Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Rayuan hiba Firdaus Nooralam minta bantuan orang ramai cari bapa yang sudah 18 tahun hilang

Jika anda mendengar rayuan meruntun hati pemuda ini, yang mencari bapanya yang sudah sekian lama hilang, anda akan turut terkesan dan sedih.

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan hiba Firdaus Nooralam minta bantuan orang ramai cari bapa yang sudah 18 tahun hilang

Petikan gambar Encik Firdaus menerusi video yang dimuat naik ke laman Facebook.

BERITAMediacorp: Jika anda mendengar rayuan meruntun hati pemuda ini, yang mencari bapanya yang sudah sekian lama hilang, anda akan turut terkesan dan sedih. Sungguh menghibakan. Boleh mengalir air mata menonton video rayuan yang dibuat pemuda bernama Muhammad Firdaus Nooralam itu.

Video itu dibuatnya pada Sabtu (2 Jun) dan merupakan suatu ‘langkah terakhir’. Beliau sudah kehabisan ikhtiar. Lantaran itu beliau merayu bukan sahaja orang Singapura, tetapi juga orang Malaysia supaya turut membantunya mengesan ayahnya yang hilang itu yang bernama Nooralam Abdullah.

Kisah Encik Firdaus ini membuktikan, betapa dalamnya hubungan yang dipanggil ayah-anak. Ikatan anak dengan ayah sukar dimatikan. Bagi Encik Firdaus, ini pencarian terpenting dalam seluruh jiwa raganya - mencari ayah yang entah di mana kini berada.

TIDAK PERNAH BERAYA DENGAN AYAH

Syawal bakal menjelang tidak lama lagi. Seperti tahun-tahun sudah, Encik Muhammad Firdaus terus menyimpan seribu harapan agar akhirnya dapat memeluk erat sosok tubuh bapa kandungnya yang amat dirinduinya.

Sehingga kini, Encik Firdaus tidak pernah sekalipun merasakan manisnya menyambut Aidilfitri bersama bapa kandungnya itu - Encik Nooralam Abdullah - yang menghilang tanpa khabar sejak kira-kira 18 tahun lalu.

Tambah meruntun hati, apabila beliau tidak ada walau sekeping pun gambar ayahnya yang boleh beliau tatap untuk menghilangkan rasa rindu itu.

Hakikatnya, sehingga hari ini, Encik Firdaus tidak pernah berhenti mencari bapanya, meskipun “tiada anggota keluarga yang mahu membantu”.

Encik Firdaus bersama isteri dan dua daripada tiga anaknya. (Gambar: Muhammad Firdaus Nooralam)

Encik Firdaus bersama isteri dan dua daripada tiga anaknya. (Gambar: Muhammad Firdaus Nooralam)

JADI MANGSA KEADAAN PERGADUHAN MAK AYAH

Encik Firdaus memberitahu BERITAMediacorp, beliau menjadi mangsa keadaan dek masalah yang melanda rumah tangga ibu bapanya sejak beliau dilahirkan lagi.

“Saya kecil lagi, apa yang saya boleh ingat pada ketika itu adalah mak saya menuntut nafkah daripada ayah. Kali terakhir saya jumpa ayah (masa itu) saya ingat nak dekat Hari Raya. Mak paksa saya pergi ke kedai bapa di Geylang. Suruh minta duit daripada ayah,” kata Encik Firdaus merujuk kepada gerai makanan barat milik bapanya. Gerai yang dahulu terletak di kawasan belakang Kompleks Joo Chiat itu dikenali sebagai Do Re Mi.

Menurut Encik Firdaus, kedua ibu bapanya sering bergaduh berhubung isu nafkah kewangan dan sudah begitu lama tidak sehaluan dan tidak sebumbung. Ini punca bapa Encik Firdaus menghilangkan diri semasa beliau berusia 12 tahun.

“Dia hilang tiba-tiba. Saya sebagai anak saya mencari dialah. Adik-beradik saya semua tak nak mencari. Saya sudah cuba yakinkan adik-beradik supaya bersama-sama dengan saya ikhtiar cari ayah,” ujar beliau. Encik Firdaus, 30 tahun, adalah anak sulung empat beradik.

Beliau menambah, ibu serta sanak-saudara yang lain juga diam membisu atau sekadar menjawab “tidak tahu” setiap kali diajukan soalan tentang bapanya. Disebabkan isu tersebut juga hubungan antara ibu dengan saudara-mara sebelah bapanya menjadi keruh.

“Malah saya sudah pujuk mak saya pun, mak saya marah saya. ‘Buat apa kau nak cari bapa kau?’ mak marah lah. Kedua-dua pihak tidak mahu memainkan peranan. Jadi saya ambil keputusan untuk berdiri atas kaki sendiri lah untuk cari ayah.”

“SAMPAIKANLAH VIDEO INI KEPADA AYAH”

Oleh kerana keadaan mendesak, Encik Firdaus memutuskan untuk memuat naik video ke laman Facebook beliau pada Sabtu (2 Jun). Menerusi video tersebut, beliau merayu kepada orang ramai supaya membantu mencari bapanya.

