Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Raffiey Nasir buka butik pertama di S'pura; rai ulang tahun ke-10

Ibarat sirih pulang ke gagang. Itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan pereka fesyen tanah air Raffiey Nasir.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ibarat sirih pulang ke gagang.

Itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan pereka fesyen tanah air Raffiey Nasir.

Setelah menempa nama di rantau ini dan Hollywood, Raffiey kembali bertapak di Singapura dengan pembukaan butik rasmi beliau yang pertama di Hotel Concorde hari ini (20 Jan).

Sempena pelancaran butik itu, sebuah pertunjukan fesyen diadakan, yang pertama diadakan secara solo sejak beliau berkecimpung dalam bidang fesyen 10 tahun yang lalu.

Persiapan yang mengambil masa tiga bulan ini akhirnya membuahkan 38 busana 'haute couture' yang sesuai diperagakan di majlis-majlis istimewa.

Menurut Raffiey, koleksi kali ini diilhamkan daripada rekaan-rekaan ikonik beliau yang lalu, seperti yang pernah disarungkan selebriti-selebriti seperti Fiza O, Raja Ilya dan Stacy pada majlis penyampaian anugerah dan hari persandingan mereka.

"Dalam koleksi saya pada kali ini saya menghasilkan songket-songket yang amat eksklusif dan mampu milik kepada semua yang ingin memperagakan baju saya di hari perkahwinan mereka," kongsi pereka yang berusia 31 tahun itu.

Sekitar 300 selebriti, keluarga dan sahabat handai hadir sama untuk meraikan acara istimewa ini. Antaranya Taufik Batisah yang turut berkongsi gembira atas kejayaan Raffiey.

"Seperti macam biasa, Raffiey Nasir tidak pernah mengecewakan dan rekaan-rekaan dia sentiasa begitu unik, dia sentiasa mencuba sesuatu yang baru. Jadi bagi saya, sebagai seorang seniman dan juga warga Singapura, saya juga bangga atas kejayaan Raffiey Nasir untuk sampai ke Hollywood".

Pengacara dan penulis Rilla Melati menambah, "Saya rasa bagi pereka asal Singapura yang berhijrah ke Malaysia dan kemudian pulang ke Singapura dan mengadakan pertunjukan fesyen ini sesuatu yang bagi saya sangat bersejarah untuk Raffiey kerana sudah 10 tahun beliau berkecimpung".

Baju-baju rekaan Raffiey boleh disewa atau ditempah di butik beliau di Hotel Concorde.

Raffiey baru-baru ini menarik perhatian setelah gaun yang direkanya membuat penampilan di permaidani merah Golden Globes. Dalam masa terdekat, beliau merancang untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan di Singapura dan terus mengembangkan namanya di Los Angeles.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan