Images
  • support patient generic
    (Gambar hiasan: Reuters)

Pesakit barah yang pilih rawatan alternatif lebih berkemungkinan tidak jalani rawatan perubatan

NEW YORK: Pesakit barah yang mendapatkan rawatan alternatif berkemungkinan tidak akan menjalani rawatan perubatan yang disarankan seperti kemoterapi dan radiasi dan mereka lebih berkemungkinan mati akibat barah.

Para penyelidik mengkaji data 258 pesakit yang dirawat bagi barah payu dara, prostat, paru-paru atau kolorektal pada peringkat awal antara 2004 hingga 2013, yang menggunakan sekurang-kurangnya satu ubat-ubatan alternatif atau ubat sampingan.

Ini termasuk herba, vitamin, diet khusus serta jenis-jenis rawatan lain yang belum terbukti mempunya kesan terapeutik.

Kajian itu juga membuat perbandingan dengan sekumpulan 1,032 pesakit barah serupa yang tidak menggunakan ubat-ubatan alternatif.

Umumnya, risiko pesakit yang mengambil ubat-ubatan alternatif meninggal dunia adalah seganda berbanding mereka yang tidak melakukan sedemikian.

Namun, selepas para pengkaji mengambil kira keputusan pesakit melengahkan atau menolak rawatan konvensional, tiada lagi perbezaan ketara dalam peluang bertahan hidup antara kedua-dua kumpulan tersebut. Ini sekaligus menyarankan faktor melengahkan atau enggan mendapatkan rawatan adalah faktor utama yang menyebabkan kematian di kalangan para pengguna terapi alternatif.


"Barah dan rawatan barah mungkin menakutkan, tetapi para pesakit masih perlu menjalani rawatan perubatan yang disarankan jika mereka bertekad untuk terus hidup," kata pengkaji Dr James Yu dari Sekolah Perubatan Yale di New Haven, Connecticut.

"Ubat-ubatan sampingan boleh memudaratkan keadaan jika ia dijadikan alasan bagi pesakit untuk melengahkan ataupun sama sekali tidak menjalani rawatan," kata Dr Yu.

Namun, sangat jarang pesakit barah menolak rawatan dan hanya bergantung kepada rawatan alternatif, kata Dr moshe Frenkel, pengasas Klinik Onkologi Bersepadu di Pusat Barah Houston.

"Para pesakit yang memilih untuk menghentikan semua rawatan konvensional dan bergantung kepada rawatan alternatif, mungkin mengambil bahan-bahan yang kadangkala toksik seperti vitamin B17 dan kadar beta carotene tinggi," kata Dr Frenkel, yang tidak terlibat dalam kajian itu. Amalan-amalan ini akan memudaratkan lagi keadaan pesakit barah, katanya.

"Anda tidak boleh membandingkan amalan-amalan ini kepada akupunktur, meditasi, yoga dan terapi urut. Ia memang sudah disokong oleh data saintifik yang menunjukkan ia membantu meningkatkan mutu kehidupan pesakit," kata Dr Frenkel.  

- CNA/AQ/aq

Top