Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Rakyat S'pura kini dapat tidur lebih lama, namun ramai masih belum puas

Rakyat Singapura dikenali dengan kehendak kita untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua sekalipun. Namun, satu perkara yang mungkin masih kita dapat perbaiki ialah untuk mendapatkan tidur yang secukupnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura kini dapat tidur lebih lama, namun ramai masih belum puas

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 14 Mar 2020 09:43PM Dikemas Kini : 14 Mar 2020 09:50PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura dikenali dengan kehendak kita untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua sekalipun. Namun, satu perkara yang mungkin masih kita dapat perbaiki ialah untuk mendapatkan tidur yang secukupnya.

Mujur, ia adalah satu aspek yang semakin kita raih kemajuan.

RAKYAT S'PURA TIDUR 6.9 JAM SEHARI

Dalam kajian tahunan yang kelima mengenai tidur yang diterbitkan pada Jumaat (13 Mac), syarikat teknologi kesihatan Royal Philips mendapati rakyat Singapura secara purata tidur 6.9 jam setiap malam - naik berbanding 6.4 jam pada 2019.

Menurut pakar neurologi di Pusat Neurologi dan Tidur di Hospital Gleneagles, Dr Lim Li Ling, hasil kajian itu sesuatu yang menggalakkan kerana mereka yang tidak mendapatkan tidur secukupnya secara kerap perlu tidur buat tempoh singkat di waktu siang hari demi mendapatkan rehat secukupnya, atau dikenali sebagai "hutang tidur".

"Sebarang kenaikan dalam tempoh masa tidur, meskipun hanya sedikit, amat berguna kerana jika kita membayar balik hutang waktu tidur, kita akan dapat mencapai tahap optima dari segi kesihatan emosi dan fizikal serta kesedaran mental," kata Dr Lim.

Data itu yang diraih berdasarkan purata waktu tidur pada hari biasa (6.7 jam) dan purata waktu tidur pada hari minggu (7.5 jam), merupakan tanda-tanda menggalakkan bahawa rakyat Singapura mula mendapatkan tidur secukupnya seperti disarankan iaitu antara tujuh dengan sembilan jam.

ADA MASIH TIDAK PUAS DENGAN CARA TIDUR

Namun, dengan peningkatan itu, rakyat Singapura seperti masih tidak berpuas hati dengan cara mereka tidur.

Daripada 1,000 responden yang ditinjau dalam tempoh antara 12 Nov dengan 5 Dis tahun lalu, hampir separuh (49 peratus) mengatakan mereka tidak puas dengan mutu tidur mereka, manakala 34 peratus lagi responden pula percaya mendapatkan tidur yang mencukupi adalah di luar kawalan mereka.

Antara sebab-sebab utama yang diberikan termasuklah tekanan dan kebimbangan (34 peratus), persekitaran tempat tidur (15 peratus) dan penggunaan telefon bimbit (14 peratus).

Meskipun pakar-pakar menasihatkan supaya jangan gunakan telefon bimbit sebelum tidur, kajian itu mendapati sebilangan besar rakyat Singapura (82 peratus) melakukan sedemikian.

Sekitar separuh daripada responden (51 peratus) pula mengatakan benda terakhir yang mereka lihat sebelum tidur adalah telefon bimbit mereka. 45 peratus pula mengatakan telefon bimbit merupakan benda pertama yang mereka lihat sebaik sahaja bangun dari tidur.

Satu lagi faktor yang menyebabkan individu tidak tidur nyenyak pada waktu malam ialah perbuatan menjawab panggilan atau kiriman teks yang mengejutkan mereka dari tidur.

13 peratus daripada responden menyatakan faktor itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur lena pada waktu malam.

BERSIKAP PROAKTIF TANGANI MASALAH TIDUR LENA

Namun begitu, rakyat Singapura juga bersikap lebih proaktif untuk menyelesaikan isu-isu yang menjejas mutu tidur mereka. 60 peratus individu yang ditinjau mengatakan mereka berminat untuk mencuba strategi bertujuan memperbaiki mutu tidur.

Ini seperti mengurangkan pengambilan kafein pada waktu siang hari (28 peratus) dan mengamalkan jadual waktu tidur dan bangun yang tetap (27 peratus).

Sementara itu, lagi 23 peratus mengamalkan tabiat membaca buku sebelum tidur dalam usaha memperbaiki mutu tidur.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan