Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Podcast 5 ibu Muslim moden S’pura ini pecah rekod dan kini No 1 di Spotify

Apa agaknya yang akan berlaku jika para ibu dikumpulkan di bawah satu bumbung?

Anggaran Waktu Membaca:
Podcast 5 ibu Muslim moden S’pura ini pecah rekod dan kini No 1 di Spotify

(Dari kiri, belakang) Umie Isa, Shikin Rahmat dan Nura J. (Dari kiri, depan) Denise Deanna dan Diah Mastura. (Gambar: A Mom Us)

BERITAmediacorp: Apa agaknya yang akan berlaku jika para ibu dikumpulkan di bawah satu bumbung?

Bagi lima orang ibu Muslim ini, bukan, bukan gosip.

Sebaliknya, ada semacam ‘keajaiban’ berlaku yang memberi manfaat dan semangat kepada para wanita lain untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan seharian mereka meskipun berdepan cabaran.

Lima ibu moden itu baru sekitar 13 hari lalu mereka memulakan satu podcast yang dipanggil A Mom Us dan hanya dalam tempoh sembilan hari sahaja (20 Apr), ia menjadi podcast ‘No 1' dalam carta podcast Spotify di Singapura!

(Dari kiri, berdiri) Denise Deanna, Shikin Rahmat, Diah Mastura. (Dari kiri, duduk) Umie Isa dan Nura J. (Gambar: A Mom Us)

(Gambar: A Mom Us)

Lima ibu moden itu terdiri daripada wanita-wanita yang dikenali, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu tempatan dan media sosial. Mereka ialah ‘influencer’ Diah Mastura; pengasas salon dandanan rambut Pearlista dan ejen hartanah Nura J; penulis skrip Umie Isa; tauke Mi Udang popular Deanna’s Kitchen Denise Deanna; serta pendidik dan penasihat Thermomix Shikin Rahmat.

Apabila BERITAmediacorp meninjau carta itu lagi semalam (23 Apr), ia masih kekal di tangga nombor satu mendahului podcast NJU (nombor 2), OkLetsGo (nombor 3), Think Fast, Talk Smart: Communication Techniques (nombor 4) dan Malam Seram (nombor 5).

(Gambar: Spotify)

(Gambar: Petikan gambar dari Spotify)

Semestinya pencapaian itu membanggakan ibu lima sekawan itu kerana carta nombor satu sebelum ini dikuasai oleh podcast OkLetsGo (OLG) selama hampir dua tahun.

“Kami kagum bagaimana mereka (OLG) dapat bertahan begitu lama mengungguli carta. Mereka sentiasa berada di nombor satu. Saya rasa dari segi etika kerja mereka, ia sesuatu yang sangat terpuji. Kami sebenarnya sudah gembira semasa naik ke nombor lima,” cerita Nura, ibu tiga anak, kepada BERITAmediacorp.

“Apabila kami naik ke tempat nombor sembilan, kami rasa ‘Oh! Ok, ini sudah cukup bagus!’ Jadi nombor satu ini sesuatu yang sangat tidak dijangkakan,” kata Umie pula, ibu tiga anak yang berusia antara 10 bulan dengan 10 tahun.

Tambah Diah, 40 tahun, yang juga dikenali sebagai Etrangle di Instagram: “Masa kami dapat nombor 10 pun kami sudah begitu gembira!”

APA ITU A MOM US?

Namanya unik. Namun mudah diingat. Kelima-lima ibu itu memberitahu BERITAmediacorp, A Mom Us diilhamkan daripada permainan video, yang popular sekarang ini, yang digemari anak-anak mereka, iaitu Among Us.

(Gambar: A Mom Us/Instagram)

Podcast A Mom Us bertujuan untuk menyampaikan harapan, memperkasa dan menonjolkan sifat belas ihsan kepada para wanita dan ibu di luar sana.

Semua lima ibu yang menjadi tunggak A Mom Us itu juga dikenali sebagai wanita yang berusaha mengimbangi kerjaya dan kehidupan sebagai ibu. Semuanya dikongsi menerusi laman media sosial mereka dan mungkin sebahagian orang melihat mereka sebagai sempurna dan mengetahui segala-galanya.

Lantaran itu, menerusi podcast A Mom Us, mereka mahu masyarakat tahu bahawa di sebalik kehidupan yang kelihatan indah-indah belaka yang mereka paparkan di media sosial, mereka juga merupakan manusia biasa - para isteri dan ibu berkerjaya yang kadangkala bergelut dengan pelbagai cabaran.

“Niat kami hanya untuk berkongsi pengalaman sebagai ibu, berkongsi gurauan, bagaimana kami selalunya berkomunikasi antara satu sama lain. Saya rasa itu caranya masyarakat boleh kaitkan diri mereka dengan kami,” ujar Diah, ibu lima anak.

APA SAHAJA YANG DIBINCANGKAN?

Topik-topik yang dibincangkan juga meluas termasuk persahabatan, kewangan, kehidupan, politik dan kesihatan mental. Sejak dilancarkan, mereka sudahpun mengeluarkan lima episod.

Dalam episod kedua, mereka mengundang pengasas Institut Safinah, Ustaz Tarmizi Wahid, di mana mereka bertanya soalan tentang bagaimana melatih anak-anak berpuasa dan membudayakan Ramadan di rumah.

Mereka juga berkongsi pengalaman sendiri semasa kecil belajar berpuasa dan kini sebagai ibu berusaha untuk menjelaskan dengan betul tentang konsep puasa tanpa memaksa anak-anak.

Dalam episod ketiga, mereka berkongsi pula tentang rutin dan bagaimana ia sangat membantu para ibu menguruskan kegiatan seharian keluarga.

Episod keempat pula mereka bercakap tentang bekas teman lelaki masing-masing. Siapa teman lelaki itu? Anda perlu mendengar sendiri.

Dalam episod itu, A Mom Us juga membayangkan bagaimana agaknya reaksi mereka jika anak-anak mereka sendiri memperkenalkan teman lelaki atau teman wanita satu hari nanti. Adakah mereka akan marah? menghalang? atau merestui?

Bunyinya seperti perbincangan serius. Namun ia senang didengar kerana diselang-selikan dengan usikan dan gurau senda antara mereka.

Apabila lima wanita itu berceloteh di bawah satu bumbung, ragam dan gelak tawa mereka semasa berkongsi pandangan dan pengalaman membuatkan pendengar - tanpa disedari - mengangguk-angguk tanda setuju. Ibarat para pendengar - khususnya kaum ibu - ada bersama-sama dengan A Mom Us dalam perbincangan mereka.

“Selepas kami keluarkan episod pertama, saya suka sesuatu yang seseorang beritahu kepada kami. Apabila beliau mendengar podcast kami, seolah-olah beliau sedang pasang telinga mendengar perbualan kami di meja sebelah di sebuah kafe. Jadi kami rasa kami seperti kawan mereka,” kongsi Umie, 39 tahun.

KERJA KERAS, PENGORBANAN & SOKONGAN KELUARGA

Bagi lima ibu ini, kejayaan itu tidak datang bergolek. Ia memerlukan kerja keras, pengorbanan dan juga kekuatan sokongan daripada setiap anggota keluarga mereka.

BERITAmediacorp diberitahu jika sebelum ini sebahagian daripada mereka masuk tidur sekitar pukul 10.00 malam setiap hari, sejak idea merakam podcast itu tercetus, rutin harian dan corak tidur mereka menjadi agak huru-hara.

“Sehingga hari ini, tiada lagi waktu tidur pukul 10.00 malam. Tiada lagi!” seloroh Nura penuh perasaan.

“Saya pula sudah tidak ada waktu tidur siang hari disebabkan mereka,” tambah Deanna, disambut gelak tawa rakan-rakannya. Jelas, mereka semua kini bekerja ‘overtime’ di luar tugas rasmi masing-masing.

(Gambar: A Mom Us/Instagram)

(Gambar: A Mom Us/Instagram)

Mereka perlu lebih kerap berjumpa atas urusan podcast di samping mengurus dan mendidik anak-anak, memasak dan melaksanakan kerja mereka setiap hari.

“Kami orang baru. Kami memang langsung tidak ada pengalaman (merakam podcast). Sifar! Saya jual Mi Udang, Umie penulis skrip, Diah ‘influencer’, Nura ejen hartanah dan kendalikan Pearlista dan Shikin penasihat Thermomix. Kami tiada latar belakang dalam podcast. Ini sangat baru bagi kami. Itu cabarannya,” jelas Deanna, 37 tahun, ibu seorang anak.

Nura, 38 tahun, menambah: “Kami terjun sahaja untuk merakam podcast. Bagi kami, lebih baik mulakan sahaja atau jangan lakukan terus. Jadi kami terjun sahaja dan ia mudah kerana kami terjun bersama-sama. Jadi kami tidak takut.”

“Suami kami adalah pengkritik utama kami. Mereka mendengar podcast kami dan memberikan pandangan. Kami bertuah kerana suami kami sangat menyokong. Anak-anak kami pula mereka suka apabila saling bertemu. Keluarga kami terlibat dalam kerja kami,” kata Umie.

Menurut Shikin, ibu empat anak, oleh kerana itu meski perlu mengimbangi pelbagai tanggungjawab setiap hari, kerja tidak lagi terasa seperti kerja.

“Setiap kali kami bertemu, kami tidak rasa seperti sedang bekerja. Bila anak-anak gembira, suami gembira, kami lagi gembira,” kata Shikin, 40 tahun.

Yang menariknya, sebelum podcast pertama dilancarkan, mereka merakam lagu khas yang mana keseluruhan anggota keluarga terlibat sama dalam menjayakannya.

Dari suami yang memberi pandangan dan membantu dari aspek teknikal hingga ke anak-anak mereka yang berjumlah 16 orang kesemuanya.

“Disebabkan COVID-19, jarak selamat dan sebagainya, kami perlu mengasing-asingkan diri dalam kumpulan berbeza, membahagi-bahagikan kerja, bapa yang mana satu akan ambil anak yang mana, rumah yang mana akan tumpangkan anak yang mana. Kami perlu merancang dengan baik kerana ramai anak-anak,” cerita Umie.

Hakikatnya, kekuatan lima wanita ini adalah keluarga dan matlamat yang satu iaitu untuk berjaya bersama-sama.

PESANAN A MOM US UNTUK WANITA & IBU MODEN

Apabila ditanya apakah harapan yang dipanjatkan untuk podcast A Mom Us, Diah berkata bahawa ia bertujuan "untuk kita saling menyokong antara satu sama lain dan menunjukkan bahawa para ibu juga hebat seperti orang lain”.

(Gambar: A Mom Us/Instagram)

(Gambar: A Mom Us/Instagram)

Shikin pula berkongsi bahawa beliau mengenali beberapa wanita yang berasa marah atas nasib mereka kerana perlu duduk rumah atau bekerja dari rumah dan menjaga anak-anak sendiri tanpa banyak sokongan. 

"Jadi kami di sini mahu mengingatkan bahawa mereka tidak keseorangan,” ujar Shikin.

Rakannya Umie, yang baru bulan lalu memenangi Anugerah Pesta Perdana bagi Penulisan Terbaik (Info-Ed) berkata bahawa podcast A Mom Us itu mahu memberi inspirasi dan memperkasa para ibu lain.

"Oleh itu kami selalu meminta maklum balas mereka. Ia tentang kita, tentang sebuah masyarakat yang terdiri daripada para ibu yang bersatu,” tambah isteri pengarah drama dan filem Faisal Ishak itu.

Memang, hakikatnya selagi kita dipanggil manusia selagi itulah kita tidak sempurna. Itu jugalah yang mahu Deanna tunjukkan bahawa "kita tidak sempurna seperti di media sosial”.

"Jadi podcast ini menunjukkan bahawa kami ada kekurangan, kelemahan dan itu sesuatu yang semua orang yang mendengar podcast kami pun alami. Jadi kami mahu menjalin hubungan itu dengan mereka,” terang Deanna.

“Saya rasa wanita selalu kurang dihargai, kita selalu selesa dalam zon selamat. Jadi saya rasa sudah tiba masanya kita selesa menjadi hebat dan ayuh, jangan menahan diri daripada menjadi hebat,” kata Nura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan