Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Presiden Joko Widodo tangkas bertinju di 'gelanggang' Istana

Ramai yang mengenali beliau sebagai pemimpin Indonesia, namun jarang kita melihat sisi lain Encik Joko Widodo yang lebih lasak, seolah-olah seorang atlit.

Anggaran Waktu Membaca:

INDONESIA: Ramai yang mengenali beliau sebagai pemimpin Indonesia, namun jarang kita melihat sisi lain Encik Joko Widodo yang lebih lasak, seolah-olah seorang atlit.

Baru-baru ini, Presiden Indonesia itu berkongsi sebuah video yang menunjukkan aksi beliau menjalani latihan tinju.

Menerusi video yang dimuat naik ke laman Facebook beliau pada Sabtu lalu (3 Mac), Encik Joko Widodo yang memakai kemeja T berwarna hitam dilihat melepaskan 'pukulan' bertubi-tubi ke arah seorang lelaki yang dikenalkan sebagai jurulatih beliau.

Yang menariknya, gelanggang Encik Joko Widodo bukan sembarangan. Beliau berlatih tinju di pekarangan Istana!

"Saat ini saya berada di Istana Bogor dan biasanya kalau ada waktu terluang saya berlatih memanah, kemudian berlari-lari anak dan hari ini saya akan mulakan latihan tinju!" kata beliau sambil menunjukkan gaya sedang bertinju dan tertawa.

Menerusi perkongsian tersebut, Encik Joko Widodo menyifatkan sukan tinju sebagai "berat! berat! berat!", sambil menambah ia menyebabkan dirinya cepat penat dan memerlukan ketahanan fizikal yang amat tinggi.

"Olahraga tinju ternyata tidak sekadar latihan bertarung. Di dalamnya ada pelajaran tentang ketangkasan tubuh, gerak refleks dan (memerlukan)tumpuan," kata Encik Joko Widodo.

Berkongsi sejauh mana kehebatan Encik Joko Widodo dalam latihannya, jurulatih beliau, yang hanya dikenali sebagai Pak Abed memuji beliau.

"Ya kalau berlatih tinju, bapak (Joko Widodo) cukup pantas. Cukup berbisa. Semua gerakan beliau lancar," kata Pak Abed.

Setelah mendengar pujian daripada Pak Abed, Encik Joko Widodo segera membalas "ya kerana jurulatihnya sangat bagus", sambil ketawa dan mengucapkan terima kasih.

Selain tinju, memanah dan berlari-lari anak, Encik Joko Widodo juga kadangkala bermain futsal. Tentu sekali beliau berjaya membuktikan bahawa meskipun jadual padat, itu bukan penghalang untuk menjalankan gaya hidup aktif.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan