Images
  • masks korea children covid file
    Gambar fail orang ramai di Korea Selatan memakai pelitup di tengah pandemik COVID-19 (Gambar: Reuters)

Remaja berupaya sebarkan COVID-19 sama seperti orang dewasa

NEW YORK: Satu kajian berskala besar yang baru dari Korea Selatan memberikan jawapan mengenai bagaimana kanak-kanak boleh menyebarkan COVID-19 kepada orang lain.

Ia mendapati kanak-kanak yang berusia di bawah 10 tahun kurang menyebarkannya berbanding orang dewasa, tetapi tidak bermakna langsung tidak wujud risiko. Mereka yang berusia antara 10 hingga 19 tahun pula berupaya menyebarkan virus itu sekurang-kurangnya seperti orang dewasa.

Hasil kajian itu membayangkan bahawa dengan sekolah bakal dibuka semula di negara-negara seperti Amerika Syarikat, masyarakat akan menyaksikan kelompok jangkitan timbul yang merangkumi kanak-kanak dari semua peringkat usia, menurut beberapa pakar.

Seorang pakar penyakit berjangkit di Universiti Minnesota, Michael Osterholm, memberi amaran: "Saya takut ada tanggapan bahawa kanak-kanak tidak akan dijangkiti atau tidak dijangkiti dengan cara yang sama seperti orang dewasa dan oleh itu, mereka ibarat penduduk yang terlindung."

"Hakikatnya, akan ada jangkitan," kata Encik Osterholm. "Apa yang harus kita lakukan adalah menerima hakikatnya sekarang dan mengambil kira dalam perancangan kita."

HASIL KAJIAN

Beberapa kajian dari Eropah dan Asia mencadangkan bahawa kanak-kanak kecil kurang kemungkinan dijangkiti dan menyebarkan virus. Namun kebanyakan kajian itu berskala kecil dan mempunyai kelemahan, kata Dr Ashish Jha, pengarah Institut Kesihatan Global Harvard.

Kajian baru tersebut "dilakukan dengan teliti, sistematik dan memantau jumlah penduduk yang sangat besar," kata Dr Jha. "Ia adalah salah satu kajian terbaik pernah dilakukan bagi isu ini."

Beberapa pakar lain juga memuji skala dan ketelitian analisis tersebut. Penyelidik Korea Selatan mengenal pasti kumpulan pertama 5,706 orang yang melaporkan gejala COVID-19 dalam anggota keluarga mereka antara 20 Januari hingga 27 Mac, ketika sekolah ditutup. Mereka kemudian mengesan 59,073 kenalan rapat "kes indeks" itu. Mereka menjalankan ujian ke atas semua kontak isi rumah setiap pesakit, tanpa mengira gejala yang dialami, tetapi hanya menguji kenalan rapat di luar rumah yang menunjukkan gejala.

Kemungkinan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun menyebarkan virus kepada orang lain didapati sekitar separuh lebih rendah berbanding orang dewasa. Dapatan itu sejajar dengan hasil kajian yang lain.

Ini mungkin berlaku kerana kanak-kanak pada umumnya mengeluarkan udara yang lebih sedikit - maka itu kurang udara yang membawa virus - atau kerana mereka menghirup udara yang lebih dekat dengan lantai, yang kurang dihirup orang dewasa.

KESAN KAJIAN

Pun begitu, jumlah jangkitan baru yang disebarkan kanak-kanak dijangka meningkat apabila sekolah dibuka semula, menurut nasihat pengkaji itu.

Kajian-kajian lain juga membayangkan jumlah tinggi kenalan bagi murid-murid sekolah meningkatkan risiko mereka membawa jangkitan kepada orang lain.

Para pengkaji juga hanya mengesan kenalan rapat kanak-kanak yang sakit, maka itu masih belum jelas sejauh mana kanak-kanak yang tidak mengalami gejala dapat menyebarkan virus itu dengan berkesan, kata Cik Caitlin Rivers, seorang pakar epidemiologi di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg.

Hasil kajian tersebut turut lebih membimbangkan berhubung pelajar sekolah menengah dan sekolah menengah atas. Ia mendapati kumpulan ini lebih cenderung menjangkiti orang lain berbanding orang dewasa. Namun beberapa pakar berkata bahawa penemuan itu mungkin satu kebetulan atau mungkin berpunca daripada tingkah laku mereka.

Kanak-kanak yang lebih tua ini selalunya sama saiznya dengan orang dewasa, namun mungkin mempunyai beberapa tabiat buruk yang tidak sihat sama seperti kanak-kanak kecil. Mereka mungkin lebih cenderung daripada kanak-kanak kecil untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka dalam kawasan bangunan tinggi Korea Selatan.

"Kita boleh terus membuat andaian, tetapi kita masih tidak akan tahu," kata Encik Osterholm. "Mesej utamanya ialah: Jangkitan akan berlaku." 

- Agensi berita/TQ/na

Top