Images
  • i light
    Zulkarnain Mohd Zin (kanan) bersama rakannya menghasilkan Rekaan seni "Cenotaph for a Stone". (Gambar: Nur Hazimah Anuar)

Pesta i Light menyusur sejarah 700 tahun S'pura dengan 32 karya seni pemasangan cahaya

BERITAMediacorp: Bagaimanakah agaknya rupa sebenar batu bersurat Singapura yang dipercayai berusia 700 hingga 1,000 tahun dan diletupkan pada tahun 1843?

Mengambil inspirasi daripadanya, sebuah rekaan 'batu bersurat' dihasilkan dan akan dipamerkan di Pesta i Light Singapura - Edisi 200 Tahun, hujung bulan ini.

"CENOTAPH FOR A STONE" RAIH INSPIRASI DARI UKIRAN JAWA KUNO PADA BATU BERSURAT ASAL

Rekaan seni yang bernama "Cenotaph for a Stone" itu, dihasilkan oleh Zulkarnain Mohd Zin, yang mendapat inspirasi melalui rasa terujanya terhadap tulisan Jawa kuno pada batu asal itu.

Menggunakan bahan-bahan seperti dawai dan jaringan dawai halus, beliau dan pasukannya membina 51 'batu-bata' pelbagai saiz bagi melambangkan serpihan-serpihan batu bersurat yang asal.

Menurut pereka "Cenotaph for a Stone" itu: "Ia adalah interpretasi semula batu bersurat Singapura sepanjang kewujudannya, ketika ia masih utuh, dimusnahkan dan serpihan-serpihan yang tertinggal sehingga hari ini."


(Gambar-gambar: Nur Hazimah Anuar)

"Pemasangan kami mempunyai 52 tiang yang menggambarkan 52 garisan tulisan yang tertera di garisan asalnya. Tiang yang ke-52 sengaja dikosongkan bagi melambangkan serpihan yang kini terdapat di Muzium Negara Singapura," tambahnya lagi.

Kesemua 'batu-bata' itu akan diletakkan di atas palang-palang besi dengan ketinggian antara 30 sentimeter hingga 2.6 meter.

Selain menggugah minda tentang sejarah Singapura, rekaan seni itu juga suatu halwa mata bagi 'santapan' para pengunjung.

"Kami mahu menggunakan sesuatu yang mendahului penubuhan Singapura dan sesuatu yang rakyat Singapura kenal tetapi tidak betul-betul memahami. Dari situ kami mengkaji cerita-cerita dongeng Melayu dan khazanah Singapura," ujar mahasiswa tahun ketiga jurusan seni bina Universiti Nasional Singapura itu.

JAMBATAN WARNA-WARNI "CONSTRUCTIVE INTERFERENCE" HASIL TEORI FIZIK

Seorang lagi seniman, Nur Fadilah Nordin pula mendirikan sebuah jambatan keluli yang dipancarkan lampu LED berwarna-warni.


Konsep bagi rekaan seni yang bernama "Constructive Interference" atau Gangguan Konstruktif itu diraih daripada teori fizik dari nama yang sama.

Tarikan utama rekaan seni Fadilah dan pasukannya itu ialah gelombang lampu yang bertukar warna mengikuti frekuensi suara seseorang - sekali gus ini menggalak interaksi antara para pengunjung.

Pancaran lampu yang dinamik dan berubah-ubah pada jambatan berukuran 15 meter kali 2.4 meter itu juga mencerminkan suasana hingar-bingar kota Singa.

"Ini amat menarik bagi kami kerana kami ingin melambangkan gelombang ini sebagai interaksi manusia. Matlamat ini adalah untuk menggalakkan interaksi antara satu sama lain," ujar mahasiswa tahun ketiga, jurusan seni bina, Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) itu.

Karya seni itu mengambil masa sembilan bulan untuk dihasilkan, daripada peringkat konsep sehinggalah kepada pembinaannya.

Bertemakan "Jambatan Masa", pesta i Light tahun ini mengajak para pengunjung menyusuri sejarah, perkembangan dan hubungan Singapura dengan masyarakat antarabangsa sejak 700 tahun lalu melalui 32 karya seni pemasangan cahaya.

Pesta i Light akan berlangsung dari 28 Januari hingga 24 Februari di kawasan Marina Bay, Daerah Sivik, Sungai Singapura dan Raffles Terrace di Fort Canning Park.

- BERITAmediacorp/aq

Top