Images
  • ijah popiah
    Ini Ijah, yang membuat popiah dengan pelbagai jenis inti. (Gambar: Ijah)

Popiah, tahu begedil jalan keluar 2 ibu sara hidup keluarga di tengah COVID-19

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 sedikit sebanyak menyebabkan tekanan kewangan dan emosi terhadap keluarga. Apatah lagi jika, satu-satunya pencari nafkah tidak dapat pulang kerana terkandas di luar negara. Demikian nasib yang menimpa Cik Nurhazirah Rahmat, ibu empat orang anak yang tinggal di flat sewa satu bilik di Jalan Kukoh.

Sejak COVID-19 melanda, suaminya yang bekerja di sebuah limbungan kapal di Mexico, belum lagi dapat pulang.

Demi menambah wang saku, wanita berusia 26 tahun ini, yang menjaga empat orang anak, berusia antara satu hingga lapan tahun, memutuskan untuk memulakan perniagaan makanan dari rumah semasa tempoh "circuit breaker".

Dengan nama Zirah La Cocina - diilhamkan dari Mexico - beliau menjual begedil tahu untuk dihantar kepada pelanggannya.


(Zirah bersama anak-anaknya. Gambar: Zirah)

Pada masa yang sama, rakannya Siti Khadijah, atau Ijah, 29 tahun turut mula berniaga apabila pekerjaan suaminya sebagai pegawai keselamatan turut terjejas dek COVID-19. Namun, dengan empat anak berusia antara enam bulan hingga enam tahun, suri rumah tangga sepenuh masa ini perlu memikirkan jenis perniagaan yang mampu diceburinya.

Dengan sokongan suaminya Ijah
mula berniaga pada April, di tengah-tengah tempoh pemutus rantaian jangkitan, dengan menjual popiah.

KEUSAHAWANAN DAN PENGUPAYAAN

Kedua-dua Ijah dan Zirah tinggal di Jalan Kukoh, dekat Chinatown, salah sebuah kejiranan dengan kebanyakan penduduknya tinggal di flat sewa dan berpendapatan rendah.

Namun, ini tidak melemahkan semangat dua usahawan tersebut.

Mereka menerima dorongan kuat daripada Samantha Kwan, anggota pertubuhan sukarelawan Readable yang membimbing kanak-kanak di kawasan Jalan Kukoh untuk mengupayakan mereka dengan kemahiran membaca.

Guru kepada anak perempuan Zirah, Cik Kwan, yang bekerja dalam bahagian pemasaran di Facebook, sangat berminat untuk membantu kedua-dua ibu-itu menjana sumber pendapatan sendiri, terutamanya dalam tempoh pemutus jangkitan yang mencabar.


(Samantha Kwan, yang memulakan Projek Cookoh, bersama ketiga-tiga anak Zirah Gambar: Samantha Kwan)

Perniagaan makanan dari rumah lantas satu langkah yang logik, kerana ramai kaum ibu pandai memasak.

Sejak April, Cik Kwan mengumpulkan lima ibu di Jalan Kukoh, termasuk Cik Zirah dan Ijah, untuk menyertai kumpulan dinamakan sebagai Project Cookoh. Beliau memulakan laman media sosial untuk setiap perniagaan mereka, mengajak teman untuk membantu dari segi fotografi, cari pembekal dan pembungkusan, selaraskan pesanan dan penghantaran, serta menyebarkan berita itu kepada semua rakannya.

Dalam masa terdekat, beliau merancang untuk mengadakan bengkel untuk golongan ibu itu mengenai asas fotografi makanan, analisis kewangan, dan alat perniagaan lain.

MAKANAN JADI PENYELAMAT

Cik Ijah berkongsi bahawa perniagaannya pada mulanya perlahan, namun dengan bantuan Cik Kwan, "tempahan mula datang dengan lebih rancak lagi. Saya terkejut."


(Popiah gulung Ijah bolhe digoreng pada bila-bila masa sahaja mengikut keselesaan anda. Gambar: Lady's FoodIcon)

Cik Ijah kini menjual popiah yang dibekukan dengan jenama Lady's FoodIcon. "Suami saya adalah orang yang memberi saya nama itu kerana, katanya, makanan adalah ikon, dan semua orang menyukai makanan," katanya sambil tertawa kecil, "Beliau adalah Gordon Ramsay saya."

Sejak memulakan perniagaannya pada lewat April, beliau memperoleh antara S$700 hingga S$800, dan wang ini digunakan untuk membeli keperluan rumah termasuk lampin dan susu untuk anak-anaknya.

Perniagaan Cik Zirah juga mula rancak. Begedil tahu sememangnya menjadi trend di Instagram semasa 'circuit breaker', maka itu permintaan untuk makanannya tinggi, dengan tempahan sering laris.

TIDAK DATANG BERGOLEK

Sudah tentu, itu semua tidak datang tanpa pengorbanan. "Ia memenatkan kerana saya hanya dapat menyiapkan makanan pada waktu malam," kata Cik Zirah. Sebelah pagi dan sebahagian besar waktu siangnya diluangkan untuk menjaga anak-anaknya.

Tanpa kehadiran suaminya di rumah, beliau juga tidak ada sesiapa yang dapat membantu. "Lazimnya, saya sendirian dengan anak. Kadang-kala rasa agak tertekan juga," katanya sambil menambah, "Tapi tidak mengapa. Saya masih boleh mengatasinya. "

Cik Ijah pula berkata: "Kesabaran juga amat penting. Dengan empat anak dan rumah yang sentiasa berselerak. Sekiranya tidak ada kesabaran, saya rasa perniagaan ini tidak akan bertahan lama," katanya.

Buat masa ini, beliau menambah, "Impian saya tidak begitu besar. Saya hanya berharap dapat membuka sebuah kedai kecil agar saya dapat menjual pelbagai jenis makanan, bukan hanya popiah. "

Bagi keluarga Cik Zirah pula, beliau berharap perniagaannyan detik permulaan bagi sesuatu yang lebih besar akan datang: Melihat perniagaannya kian berkembang, suami beliau berharap dapat membantu apabila pulang dari Mexico.

Untuk menempah dari Zirah La Cocina atau Lady's FoodIcon, lungsuri laman Instagram atau Facebook mereka:

- TODAYonline/TQ/fz

Top