Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pesta Musang King percuma tarik pengunjung jauh dan dekat

Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati durian Musang King secara percuma hari ini (20 Jul) dalam Fiesta Musang King yang diadakan di Matrix Galleria Residensi SIGC di Seremban, anjuran Matrix Concepts Holding Berhad.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Musang King percuma tarik pengunjung jauh dan dekat

(Gambar hiasan: Bernama)

Diterbitkan : 20 Jul 2019 05:44PM Dikemas Kini : 20 Jul 2019 05:50PM

SEREMBAN: Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati durian Musang King secara percuma hari ini (20 Jul) dalam Fiesta Musang King yang diadakan di Matrix Galleria Residensi SIGC di Seremban, anjuran Matrix Concepts Holding Berhad.

Beratur panjang dan berpanasan tidak menjadi masalah kepada pengunjung malahan ada yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati raja buah itu pada pesta yang berlangsung pukul 11.00 pagi. 

Pekerja swasta dari Selangor Nurul Farhana Yusof, 34 tahun, berkata beliau datang bersama suami untuk menikmati durian Musang King memandangkan durian itu terlalu mahal dan hanya boleh didapati mengikut musim. 

"Saya dan suami memang penggemar durian, durian ini semua orang tahu ia bermusim dan mahal walaupun pada musimnya, jadi bila ada fiesta sebegini saya tidak melepaskan peluang walaupun datang dari jauh," katanya.

Seorang jurubina, Mohd Aidil Zulkarnain berkata menikmati buah durian lebih meriah apabila beratur beramai-ramai untuk bersama-sama makan raja buah tersebut.

"Tidak hairan bila tiba musimnya, saya sanggup mencari buah ini, beratur panjang dan panas tidak menjadi masalah kepada saya tambah pula ia diberi secara percuma," katanya yang menetap di Kuala Lumpur. 

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Matrix Concepts Lim Kok Yee berkata ini merupakan penganjuran kali kedua selepas diadakan di Ara Sendayan baru-baru ini.

"Ketika di Ara Sendayan, sambutan adalah di luar jangkaan dengan kedatangan pengunjung mencecah 2,000 orang dan selesai dalam masa dua jam. Pada hari ini sebanyak dua tan durian Musang King disediakan untuk para pengunjung," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan