Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Puan Noor Aishah buka pintu rumahnya untuk acara jualan makanan amal Sabtu ini

Acara tersebut akan diadakan di pekarangan rumah Puan Noor Aishah – balu Presiden Pertama Singapura, Encik Yusof Ishak - bertempat di 15 Jalan Buloh Perindu.

Anggaran Waktu Membaca:
Puan Noor Aishah buka pintu rumahnya untuk acara jualan makanan amal Sabtu ini

Antara makanan yang dijual Sabtu ini (20 Jul). (Gambar: Facebook)

BERITAmediacorp: Kalau anda kepingin makan Serawa Durian, kambing golek, botok-botok, Mi Betawi, Churros atau sekitar 30 jenis juadah dan pencuci mulut yang enak-enak, ini peluang anda. Anda boleh berbuat demikian Sabtu ini (20 Julai) serta sambil makan sambil beramal.

Acara tersebut akan diadakan di pekarangan rumah Puan Noor Aishah – balu Presiden Pertama Singapura, Encik Yusof Ishak - bertempat di 15 Jalan Buloh Perindu.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

Apa kata anda ajak anggota keluarga dan rakan-rakan datang ke acara ‘Sebarkan Kebaikan’ (Spreading Kindness) di pekarangan rumah Puan Noor Aishah itu pada Sabtu ini (20 Jul) antara pukul 12 tengah hari dengan 5.00 petang.

11 peniaga makanan akan menyediakan gerai, iaitu: Syazz Hashim, Julie Bakes, Cendol Kain Pelikat, Hanna Bakes, Churros Temptations, Sofia's Zuckerbackerei, Stove Delight, Audanis Bakes, Halal Lactation Singapore, Tante Anie's Kitchen dan Mamak Shop by the Lil Ones.

Mereka semua komited untuk menyumbang sekurang-kurangnya 30 peratus daripada hasil jualan pada Sabtu ini bagi tujuan amal, iaitu membantu keluarga-keluarga memerlukan.

(Gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

SASAR KUMPUL $5,000 BANTU PESAKIT BARAH, IBU TUNGGAL

Jualan makanan amal ‘Sebarkan Kebaikan’ itu dianjurkan oleh lima sekawan - Rahimah Ali, Norhayati Abdullah, Fatimah Imran, Hazlina Hashim dan Hamdan Razali. 

Cik Hazlina Hashim, memberitahu BERITAmediacorp, mereka berharap dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya $5,000 dalam acara tersebut untuk membantu para pesakit barah dan ibu-ibu tunggal.

“Kami harap jumlah yang boleh kami berikan kepada mereka, walaupun tidak banyak, dapat membantu mereka. Mungkin bukan dari segi perbelanjaan ubat-ubatan tetapi lebih kepada keperluan harian mereka. Nak makan atau nak ke pasar,” kata Cik Hazlina.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

Usaha mengumpul dana itu sebenarnya sudahpun mula dijalankan sejak bulan Ramadan lalu. Menurut Cik Hazlina, mereka menghulurkan bantuan kepada dua rakan penganjur - Rahimah Ali dan Hamdan Razali - menjual sebanyak 180 dulang Nasi Ambeng dan Nasi Kuning.

Menerusi penjualan itu, mereka berjaya mengumpulkan $1,800. Ini bermakna, mereka memerlukan lagi $3,200 untuk mencapai sasaran $5,000. Dengan sokongan masyarakat yang bermurah hati, tidak mustahil juga jika jumlah yang dikumpulkan nanti boleh melebihi sasaran.

“Kami sasarkan untuk membahagikan dana yang dikumpulkan kepada 10 penerima. Kami cuba untuk mengehadkan jumlah penerima kerana khuatir jika terlalu ramai, mungkin jumlah yang dapat diberikan kepada setiap penerima agak kecil. Kalau ada lagi yang betul-betul memerlukan, kami akan cuba juga hulurkan bantuan,” jelas Cik Hazlina.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

KAKI KAMBING, KEK ‘FUSION’, SNEK DARI BELANDA JUGA ADA!

