Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Restoran A&W rancang buka 2 atau 3 lagi cawangan baru di S'pura pada 2021

Menjelang hujung tahun depan akan ada sejumlah lima atau enam cawangan A&W di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Restoran A&W merancang untuk membuka sehingga tiga lagi cawangan baru di Singapura pada tahun 2021. Demikian dimaklumkan kepada BERITAmediacorp hari ini (10 Nov).

Ini bermakna, menjelang hujung tahun depan akan ada sejumlah lima atau enam cawangan A&W di Singapura.

Setakat ini, restoran itu mempunyai dua cawangan. Satu di Jewel Lapangan Terbang Changi yang dibuka pada April 2019 dan satu lagi di Hab AMK yang dibuka pada 9 Ogos 2019.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sebelum tahun 2020 ini melabuhkan tirai, A&W bakal membuka cawangan ketiga di Canberra Plaza, Sembawang. BERITAmediacorp diberitahu "jika tiada aral melintang ia akan dibuka dalam bulan Disember ini".

KENAPA LAMBAT DAPATKAN SIJIL HALAL?

Selasa 10 Nov merupakan hari istimewa bagi A&W kerana ia sah menerima sijil halal Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

BERITAmediacorp diundang secara eksklusif untuk berada di cawangan A&W di Jewel itu untuk membuat liputan dan menyaksikan sijil halal yang baru diperolehi itu dilekatkan pada tembok restoran, sekali gus merasmikan statusnya sebagai restoran halal.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Pengarah Urusan A&W, Martin Lim (paling kanan), Ustaz Azmi (dua dari kanan). (Gambar: BERITAmediacorp)

Pengarah Urusan A&W Singapura, Martin Lim memberitahu BERITAmediacorp, dengan adanya sijil halal ini ia memberi mereka keyakinan lebih tinggi untuk memperluaskan perniagaan dan menambah cawangan".

Sejak cawangan pertama di Jewel dibuka pada April lalu - iaitu sekitar setahun setengah yang lalu - status halal restoran itu kerap menjadi pertanyaan, khususnya dalam kalangan pelanggan Muslim setempat.

(Gambar: Facebook/A&W Singapore)

A&W di Jewel. (Gambar: Facebook/A&W Singapore)

Ini memandangkan A&W pernah dibuka di Singapura sejak tahun 1966 dan menjadi restoran makanan segera yang pertama di negara ini diiktiraf halal oleh MUIS, iaitu pada 1992. Namun, A&W gulung tikar pada tahun 2003 ekoran persaingan sengit daripada rangkaian restoran makanan segera lain di sini.

Gambar lama A&W dipercayai sekitar tahun 1994. (Gambar: Facebook/A&W Singapore)

(Gambar: Facebook/A&W Singapore)

Penolong Pengurus Restoran A&W, Zulkifle Muhamad menjelaskan: "Bila kita mengambil keputusan untuk kembali ke Singapura, kita (secara semula jadi) memang memutuskan untuk meneruskan usaha mendapatkan sijil halal. Proses untuk mendapatkan sijil halal merupakan satu proses yang rumit dan memakan masa."

(Gambar: BERITAmediacorp)

Penolong Pengurus Restoran A&W, Zulkifle Muhamad. (Gambar: BERITAmediacorp)

Kini setelah berjaya mendapatkan sijil halal MUIS itu, Encik Zilkifle berkata A&W berharap pelanggan Muslim dapat melanggani restoran segera itu "dengan penuh yakin".

"Semasa kami baru dibuka pada April, kami cuba mendapatkan sijil halal tetapi garis panduannya begitu ketat. Mentelah lagi, setiap jenama ada operasi mereka sendiri dan kami perlu mematuhi garis panduan yang ketat itu," tambah Pengurus Pembangunan Perniagaan A&W, Sally See.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Pengurus Pembangunan Perniagaan A&W, Sally See. (Gambar: BERITAmediacorp)

Restoran A&W mendapatkan khidmat perunding cara dari HalalHub Consultants bagi membantu syarikat itu melalui proses mendapatkan sijil halal tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HalalHub Consultants, Ustaz Azmi Abdul Samad menjelaskan bahawa proses dan jangka masa mendapat status halal bergantung dari syarikat ke syarikat.

"A&W mendapatkan khidmat kami pada pertengahan tahun ini. Dari situ kami memulakan proses penilaian menyeluruh produk, menjalankan audit dan memperbaiki apa yang perlu.

"Kadangkala bahan-bahan makanan adalah halal tetapi terdapat isu-isu pentadbiran yang mungkin menyebabkan kelengahan mendapatkan sijil halal," Ustaz Azmi memberitahu BERITAmediacorp.

Tahukah anda gelas minuman Root Beer A&W disimpan dalam peti beku bersuhu di bawah 20 darjah selsius. (Gambar: Facebook/A&W Singapore)

(Gambar: Facebook/A&W Singapore)

HARAP PENJUALAN, PENDAPATAN LEBIH TINGGI

Apabila ditanya sejauh mana pendapatan syarikat itu dijangka melonjak selepas ini, Cik See tidak dapat memberikan anggarannya. Namun beliau optimis penjualan pasti meningkat.

"Dengan sijil halal baru ini kami akan meraih lebih ramai pelanggan dari pelbagai segmen masyarakat dan tentu sekali pendapatan yang lebih tinggi dan kami berharap ia akan lebih baik berbanding sebelum ini," ujar Cik See.

(Gambar: Facebook/A&W Singapore)

(Gambar: Facebook/A&W Singapore)

Restoran-restoran A&W - yang dikendallikan di bawah jenama 'A Great American Brand', merupakan konsortium pelbagai francais A&W baik di Amerika Syarikat mahupun di luar negara.

Ia sudah membuka hampir 1,000 francais di 10 negara. Cawangan-cawangan di Singapura dimiliki secara langsung oleh syarikat tersebut.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan