Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Portal HungryGoWhere milik Singtel labuhkan tirai setelah 15 tahun beroperasi

HungryGoWhere akan berhenti beroperasi bulan depan, umum portal makanan dan minuman itu pada Selasa (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Portal HungryGoWhere milik Singtel labuhkan tirai setelah 15 tahun beroperasi

Petikan skrin laman HungryGoWhere.

Diterbitkan : 09 Jun 2021 03:22PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 04:09PM

SINGAPURA: HungryGoWhere akan berhenti beroperasi bulan depan, umum portal makanan dan minuman itu pada Selasa (8 Jun).

"Setelah menyediakan khidmat buat pelanggan Singapura selama 15 tahun yang luar biasa, HungryGoWhere.com akan berhenti beroperasi, dan hari terakhir perkhidmatan kami adalah 11 Julai 2021," menurutnya dalam satu catatan Facebook.

"Terima kasih kerana telah bersama kami selama ini dan kami sangat berbesar hati dapat menyediakan khidmat buat anda."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Singtel berkata bahawa penutupan itu adalah ekoran "cabaran hebat" yang dihadapi dalam industri di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Jurucakap itu mendedahkan bahawa sebahagian besar pasukan 13 anggota HungryGoWhere sudah diberi peranan lain dalam Singtel Group dan bahawa bantuan pekerjaan semula ditawarkan kepada yang lain.

PROGRAM GANJARAN DAN TEMPAHAN

Dengan penutupannya, program HungryRewards akan dihentikan pada 30 Jun. Pengguna boleh memindahkan "Hungry$" yang belum ditebus ke dalam kredit Singtel Dash. Hugry$ yang tidak dipindahkan selewat-lewatnya 30 Jun akan dibatalkan.

"Sekiranya anda telah membuat tempahan dengan kami, pihak restoran sudah menerima maklumat anda dan tempahan disahkan," menurut HungryGoWhere dalam FAQ yang diterbitkan untuk para pelanggan.

"Sekiranya tarikh tempahan anda jatuh pada 12 Julai 2021 atau kemudian, hubungi restoran untuk mengesahkan semula tempahan anda."

Portal tersebut akan terus menerima tempahan untuk tarikh sehingga 11 Julai. Tempahan sedia ada juga boleh diubah melalui portal sehingga tarikh itu.

HungryGoWhere tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada rakan niaga penjual untuk Jun dan Julai "sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka".

Semua kandungan di HungryGoWhere akan diturunkan pada penghujung hari 11 Julai, dan portal tersebut telah menasihatkan para pengguna untuk menyimpan kandungan yang ingin disimpan, seperti ulasan makanan, sebelum tarikh itu.

Ia juga menasihati para penjual untuk memuat turun maklumat tempahan pada 11 Julai.

DIPEROLEHI SINGTEL PADA 2012 DENGAN HARGA S$12 JUTA

Ditubuhkan pada 2006 oleh Encik Wong Hoong An, Encik Dennis Goh dan Encik Tan Yung Yih, HungryGoWhere meraih populariti sebagai laman ulasan makanan, dan berkembang untuk menawarkan tempahan restoran, tawaran makan, ganjaran makan, dan artikel mengenai makanan dan minuman di Singapura.

Ibu syarikat HungryGoWhere, GTW Holdings, diperoleh pada harga S$12 juta oleh Singtel pada Mei 2012 dengan syarikat telko itu merancang "untuk membentuk semula pengalaman menjamu selera di seluruh Asia".

Operasi HungryGoWhere digabungkan dengan laman gaya hidup dan pencarian Singtel, inSing.com, "mewujudkan penonton dua juta pelanggan - audiens makanan dan gaya hidup terbesar di Singapura" menurut telko tersebut pada masa itu.

inSing.com juga sudah tamat operasi, dengan catatan terakhirnya di Facebook bertarikh 26 Ogos 2019.

Pada bulan ia diperoleh, HungryGoWhere mencatat 4.1 juta paparan halaman, dan jumlah ini melonjak seganda kepada 8.2 juta paparan halaman pada Mei 2014, menurut laporan Mediacorp pada Oktober 2014.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan