Images
  • doktor
    (Gambar: AFP/Joe Raedle)

Ramai penghidap barah payudara rujuk pakar hanya selepas gagal rawatan alternatif

SUNGAI PETANI: Masih ramai penghidap barah payudara memilih rawatan alternatif dan hanya datang ke hospital setelah penyakit itu berada pada tahap serius dan sukar dirawat, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata seramai 200 hingga 300 wanita di negeri itu dikesan menghidap barah payudara bagi tempoh 2007 hingga 2011 dan jumlah itu sangat membimbangkan.

Beliau berkata lebih membimbangkan apabila masih ramai pesakit tidak melakukan rawatan susulan di hospital tetapi sebaliknya mendapatkan rawatan tradisional dengan bomoh, dukun atau beli ubat-ubatan luar sehingga mengalami komplikasi yang teruk akibat lewat mendapatkan rawatan pakar.

"Kita juga dapati 50 peratus pesakit yang dikesan menghidap barah, sudah berada pada tahap tiga dan empat, menyebabkan tidak banyak rawatan boleh dilakukan," katanya kepada Bernama di majlis perasmian Sambutan Hari Barah Sedunia peringkat negeri, hari ini.

Katanya, laporan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Negeri (NCD) yang dikeluarkan pada 2016 juga menunjukkan barah payudara adalah penyebab utama kematian wanita di negeri itu berbanding barah usus dan kanser paru-paru.

Selain itu, Dr Norhizan berkata menurut laporan itu juga, jumlah pesakit barah usus turut meningkat sebanyak 30 peratus, manakala pesakit kanser paru-paru sebanyak 150 kes secara purata setahun. 

- BERNAMA/NA/na

Top