Images
  • riders wanted photo
    Poster #ProjectKilatCOVID19. (Gambar: Ride of Hope/Facebook)

#ProjectKilatCOVID19 'Ride of Hope' bakal bantu 40 keluarga memerlukan di Clementi, West Coast

SINGAPURA: Apakah perkara pertama yang akan anda lakukan pada 2021?

Pada hari pertama Tahun Baru iaitu 1 Januari 2021, para anggota kumpulan Ride of Hope bersama dengan sekumpulan sukarelawan akan meraikan Tahun Baru bersama dengan keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

Bermula 8.00 pagi, mereka akan mengayuh basikal di sekitar kawasan West Coast dan Clementi untuk mengagihkan baucar-baucar pasar raya kepada kira-kira 40 keluarga berpendapatan rendah dan lagi 13 keluarga dalam senarai penerima bantuan masjid.

Di bawah daya usaha yang diberi nama #ProjectKilatCOVID19, setiap keluarga akan diberi baucar bernilai S$100 setiap satu.

“Jika boleh, kami mahu seramai mungkin sukarelawan untuk turut serta. Tetapi disebabkan keadaan sekarang ini, kami hanya boleh bekerjasama dengan enam kumpulan, dengan lapan pengayuh basikal dalam setiap kumpulan,” menurut Encik Norazhar Hussin, anggota Ride of Hope yang ditubuhkan pada 2012.

Menurut beliau lagi, orang ramai yang berminat untuk menghulurkan bantuan boleh menghubungi beliau atau melungsuri laman Facebook dan Instagram Ride of Hope serta laman rideofhopesg.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

MASYARAKAT DIPELAWA MENYUMBANG & BERAMAL

Selain #ProjectKilatCOVID19, Ride of Hope juga sudah menganjurkan banyak projek amal yang lain, bukan setakat di Singapura saja tetapi juga di negara-negara lain di rantau ini.


Anak-anak Rumah Anak Yatim YCIB di Jakarta menerima pakej bantuan hasil kutipan derma Ride of Hope. (Gambar: Ride of Hope/Facebook)

Malah, sepanjang lapan tahun lalu, kumpulan berkenaan turut mengusahakan dan menganjurkan inisiatif-inisiatif amal setiap bulan dan sentiasa mencari wadah dan kaedah baru untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

“Kalau kita tak tolong kita, siapa lagi yang akan tolong kita? Semua orang boleh beramal bahkan dengan sekadar memberi senyuman,” kongsi Encik Norazhar, 49 tahun.

Beliau juga berharap dapat menerapkan nilai dan pegangan hidup tersebut dalam kalangan anak muda yang merupakan tunggak di sebalik projek dan usaha amal kumpulan berkenaan.


Golongan belia antara tumpuan utama kumpulan Ride of Hope. (Gambar fail: Dadah itu Haram/Facebook)

Demi meneruskan kelangsungan kegiatan-kegiatan amal Ride of Hope, para anggotanya juga mengalu-alukan sokongan orang ramai, lebih-lebih lagi dari segi bantuan kewangan.

Maka itu, ia turut menjual barangan termasuk kemeja-T dengan hasil penjualannya disalurkan kepada kerja-kerja amal lain yang dianjurkannya.


Salah satu desain terbaru Ride of Hope 2021 yang dijual di laman Ride of Hope. 

Dalam pada itu, kumpulan tersebut juga mendapat sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan lain. Sebagai contoh, Encik Norazhar turut mendedahkan bahawa kumpulan itu sedang merancang untuk menganjurkan #ProjectKilatCOVID19 sebagai satu acara tahunan bersama Jamiyah.

Kata beliau selanjutnya: “Memberi adalah luahan kuasa yang paling hebat”. Ungkapan itu yang dijadikan sebagai pembakar semangat kumpulan Ride of Hope turut dijadikan sebagai motivasi untuk para anggotanya terus beramal.

“Sejak kami mula ditubuhkan, kami tidak pernah memandang ke belakang. Malah, keinginan untuk membantu orang lain semakin bertambah,” ujar beliau sambil meluahkan penghargaannya kepada orang ramai yang sama-sama turun padang untuk menghulurkan bantuan.


Anggota kumpulan Ride of Hope di sebuah kegiatan sempena kempen Dadah Itu Haram pada 2019. (Gambar: Ride of Hope/Facebook)

Khususnya bagi #ProjectKilatCOVID19, Encik Norazhar sepasukan dari Ride of Hope menghargai 'respons kilat' para sukarelawan sejauh ini.

“Kami tidak boleh menjayakan projek ini tanpa mereka,” ujar beliau. 

- BERITAmediacorp/sm

Top