Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ratusan rakyat S'pura tempah 'staycation' selepas hotel tempatan dibuka semula

Beratus-ratus rakyat Singapura membuat tempahan bagi penginapan di hotel-hotel tempatan (staycation) dalam beberapa hari pertama sejak sebilangan hotel diluluskan oleh pihak berkuasa untuk menerima tempahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ratusan rakyat S'pura tempah 'staycation' selepas hotel tempatan dibuka semula

(Gambar: Capella Singapore)

Diterbitkan : 17 Jul 2020 01:35PM Dikemas Kini : 17 Jul 2020 01:40PM

SINGAPURA: Beratus-ratus rakyat Singapura membuat tempahan bagi penginapan di hotel-hotel tempatan (staycation) dalam beberapa hari pertama sejak sebilangan hotel diluluskan oleh pihak berkuasa untuk menerima tempahan.

Ini setelah hotel-hotel di Singapura tidak dibenarkan untuk menerima tempahan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang menghadkan pergerakan dan aktiviti perniagaan semasa pandemik COVID-19.

Beberapa hotel memberitahu Mediacorp bahawa bilik-bilik yang ditawarkan ditempah sepenuhnya sepanjang beberapa hujung minggu, sementara ada juga yang melaporkan kadar penginapan setinggi 80 peratus.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk membuka semula ekonomi secara bertahap-tahap, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengumumkan pada 3 Jul bahawa hotel-hotel boleh mendaftar kepada pihak berkuasa untuk mengambil tempahan bagi penginapan dan membuka semula ruang-ruang rekreasi bagi kanak-kanak.

Setakat Rabu (15 Jul), 35 hotel sudahpun diluluskan untuk dibuka semula.

PERMINTAAN TINGGI

Salah sebuah hotel yang dibuka semula, Grand Hyatt Singapore yang terletak di syurga beli-belah di Orchard Road, menyatakan bahawa ia sudah ditempah penuh sepanjang beberapa hujung minggu. Hotel itu menerima banyak pertanyaan setelah sistem tempahannya dibuka pada petang Selasa (14 Jul).

Di Hotel Marriott Tang Plaza di Orchard Road, pengarah penjualan dan pemasaran Alvin Lim pula berkata hotel itu menerima "lebih daripada 200 tempahan" sejak ia mula menerima tempahan bagi penginapan pada petang Isnin (13 Jul).

TAWARAN UNTUK PIKAT PELANGGAN

Daripada 18 hotel yang dihubungi Mediacorp, sebilangannya menyatakan bahawa mereka menawarkan pakej penginapan dan tawaran makanan dan minuman (F&B) untuk memikat para pelanggan, dengan tawaran itu diadakan sehingga hujung tahun ini.

Hotel-hotel juga menawarkan waktu daftar masuk dan daftar keluar yang fleksibel, tempat letak kenderaan percuma, rawatan spa, pilihan menukar ke bilik lain (room upgrade) dan tawaran bagi keluarga dengan kanak-kanak. Misalnya, kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun dapat menginap percuma di bawah “Upsized Staycation Offer” oleh Hotel Fairmont Singapore.

LANGKAH KESELAMATAN

Langkah pengurusan selamat STB menyatakan bahawa hotel-hotel mesti mengawal kemasukan ke premis masing-masing dengan memeriksa setiap individu yang masuk ke hotel dan melaksanakan sistem pengesanan kontak digital SafeEntry.

Kawasan lobi hotel pula hanya dibenarkan untuk menampung tidak lebih daripada satu individu bagi setiap ruang 10 meter persegi yang dapat diakses oleh para pelanggan pada setiap masa. Hotel-hotel juga mesti mematuhi waktu berperingkat daftar masuk dan daftar keluar bagi para pelanggan.

Selain itu, pihak hotel juga diwajibkan untuk mengawal akses para pelanggan ke kemudahan yang dikongsi dan mematuhi langkah pembasmian kuman yang ketat di setiap bilik hotel. Cawangan F&B, spa, kemudahan sukan dan rekreasi serta dewan acara dan kelab kanak-kanak di hotel turut tertakluk di bawah protokol keselamatan.

Sekiranya terdapat sebarang kes COVID-19 yang disyaki atau disahkan, hotel-hotel perlu melakarkan pelan tindak balas termasuk langkah-langkah seperti mengasingkan kes yang disahkan dan mengepung tempat-tempat yang dikunjungi oleh kes tersebut. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan