Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

PPIS lancar Fruity Friday bagi terapkan gaya hidup sihat dalam kalangan murid prasekolah

Menyemai gaya hidup sihat perlu dilakukan sejak dari usia muda lagi, supaya anak-anak kecil mendapat permulaan yang baik dalam pembangunan jasmani dan rohani mereka, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin pada Selasa (27 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyemai gaya hidup sihat perlu dilakukan sejak dari usia muda lagi.

Ini supaya anak-anak kecil mendapat permulaan yang baik dalam pembangunan jasmani dan rohani mereka.

Mesej penting ini ditekankan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin semasa melancarkan inisiatif Fruity Friday di Pusat Pembangunan Kanak-Kanak PPIS di Bukit Batok siang tadi (27 Ogos).

APA ITU FRUITY FRIDAY?

Di pusat-pusat prasekolah PPIS, murid-murid akan membawa buah-buahan ke sekolah pada setiap hari Jumaat mulai suku keempat tahun ini.

Inisiatif itu sebagai peringatan kepada kanak-kanak tentang pentingnya peranan buah-buahan dalam diet harian mereka.

Ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan mengongsi resipi-resipi berkhasiat menggunakan buah-buahan. Buat masa ini, sudah terdapat 14 resipi seperti pizza dan kebab yang menggunakan buah-buahan sebagai bahan utamanya yang dikongsi dalam buku resipi PPIS.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin yang melancarkan inisiatif ini turut menekankan kepada sekitar 15 murid K1 dan K2 tentang betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan sejak dari usia muda lagi.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurhelmy Hakim)

Di acara pagi tadi, Encik Amrin juga sempat melakukan senaman yoga bersama murid-murid tersebut, di samping mengajar mereka bagaimana memilih makanan yang sesuai untuk diet harian mereka menggunakan 'My Healthy Plate'.

PRIHATIN TERHADAP KESIHATAN MASYARAKAT

Inisiatif Fruity Friday juga merupakan cara yang baik untuk mengatasi berat badan berlebihan.

Pada tahun 2010, 10 peratus kanak-kanak di sekolah aliran utama mempunyai berat badan yang berlebihan. Perangkaan itu meningkat kepada 12 peratus pada 2016.

"Ini adalah satu perkara yang kita harus mengambil perhatian kerana semakin ramai anak-anak kita sekarang mempunyai berat badan yang berlebihan. Ini satu perkara yang sangat penting, ada pepatah melayu, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya, jadi kita harus biasakan anak-anak kita untuk bersenam untuk membuat pilihan yang sihat," ujarnya.

Menurut Encik Amrin, isu kesihatan perlu dipandang serius kerana jika tidak ditangani dari awal, ia boleh menimbulkan keprihatinan.

"Ini amat membimbangkan kerana kita dapat melihat banyak pengaruh seperti makanan segera. Dan jika kita lihat di prasarana dan pasar raya, kita dapat lihat berbagai-bagai manisan, coklat-coklat dan biskut-biskut yang mempunyai kadar gula yang tinggi. Jadi saya ingin mengajak ibu bapa supaya kita sama-sama menyemai gaya hidup sihat dari muda lagi"

HANTAR ANAK-ANAK KE PRASEKOLAH DARI USIA 3 ATAU 4 TAHUN

Menurut Encik Amrin, beliau gembira melihat murid-murid mesra bergaul dengan rakan-rakan sebaya mereka dan tahu bagaimana untuk berinteraksi dan belajar bersama.

"Jika mereka mendapat pendedahan dari awal lagi, mereka lebih bersedia untuk bersekolah dan ini dapat tingkatkan keyakinan mereka dan kebolehan mereka," tambah beliau lagi.

PROGRAM GAYA HIDUP SIHAT PERLU DIKEMBANGKAN

Bagi PPIS yang sudah 30 tahun mengendalikan pendidikan di peringkat prasekolah, ia berharap lebih banyak program yang memupuk dan menggalak gaya hidup sihat dapat dikembangkan di Singapura.

"Hasrat kami bagi PPIS untuk menjadi penyokong bagi kehidupan gaya hidup sihat, dengan mengajak prasekolah daripada pengendali Melayu yang lain dan juga rakan-rakan kerja untuk bekerjasama supaya kita dapat mengembangkan lagi idea tentang kehidupan sihat daripada awal lagi di kalangan kanak- kanak," kata Cik Rahayu Mohamad, Presiden PPIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan