Images
  • botak
    Gambar hiasan: istock

Rambut selalu gugur? Tabiat harian ini punca lelaki cepat botak

MASKULIN: Setujukah anda rambut antara ‘aset' yang sangat penting dalam keterampilan dan penampilan kaum lelaki?

Bagi sesetengah individu, rambut yang baik membuat penampilan seseorang lelaki itu lebih menarik.

Penjagaan rambut lelaki mungkin tidak serumit seperti wanita.

Namun, terdapat beberapa tabiat yang patut dielakkan agar rambut tidak mudah gugur, rosak dan seterusnya menjadi cepat botak.

Jika anda kerap melakukan perkara berikut, lagi baik elakkannya!

PAKAI TOPI KETAT
Tidak dinafikan, topi jenis 'snapback', cap atau beanie membuatkan penampilan anda lebih menyerlah.

Malah topi juga merupakan penyelamat kepada anda yang mengalami masalah keguguran rambut atau kebotakan kerana ia boleh menutupi bahagian yang botak itu.

Namun tanpa anda menyedari, pemakaian topi yang terlalu ketat dan bagi tempoh yang lama boleh menyebabkan berlakunya keguguran rambut secara berkala.

Tabiat itu akan menyebabkan rambut kurang bernafas sehingga rambut jadi nipis dan akhirnya botak.

IKAT RAMBUT TERLALU KUAT
Memang ramai lelaki yang suka menyimpan rambut panjang. Malah 'man bun' menjadi antara gaya rambut yang popular dalam kalangan lelaki berambut panjang.

Apa yang salah adalah apabila anda mengikat rambut terlampau ketat dalam jangka masa yang lama. Ini boleh menyebabkan tekanan berlebihan pada akar rambut.

Ramai lelaki yang menerapkan gaya rambut 'man bun' mengalami masalah rambut gugur yang serius.

KURANGKAN PRODUK KIMIA

Seperti yang dipetik dari news.com, semua gaya rambut yang menggunakan produk secara berlebihan boleh menyumbang kepada masalah kebotakan.

Sisa bahan kimia akan berkumpul pada kulit rambut dan membentuk kotoran yang mengganggu keseimbangan pH pada kulit kepala.

Akibatnya, kulit kepala menjadi tidak sihat dan gagal mencengkam akar rambut dengan baik.

Jadi, berhati-hatilah menggunakan produk sedemikian. Jangan kerana ingin mengikut trend, anda sanggup mengabaikan kesihatan rambut.

Rumusannya, longgarkan sedikit pemakaian topi. Sesekali biarkan rambut anda lepas bebas serta kurangkan kekerapan menggunakan produk rambut. 

- Agensi berita/SM/sm

Top