Dalam acara kemuncak Sabtu ini, para pengunjung bakal disajikan dengan hidangan-hidangan menarik dari yang moden hingga ke tradisional. Selain hidangan seperti kambing golek, Mi Betawi dan Churros, ada juga makanan seperti Samosa Bhai, Sugee Arab, Meatloaf serta pulut kuning daging rendang. Malah ada pelbagai kek seperti kek ‘fusion’, cendol serta snek-snek yang diterbangkan dari Belanda (Holland) dan Jerman.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

Harga makanan yang dijual adalah semurah S$4 hingga semahal S$95. S$95 adalah harga bagi kaki kambing panggang.

Bagi pemilik Julie Bakes, Cik Juliana Jahayer, beliau berbesar hati dapat turut serta dalam acara dari masyarakat untuk masyarakat ini demi membantu para pesakit barah dan ibu-ibu tunggal.

“Ini semacam ruang untuk kita katakan kepada mereka bahawa mereka tidak berseorangan. Mereka boleh dapatkan bantuan. Kadang-kadang nak minta bantuan orang susah. Bagi saya sendiri, hati saya mudah tersentuh bila mengenangkan para pesakit barah kerana saya juga pernah kehilangan anggota keluarga disebabkan barah,” Cik Juliana memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

PERKASA PESAKIT BARAH JUAL HIASAN RUMAH

Pihak penganjur turut memperkasa para penerima bantuan menerusi gerai-gerai yang akan dikendalikan sendiri oleh pesakit barah. Mereka akan menjual barangan hiasan rumah seperti bunga dan alas meja.

“Kami berharap menerusi inisiatif ini kami juga dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum mengenai kesulitan yang perlu diharungi pesakit-pesakit ini.

“Jadi kami amat berharap masyarakat dapat datang dan menyokong kami dengan berbelanja pada Sabtu ini. Lagipun, hujung minggulah masanya untuk makan di luar tambahan lagi ia demi amal. Kami juga sediakan ruang untuk pengunjung bersantai untuk menikmati makanan yang dibeli,” jelas Cik Hazlina.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

Untuk menghidupkan lagi suasana kampung itu, para pengunjung boleh mencuba permainan-permainan tradisional seperti capteh, gasing dan batu serembat. Malah, mereka juga digalakkan untuk sama-sama menggayakan pakaian ala kampung dengan berbaju batik atau baju kurung. Barulah meriah!

“Kami sudah maklumkan kepada para pegerai juga agar memakai baju batik atau baju kurung. Setiap gerai pun akan dihias mengikut tema. Nama jalannya sahaja Jalan Buloh Perindu kan? Dengan nama kemelayuan itu kami putuskan untuk mengangkat tema kampung,” ujar Cik Hazlina.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

DEMI AMAL, 5 SEKAWAN “GO JE”

Cik Hazlina, memberitahu BERITAmediacorp, idea untuk menganjurkan acara amal ini tercetus awal tahun ini.

Bermula dari satu idea kecil untuk menjual Nasi Ambeng amal ia kemudian berkembang menjadi satu misi besar di mana kelima-lima sahabat itu bersetuju bergabung tenaga dan kepakaran masing-masing demi menyuntik sedikit keceriaan dalam kehidupan 10 pesakit barah dan ibu-ibu tunggal.

“Kak Rahimah and Abang Hamdan mahu membuat jualan nasi ambeng amal dan kami pun berkata bahawa kami akan menyokong mereka. Dari situ, mereka mencadangkan agar kita menganjurkan sebuah acara amal dan Fatimah menyarankan rumah neneknya. Jadi kita pun ‘Go Je’,” cerita Cik Hazlina, yang merujuk kepada Fatimah yang juga merupakan cucu sulung Puan Noor Aishah.

(Gambar-gambar: Spreading Kindness)

(Gambar: Spreading Kindness)

Cik Hazlina menambah, usaha amal sulung mereka ini lebih bermakna lagi memandangkan mereka menjalankannya sebagai rakan baik.

“Ia memang lebih bermakna kerana kita semua bersahabat. Kita saling mengenali. Jadi bila kita jalankan kerja amal bersama-sama ia seolah-olah seperti ada satu ikatan yang mempermudahkan urusan kami. Kami mempunyai visi yang sama jadi ia lebih bermakna,” ujar Cik Hazlina.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan