Images
  • alazhar1
    Ketua Pegawai Eksekutif Al-Azhar Restaurant Encik Husain Mansoor. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Restoran Al-Azhar buka cawangan terbaru di Geylang Serai, ambil alih tempat Alwadi

SINGAPURA: Rangkaian restoran popular, Al-Azhar, hari ini (4 Sep) membuka satu lagi cawangan terbaru di lokasi yang cukup strategik - di Geylang Serai, betul-betul bertentangan dengan Wisma Geylang Serai (WGS).

Ini sekali gus menjadikannya cawangan restoran Al-Azhar yang ketiga di Singapura, selepas cawangannya di Bukit Timah dan Tampines. Restoran baru di 970 Geylang Road itu mengambil alih tapak yang sebelum ini diisi oleh restoran Alwadi.


Sebagaimana cawangannya yang lain, Al-Azhar Geylang Serai akan dibuka 24 jam setiap hari. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Azhar Restaurant, Encik Husain Mansoor mengesahkan demikian kepada BERITAmediacorp.

Berapakah yang Al-Azhar bayar untuk mengambil alih tapak di kawasan 'lubuk Melayu' itu dan berapakah yang ia laburkan untuk mengubah eloknya untuk menjadi wajah baru? CEO Al-Azhar itu bagaimanapun enggan mendedahkannya.

SUDAH BEBERAPA TAHUN SASARKAN GEYLANG SERAI

Yang pasti, Encik Husain juga berkongsi bahawa pihak beliau sebenarnya sudah lama berhasrat membuka satu lagi cawangan di kawasan timur bagi mendekati masyarakat Melayu di sini.

"Al-Azhar Restaurant mempunyai kumpulan pelanggan yang besar daripada masyarakat Melayu dan Geylang Serai pula menjadi kawasan tumpuan masyarakat Melayu.

"Kami sebenarnya merancang untuk mendapatkan tempat itu sejak beberapa tahun lalu dan Alhamdulillah kami akhirnya berjaya mendapatkannya di tengah-tengah hab masyarakat Melayu," kata Encik Husain.


CEO tersebut juga berkata ruang restoran di cawangan Geylang Serai itu "hampir sama" dengan ruang premis di Bukit Timah.

Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke restoran itu malam semalam (3 Sep) untuk meninjau-ninjau keadaannya, ternyata ia sudah dipasang dengan dua skrin LED gergasi di bahagian luar. Ini menjadikan sekitar restoran terang-benderang dan cukup menarik perhatian.

Malah, ruang itu dilengkapi dengan lebih banyak kipas, menjadikan premis itu sangat berangin.

Dengan 75 meja disediakan, restoran tersebut mampu menampung 300 pelanggan pada satu-satu masa.


80 peratus daripada pekerja di cawangan itu adalah kakitangan lama yang bekerja di premis sama, manakala 20 peratus adalah pekerja baru Al-Azhar.

GERAI PUTU PIRING TERKENAL TERUS DIKEKALKAN DI LOKASI SAMA

Berbeza berbanding sistem 'layan diri' atau beratur di gerai individu di Alwadi sebelum ini, kini para pelanggan Al-Azhar akan dilayan di tempat duduk masing-masing oleh para pekerja restoran yang mengendalikan pesanan makanan.


Bagaimanapun, tidak segala-galanya berkonsep baru di Al-Azhar Geylang Serai itu. Gerai putu piring terkenal - Haig Road Putu Piring - dan gerai Al Munir, masih kekal di premis itu, dan tetap menggunakan khidmat layan diri.

"Menu kami sama seperti cawangan lain tetapi kami mengekalkan gerai-gerai tumpuan di situ seperti yang menjual pisang goreng," menurut Encik Husain.

"Kami membenarkan Al Munir yang menjual nasi ayam terus beroperasi kerana hidangan itu juga ibarat makanan utama di kawasan Melayu. Haig Road Putu Piring juga hidangan yang popular di sana, jadi kami mengekalkan sebagai sebahagian daripada cawangan kami."


(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Antara hidangan lain yang disediakan di cawangan tersebut termasuk makanan Barat, naan dan 'butter chicken', sate, nasi goreng, apam balik, tulang merah, murtabak, thosai serta kudapan seperti pisang goreng, epok-epok dan sukun.

Menurut Encik Husain, premis itu menjalani ubah elok bagi memenuhi piawai moden dan mempunyai kelengkapan-kelengkapan baru untuk para pelanggannya.

Al-Azhar Restaurant dibuka bermula 8.00 pagi Rabu, namun gerai Haig Road Putu Piring akan beroperasi dari 11.00 pagi hingga 11.00 malam. Bagi minggu pertama ini, 60 hingga 70 peratus menu akan dihidangkan. Pilihan menu akan dilancarkan sepenuhnya bermula minggu hadapan.

MAJLIS DOA SELAMAT DI PREMIS

Pada Jumaat lalu (30 Ogos), satu majlis doa selamat sudahpun diadakan di premis berkenaan, menurut catatan Facebook pemilik gerai Al Munir, Encik Ahmad Shukri Munir.

"Kami beramai-ramai membaca doa selamat supaya perniagaan akan lancar seperti biasa," tulis beliau dalam catatan tersebut.


(Gambar: Petikan skrin video Ahmad Shukri Munir/Facebook)

Bagi Al-Azhar sendiri, langkah membuka satu lagi cawangan di kawasan timur bertujuan lebih mendampingi masyarakat Melayu tempatan.

"Al-Azhar jenama yang dibangunkan di Singapura dan kami menghargai semangat kehidupan bermasyarakat. Pada akhirnya, kami mahu masyarakat kita menjadi sebahagian daripada pertumbuhan kami," kata Encik Husain. 

- BERITAmediacorp/im

Top