Images
  • stress
    (Gambar: Pexel)

Rasa tertekan pembunuh dalam senyap

KUALA LUMPUR: Menyebut perihal stres, tidak keterlaluan jika dikatakan ia sering kali menjadi punca utama kepada masalah kemerosotan kehidupan.

Stres boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu dan membawa kepada pelbagai masalah serta penyakit yang lebih kompleks melibatkan emosi dan fizikal yang bukan sahaja memberi kesan ke atas individu bahkan orang sekeliling.

Ini termasuklah risiko penyakit jantung, murung, cenderung mencederakan diri sendiri bahkan boleh membarah sehingga membunuh diri.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Cik Anita Abu Bakar, stres atau tekanan adalah normal dalam kehidupan dan adakalanya ia dapat memotivasikan seseorang baik di tempat kerja mahupun dalam menjalani kehidupan seharian.

"Namun begitu, jika seseorang tidak menangani tekanan dengan sewajarnya dalam jangka masa yang panjang, ia boleh mengganggu pekerjaan, kehidupan, keluarga dan kesihatan.

"Rasa tertekan biasanya disebabkan oleh perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seperti menghadapi perubahan besar, risau pada sesuatu, tidak mempunyai kawalan dalam situasi kehidupan, mempunyai tanggungjawab yang berat, tidak mempunyai pekerjaan, ketidaktentuan dalam kehidupan, tekanan kerja, pembelajaran serta trauma,” katanya kepada Bernama.

Jumlah individu yang mengalami stres semakin hari semakin meningkat, seiring dengan cabaran dan situasi dunia yang kian mencabar hari ini.

Penularan pandemik COVID-19 sudah mengubah 360 darjah corak kehidupan majoriti masyarakat apabila ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan sekali gus menjadi punca kepada peningkatan penyakit jiwa atau mental.

Mengulas lanjut Cik Anita berkata, hilang pekerjaan merupakan satu punca tekanan kerana mereka yang terlibat lebih cenderung untuk mempunyai isu kesihatan mental disebabkan keadaan hidup yang tidak menentu membuatkan mereka bimbang dan takut tidak mempunyai wang untuk menyara keluarga dan memenuhi keperluan asas seperti makanan, rumah sewa dan sebagainya.

"Pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi telah mempengaruhi kesihatan mental ramai individu dan ia juga satu cabaran untuk mereka yang memang bertarung dengan penyakit mental. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di Malaysia adalah 2.3 peratus iaitu seramai setengah juta orang.

ADUAN SEMAKIN MENINGKAT

Berdasarkan kajian luar negara, Cik Anita berkata lebih kurang empat dari 10 orang dewasa di Amerika Syarikat sudah melaporkan simptom anxiety atau 'depressive disorder'.

KFF Health Tracking Poll pada Julai tahun lepas mendapati ramai orang dewasa melaporkan kesan negatif tahap kesihatan mereka seperti sukar tidur (36 peratus) atau makan (32 peratus), peningkatan penggunaan alkohol atau penggunaan dadah (12 peratus) dan keadaan kronik yang semakin teruk (12 peratus) disebabkan oleh kebimbangan dan tekanan terhadap COVID-19.

Malaysia turut mencatatkan peningkatan kes bunuh diri atau kes hampir bunuh diri kerana keadaan yang tidak menentu, ketidakpastian hidup dari segi kerja, sumber pendapatan, ekonomi yang terjejas selain banyak sektor terpaksa ditutup menyebabkan ramai orang menderita.

"Selain menghadapi tekanan besar oleh masalah psikologi, emosi, kesihatan dan pendapatan, ramai yang mengalami kesepian, ketidakberdayaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak terkecuali ramai yang menghadapi perubahan besar dalam kehidupan mereka termasuk episod keganasan rumah tangga serta masalah penganiayaan keluarga, " katanya.

Menyifatkan situasi yang berlaku ini bukanlah perkara baharu, beliau berkata ditambah dengan krisis COVID-19, kelemahan aspek persediaan sistem kesihatan serta kesihatan mental negara perlu diperkasa bagi menampung mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Di samping kerajaan giat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, banyak badan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat membantu menyediakan perkhidmatan dan bantuan secara dalam talian ketika tempoh PKP fasa pertama.

“Sejak Mac 2020, kerajaan telah menubuhkan Talian Sokongan Psikososial bagi membantu memberi sokongan emosi dan kaunseling kepada mereka yang menghadapi stres, bimbang, marah, murung dan sebagainya disebabkan kesan pandemik COVID-19,” katanya.

STRES PUNCA SAKIT JANTUNG

Walaupun stres bukanlah pembunuh utama manusia, namun perlu diingat ia adalah antara penyumbang utama kepada masalah jantung yang sehingga kini kekal di tangga teratas sebagai penyebab kematian di Malaysia.

"Stres bukan sejenis penyakit. Ia adalah masalah kesihatan mental. Apabila keadaan seseorang bertambah teruk ia boleh melarat menjadi penyakit mental seperti gangguan kemurungan, rasa cemas, gelisah, bipolar, skizofrenia dan lain-lain.

“Kita perlu mencegah stres dengan mengurus kehidupan dengan baik dan seimbang dari segi fizikal, psikologi, sosial, spiritual dan agama. Teliti semula apa tujuan hidup dan jangkaan ke atas diri kita dan persekitaran.

“Uruskan masa sebaiknya termasuk masa untuk diri sendiri seperti bersenam, bercuti, bersosial, menguruskan kerja atau pelajaran,” tambahnya sambil menasihatkan pemakanan seimbang, menjaga berat badan dan tidak merokok antara yang perlu diamalkan sebagai pengurusan stres yang baik.

Antara tanda-tanda seseorang sedang mengalami stres adalah rasa tertekan, tidur yang terganggu, mudah marah, cemas, letih, kurang fokus, rasa mudah kecewa, mendapat serangan gastrik, kerap selsema dan batuk.

“Sekiranya tanda-tanda itu ada pada diri atau rakan-rakan segeralah dapatkan bantuan sokongan profesional dengan berjumpa kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri,” katanya. 

- BERNAMA/NA/na

Top