Hampir di penghujung video itu, Encik Firdaus kelihatan menahan sebak apabila memberitahu bapanya bahawa beliau sudahpun mempunyai tiga cucu. Encik Firdaus kemudian meluahkan rintihan hatinya dengan berkata “Abang rindu, abang nak peluk ayah, abang nak cium tangan ayah. Abang sayang ayah. Tolong jangan menghilang lagi ayah. Abang harap Hari Raya ini abang dapat jumpa ayah. Abang rindu sangat dengan ayah”.

Encik Firdaus mendedahkan kepada BERITAMediacorp, video itu dirakam secara spontan. Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori sememangnya kerap ditemani radio. Maka, apabila lagu-lagu Hari Raya dimainkan di corong radio, beliau tidak dapat menahan air mata daripada mengalir.

“Sebak sangat hati. (Semalam) saya cakap dalam hati, saya dah putus asa. (Tertanya-tanya) ‘Mana bapa aku, mana bapa aku’. Saya nangis sendiri saya cakap ‘Ya Allah bantulah aku ya Allah. Saya dah putus asa tak tahu nak buat apa. Dengan video ini ya Allah. Kau sampaikanlah kepada bapa aku.

“Saya doa mcm tu je. Saya cuba kawal diri. Saya tak nak aibkan mak saya. Saya tak nak aibkan mana-mana pihak. Tapi saya pula yang jadi mangsa keadaan,” luah Encik Firdaus dengan nada menahan tangisan.

Yang pasti, video itu bukanlah kali pertama Encik Firdaus meminta bantuan orang ramai. Tahun lalu, beliau berjaya menembusi talian radio RIA897 dan meminta bantuan orang ramai menerusi DJ Dzar Ismail. Malangnya, rayuan tersebut juga gagal berhasil.

PERNAH CIUM PIPI AYAH, RASA “TAJAM-TAJAM”

Apabila ditanya tentang kenangan bersama bapanya. Encik Firdaus berasa sukar untuk berkongsi yang manis. Ini kerana Encik Firdaus “datang dari keluarga yang berpecah belah” dan jarang sekali bertemu bapanya sebelum beliau tiba-tiba hilang.

Sungguhpun demikian, Encik Firdaus, berupaya memberi sedikit gambaran rupa bapanya kepada BERITAMediacorp.

“Rupa saya macam ayah. (Beliau) gelap sedikit. Mukanya bulat. Tingginya sekitar 166 - 170 sentimeter. Beliau berjambang. Saya ingat itu kerana saya pernah mencium pipi ayah dan rasa tajam-tajam. Sebab itu saya kata beliau ada jambang.”

Bagi Encik Firdaus, meskipun ditentang dan dipulaukan anggota keluarga sendiri, beliau tetap bertekad mencari bapanya. Encik Firdaus menambah, ibunya juga sudah tidak lagi berhubungan dengan beliau sejak setahun lalu, malah sudah menukar nombor telefon.

“Saya cari ayah sejak dia hilang. Saya benar-benar mahu tahu. Dia hidup lagi atau tidak. Kali terakhir (pada tahun lalu) saya dengar dia di Johor Bahru dan sedang sakit. Itu yang membuatkan saya semakin berkobar-kobar nak cari dia,” kata Encik Firdaus. Itu juga sebabnya beliau turut merayu kepada rakyat Malaysia supaya membantu mencari bapanya.

“Kalau tak dapat jumpa, saya dapat gambar dia dah cukuplah. Itu saja saya minta. Gambar dia sendiri saya tak ada (mak sudah buang),” luah beliau yang pasti menusuk kalbu orang yang mendengar permintaan sedemikian.

TERIMA AYAH WALAU SEJAHAT MANA PUN

Setelah lama mencari, Encik Firdaus akhirnya melihat sedikit sinar harapan semalam (3 Jun) apabila salah seorang makcik saudaranya menjumpai surat beranak beliau.

Surat beranak Encik Firdaus yang baru diperolehi pada 3 Jun. (Gambar: Muhammad Firdaus Nooralam)

Surat beranak Encik Firdaus yang baru diperolehi pada 3 Jun. (Gambar: Muhammad Firdaus Nooralam)

Dengan surat beranak itu, Encik Firdaus kini sudah sekurang-kurangnya mengetahui nombor kad pengenalan bapanya. Ini diharap dapat membuka lebih banyak ‘pintu’ untuk beliau lebih hampir kepada persoalan di mana bapanya.

Sekalipun tidak dibantu keluarga, Encik Firdaus berkata, salah satu pemangkin semangat beliau untuk tidak berputus asa adalah sokongan masyarakat.

“Hari ini (3 Jun) tak henti-henti orang berikan saya sokongan dan doa,” katanya sekali lagi dengan nada mulai sebak. “Saya begitu terharu. Alhamdulillah. Semua kasi semangat sedangkan keluarga saya sendiri buang saya,” adu beliau pasrah.

Berkongsi harapan beliau menjelang Aidilfitri kurang dua minggu lagi, Encik Firdaus berkata: “Saya mahu peluk, cium dan minta maaf pada ayah...Dari (saya) lahir memang mereka (ibu bapa) bermasalah dan saya tak pernah langsung beraya dengan ayah saya.

“Tapi saya tahu ayah saya seorang yang baik. Mungkin keadaan tidak mengizinkan. Saya tetap akan menerimanya walau sejahat mana pun dia. Asalkan saya dapat berjumpa ayah sebelum saya tinggalkan dunia ini,” katanya memendam sepenuh harapan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan