka pintunya pada 24 Disember setelah Singapura membuka Fasa Ketiga pembukaannya. Bagi anda yang gemar dengan makanan ala Perancis dan ingin mencuba makanan fusion Perancis-Melayu, mungkin ini tempatnya.

Restoran ini berada di kawasan Kg Gelam - 734, North Bridge Road - dan dimiliki bersama oleh lima orang rakan niaga termasuk Batrisyia Mohamed Fowzy.

Berbekalkan pengalaman terkumpul bekerja dalam bidang F&B selama 30 sehingga 40 tahun gabungan kesemua rakan niaga tersebut, mereka nekad untuk membuka restoran fusion Perancis-Melayu ini memandangkan agak sukar menikmati sajian halal ala Perancis di Singapura.

(Gambar: Freda Hassan)

Misalnya sajian Short Ribs Bourguignon atau Double Stack Beef Burger mungkin menepati cita rasa peminat daging.

Sajian menu Perancis-Melayu seperti Salmon Beurre Blanc, Chicken Ragout Spaghetti, Squid Ink Spaghetti, Two Way Fish Frites antara menu yang dihidangkan di restoran tersebut.

Untuk hidangan pembuka selera pula, terdapat Kueh Pie Tee yang diberi nama Twl Vol- Au-Vent dan Sweet Potato Fries lengkap dengan sambal belacan mayo.

Pelbagai sajian pencuci mulut “East Meets West“ juga boleh anda cuba seperti Crème Brulee A L Pandan, Tarte Au Citron Vert dan Ondeh Ondeh Gateau.

Ketika ditemui di restoran tersebut baru-baru ini, peniaga yang tampak ceria itu menerangkan kepada BERITAmediacorp: “Kami cuba menghasilkan sesuatu ala Perancis di Singapura yang boleh dinikmati oleh masyarakat Melayu.“

Kesemua pemilik The White Label ingin memberikan cef-cef mereka peluang untuk melakarkan menu-menu mengikut kreativiti masing-masing hasil dari pengalaman mereka dalam bidang F&B terang Cik Batrisyia lagi. Ketua chef di restoran tersebut pula pernah bekerja lebih dari 10 tahun di Perancis sebelum ini.

Mereka percaya bahawa The White Label adalah restoran halal fusion Perancis yang pertama di Singapura yang dimiliki oleh anak Melayu. Inilah tempat yang mungkin sesuai untuk pelanggan membawa rakan-rakan dari pelbagai bangsa untuk menikmati menu fusion Perancis-Melayu.

Seorang lagi pemilik The White Label iaitu Marc Chua pula berkongsi bahawa pelanggan seakan dapat merasakan menu 'fine-dining' di restoran tersebut kerana hanya bahan-bahan premium sahaja digunakan untuk memberi kepuasan kepada pelanggan dan agar kualiti terjamin.

Katanya, setiap menu dimasak secara istimewa agar pelanggan bukan sahaja dapat menikmati menu pilihan mereka bahkan boleh mencuci mata dengan visual makanan tersebut apabila dihidangkan.

“Kami ingin berikan pasaran Melayu/Islam sajian seakan 'fine-dining' tetapi dengan harga yang dimampui sambil menikmati makanan premium dengan bahan-bahan premium," terang Marc.

The White Label beranggapan bahawa servis yang baik, makanan yang enak serta suasana yang baik penting untuk membuat pelanggan kembali ke restoran mereka.

Mengapa memilih North Bridge Road sebagai lokasi untuk The White Label memandangkan sudah terdapat pelbagai restoran serta kafe halal di kawasan tersebut?

“Ia dekat dengan Masjid Sultan. Ramai datang ke sini untuk makan kerana Arab St adalah tarikan pelancong. Kami berharap apabila COVID-19 tamat nanti, ia juga dapat menarik perhatian pelanggan luar negara juga,” jelas Batrisyia kepada BERITAMediacorp.

Apakah keistimewaan menu fusion di The White Label? Penulis sempat mencuba beberapa sajian menu dalam kunjungan ke restoran tersebut baru-baru ini.

1. Twl Vol-Au-Vent

(Gambar: The White Label)

(Gambar-gambar: The White Label)

Kombinasi menarik gabungan kueh pie tee dengan “duck rillette dan pulled beef.” ala Perancis. Menarik kerana disajikan dengan serunding dan sambal balado di atas kueh pie tee. Serunding memberi kemanisan pada starters ini.

2. Squid Ink Spaghetti

(Gambar: The White Label)

3. Chicken Ragout Spaghetti

(Gambar: The White Label)

4. Salmon Beurre Blanc

(Gambar: The White Label)

5. Crème Brulee A L Pandan

(Gambar: The White Label)

6. Latte Gula Melaka

(Gambar: The White Label)

Minuman latte yang tidak terlalu manis khusus bagi penggemar latte dan inginkan kelainan dari latte biasa.

“Bonne Chance” (Selamat mencuba) dan “Bon Appetit” (Selamat menjamu selera)! 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan