Images
  • ramadan diabetes

Pesakit kencing manis dinasihat jaga diet, kekal aktif meski #dudukrumahsaja

SINGAPURA: Hari ini sudah masuk hari kesembilan kita berpuasa.

Bagi mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis dinasihatkan agar terus menjaga pemakanan serta kekal aktif meskipun #dudukrumah sahaja.

Demikian nasihat Dokor Keluarga, Dr Nor Izuan Rashid, dari Poliklinik Woodlands.


Beliau juga mengingatkan pesakit kencing manis untuk memantau paras gula dan membatalkan puasa jika tidak sihat.

"Kalau mereka merasa kurang sihat, mereka merasa mabuk, merasa keletihan, mereka harus memeriksa paras gula di dalam darah - kalau paras gula terlalu tinggi lebih daripada 16.7 atau terlalu rendah kurang daripada 3.9,"jelasnya.

Dr Izuan menekankan simptom akibat kadar gula terlalu tinggi atau rendah tidak harus dibiarkan kerana ia boleh membawa padah seperti koma.

Tambahnya, keadaan itu lebih penting lagi bagi pesakit kencing manis yang ingin terus berpuasa Ramadan ini, terutama mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Antara amalan baik yang boleh diteruskan ialah bersahur hampir waktu imsak, jangan melengah-lengahkan waktu berbuka dan banyak minum air.

Senaman ringan juga digalakkan memandangkan ramai yang #dudukrumahsaja dalam tempoh pemutus rantaian COVID-19 sekarang ini.

"Boleh lakukan senaman ringan di ruang tamu sebagai contoh. Mungkin dalam seminggu mungkin kurang 150 minit.

"Boleh buat sedikit senaman 'stretching', gunakan sedikit 'weights' untuk tempoh ini. Cuba elakkan sebarang aktiviti fizikal yang terlalu berat kerana ia mungkin mengakibatkan komplikasi seperti gula yang terlalu rendah," saran beliau.

Bagi kemudahan pesakit, poliklinik NHGP menawarkan pelbagai perkhidmatan secara online.

Ini termasuk nasihat perubatan, pemakanan, penjagaan luka dan khidmat penghantaran ubat bagi pesakit yang stabil. 

- BERITAmediacorp/fz

Top