Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Petai laris di Malaysia Fest Singapura

"S$2 lima papan! S$2 lima papan!" Terdengar jeritan tersebut sebaik tiba di pintu masuk Dewan (Hall) 6, Bangunan Singapore Expo di mana Malaysia Fest 2019 sedang berlangsung.

Anggaran Waktu Membaca:
Petai laris di Malaysia Fest Singapura

Gambar Hiasan: Bernama

Diterbitkan : 27 Jul 2019 04:31PM Dikemas Kini : 27 Jul 2019 04:34PM

SINGAPURA: "S$2 lima papan! S$2 lima papan!" Terdengar jeritan tersebut sebaik tiba di pintu masuk Dewan (Hall) 6, Bangunan Singapore Expo di mana Malaysia Fest 2019 sedang berlangsung.

Bagi edisi tahun ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA) membawa masuk 10,000 papan petai di bawah program Jualan Terus Dari Ladang.

Bernama difahamkan berikutan sambutan menggalakkan dari penduduk Singapura 'penghantaran' pertama sebanyak 4,000 papan terpaksa ditambah.

Petai tersebut dibawa khas dari negeri Perak, yang sememangnya terkenal dengan komoditi itu.

Sementara itu terdapat pengunjung yang kedengaran bertanya tentang raja buah di gerai petai.

"Durian dah habis ke boleh bawa masuk lagi esok tak?"

Perasaan hampa jelas kelihatan apabila mereka mendapat tahu durian tidak mendapat "pelepasan" pihak penguasa Singapura, untuk menjadi salah satu komoditi untuk dijual di Malaysia Fest.

Pihak FAMA sudah berusaha hampir setiap tahun untuk membawa buah kegemaran rakyat republik itu, setiap kali acara besar tahunan itu berlangsung.

Pada edisi tahun lalu FAMA "berjanji" untuk membawa masuk durian hybrid Musang King dan juga durian kampung Bukit Gantang, tetapi tidak mendapat pelepasan.

Difahamkan percubaan tahun ini juga gagal atas faktor sama iaitu "bau"nya yang agak "kuat". Acara di Singapore Expo itu berlangsung dalam ruang yang berhawa dingin tertutup.

FAMA menyasarkan 90,000 pelawat mengunjungi festival empat hari itu yang sedang berlangsung sejak 25 hingga 28 Julai.

Gerai petai merupakan antara 233 gerai berasaskan produk kesihatan industri AgroMas dan pertanian, serta produk baharu yang lain ditampilkan untuk memacu jualan.

Gerai di festival itu terbahagi kepada tujuh kelompok - kecantikan dan fesyen, makanan popular, jenama selebriti, makanan dan buah-buahan, trak makanan, pelancongan dan perkhidmatan dengan penyertaan daripada pelbagai negeri, kementerian dan agensi.

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan