Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pura Tanjung Sabtu, cantik tetapi terbiar

“Cantik tetapi terbiar usang”. Itulah kata-kata yang akan terdetik di hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pura Tanjung Sabtu yang terletak di Kampung Tanjung Sabtu di Manir, kira-kira 14 kilometer, dari Kuala Terengganu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pura Tanjung Sabtu, cantik tetapi terbiar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Jan 2020 10:07AM Dikemas Kini : 15 Jan 2020 10:15AM

KUALA TERENGGANU: “Cantik tetapi terbiar usang”. Itulah kata-kata yang akan terdetik di hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pura Tanjung Sabtu yang terletak di Kampung Tanjung Sabtu di Manir, kira-kira 14 kilometer, dari Kuala Terengganu.

Jika dilihat dari luar Pura (bahasa Sanskrit bermaksud istana) Tanjung Sabtu kelihatan seperti istana lama yang sangat besar dan cantik. Namun apabila memasuki rumah tersebut dapat dilihat sesetengah bahagian lantainya diselaputi lumut dan barangan serta perabot di dalamnya dalam keadaan bersepah.

Turut dikenali sebagai Tujuh Rumah Putera, Pura Tanjung Sabtu merupakan gabungan tujuh buah rumah kayu tradisional Terengganu di kawasan tanah pusaka seluas 5.66 hektar dan berdekatan dengan tebing Sungai Nerus. Ada juga yang mendakwa salah sebuah rumah di sana merupakan istana lama.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu, Encik Md Fauzi Mustaffa, berkata sebelum ini Pura Tanjung Sabtu merupakan sebuah inap desa yang diasaskan seorang kerabat diraja Terengganu, Allahyarham Tengku Ismail Tengku Su, kira-kira 30 tahun lalu.

Katanya. sekitar tahun 1990-an, Pura Tanjung Sabtu terkenal dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara terutama golongan orang kenamaan (VIP) dan kerabat diraja.

Rumah-rumah tradisional di Pura Tanjung Sabtu yang antaranya dinamakan Rumah Seberang Baroh, Rumah Rhu Rendang, Rumah Kuala Ibai dan Rumah Atas Tol berusia antara 100 hingga 200 tahun, katanya.

“Rumah-rumah tersebut dinamakan oleh Tengku Ismail mengikut tempat asal rumah itu diambil atau dibelinya. Menariknya, semua rumah tersebut dibina tanpa menggunakan paku, sebaliknya, berkonsepkan tanggam dan pasak,” katanya.

Malah, katanya, Allahyarham Tengku Ismail turut menjalankan perusahaan songket di salah sebuah rumah di Pura Tanjung Sabtu dengan songket yang dihasilkan menerima permintaan tinggi termasuk dari luar negara.

Namun, selepas Allahyarham Tengku Ismail, yang juga digelar ‘Putera Songket’ meninggal dunia pada 2011, tiada siapa lagi yang menguruskan Pura Tanjung Sabtu sehingga ia terbiar usang seperti sekarang.

Encik Md Fauzi, berkata, sebelum ini jalan masuk ke Pura Tanjung Sabtu dipenuhi semak samun, tetapi keadaannya berubah apabila sekumpulan penduduk kampung menjalankan kegiatan penanaman pisang berkelompok di atas sebahagian tanah di kawasan tersebut, bermula September lalu.

“Sebelum ini hendak masuk ke sini pun tidak boleh kerana kawasannya seperti hutan. Apabila pemegang amanah tanah membenarkan penduduk kampung menanam pisang di atas tanah seluas 3.23 hektar ini, secara tidak langsung kawasan persekitaran di sini pun telah dibersihkan.

“Saya juga difahamkan tanah di sebelah kebun pisang ini akan dibina sebuah pusat tahfiz, jadi kawasan sekitar Pura Tanjung Sabtu tidak akan lagi dipenuhi semak dan berhutan seperti sebelum ini,” katanya.

Sejak ia dibersihkan, katanya, kawasan tersebut turut menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pengunjung dari luar Terengganu untuk melihat dan mengambil gambar keunikan dan kecantikan seni binaannya.

Apatah lagi katanya, terdapat beberapa penulis blog, portal dan ‘vlogger’ yang menulis serta menjalankan penggambaran di kawasan itu menyebabkan Pura Tanjung Sabtu kembali terkenal dalam kalangan orang ramai.

“Berdekatan dengan kawasan ini ada satu lubuk yang dikenali sebagai ‘Lubuk Aji’, orang-orang dahulu percaya lubuk tersebut ada ‘penunggu’ dan Pura Tanjung Sabtu turut terkena tempiasnya apabila ramai yang mengaitkannya dengan perkara mistik. Namun setakat ini kami (penduduk kampung) tidak pernah menyaksikan sebarang perkara yang aneh di sini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Encik Md Fauzi melahirkan kerisauannya kerana keadaan rumah tersebut yang semakin usang dan terdapat bahagian rumah itu seperti tangga telah dicuri.

“Kawasan ini berdekatan dengan sungai, jadi sesiapa sahaja boleh datang sama ada melalui jalan darat atau sungai untuk mengambil barang-barang seperti pasu bunga dan perabot. Kita (penduduk kampung) pun tidak tahu siapa yang keluar masuk ke kawasan ini,” katanya.

Justeru, pihaknya berharap supaya ada pihak termasuk kerajaan negeri yang sudi mengambil alih, menjaga dan menaikkan semula Pura Tanjung Sabtu sebagai lokasi pelancongan terkemuka seperti dahulu.

“Jika tiada siapa yang menjaga tempat ini, warisan seni bina Melayu ini akan terbiar begitu sahaja. Hendak membaik pulih tempat ini mungkin memerlukan kos yang tinggi tetapi saya percaya sekiranya ia dibangunkan semula atau dijadikan seperti muzium, ia akan memberikan pulangan yang lumayan,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan