Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Perubahan sikap tanda kemurungan warga tua yang kurang ketara

Sebagai anak, ia sudah tentunya menjadi tanggungjawab kita menjaga kedua ibu bapa kita apabila mereka sudah tua. Bagaimanpun, kadang-kala ada segelintir warga tua ini diabaikan oleh anak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan sikap tanda kemurungan warga tua yang kurang ketara

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 02 Mar 2020 09:01PM Dikemas Kini : 02 Mar 2020 09:03PM

KUALA LUMPUR: Sebagai anak, ia sudah tentunya menjadi tanggungjawab kita menjaga kedua ibu bapa kita apabila mereka sudah tua. Bagaimanpun, kadang-kala ada segelintir warga tua ini diabaikan oleh anak mereka.

Antara punca perkara ini berlaku adalah mungkin tiada persefahaman.

Selain itu, semakin berusia ibu bapa, semakin berubah sikap mereka kepada cepat marah, sensitif terhadap teguran, mudah merajuk dan suka menyendiri, lapor MyMetro.

Situasi itu biasa dihadapi anak yang menjaga ibu bapa berusia sehingga membuatkan mereka runsing memikirkan cara terbaik mengelak sebarang konflik.

Jangan biarkan keadaan itu berlarutan dan segera bantu mereka kerana perubahan sikap adalah tanda mengalami masalah kemurungan orang tua yang kurang ketara.

Perunding Perubatan Geriatrik dan Psikiatri Ramsay Sime Darby Health Care, Dr Wan Izwin Najla Wan Hassan ditukil MyMetro sebagai berkata, warga emas mempunyai tanda kemurungan yang berbeza berbanding orang muda.

SIMPTOM ORANG TUA ALAMI KEMURUNGAN

Menurutnya, bagi kemurungan lebih serius, lazimnya orang tua hilang selera makan, kerap atau tidak tidur, enggan bercakap dengan orang dan tidak menguruskan diri seperti mandi serta menyalin pakaian.

“Ada juga orang tua menjadi pelupa atau sering berasa bimbang menyebabkan anak menyangka mereka menghadapi masalah nyanyuk atau demensia.

“Oleh itu, sangat penting untuk anak peka dengan perubahan awal yang berlaku kepada ibu bapa mereka.

“Luangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa untuk mendengar luahan atau masalah yang mengganggu fikiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, ada kalanya, perubahan itu kerana mereka berasa tersisih, sunyi atau tertekan kerana kehilangan orang tersayang, pekerjaan dan masalah kewangan.

“Sekiranya anak sukar berkomunikasi dengan ibu bapa, mereka boleh merujuk kepada pakar kesihatan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Jika kemurungan itu serius, lebih baik bawa ibu bapa mereka berjumpa pakar,” katanya.

25% INDIVIDU BERUSIA LEBIH 65 TAHUN ALAMI KEMURUNGAN

Kajian menunjukkan 25 peratus daripada individu berusia lebih 65 tahun mengalami masalah kemurungan.

Dr Wan Izwin Najla berkata, pemeriksaan awal penting bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan yang betul untuk menghalang sebarang masalah berkaitan mental menjadi lebih teruk.

“Ramai tidak menyedari pentingnya kesihatan mental kerana mereka yang mengalami masalah ini selalunya berhadapan gangguan kehidupan seharian menyamai penyakit fizikal.

“Contoh, kemurungan boleh mengganggu tidur dan tumpuan sekali gus menjejaskan prestasi kerja serta hubungan keluarga,” katanya.

Menurut Dr Wan Izwin Najla, beliau sering menasihati pesakit agar sentiasa aktif pada usia tua kerana ia membantu mengurangkan masalah mental dan meningkatkan daya ingatan.

“Saya juga menggalakkan mereka menyertai aktiviti kelab sosial untuk bertemu rakan dan bergelak ketawa bagi mengurangkan tekanan.

“Rutin mingguan dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah penting untuk penuaan positif kerana dapat membantu mereka menghindari kebimbangan dan kemurungan,” katanya.

Menurut Dr Wan Izwin Najla, penuaan positif ialah kesejahteraan positif, kesihatan fizikal, sosial dan mental yang baik serta pembabitan berterusan dalam keluarga, kumpulan rakan sebaya serta masyarakat sepanjang proses penuaan.

Jelasnya, ia dapat dicapai menerusi penyertaan aktif dalam aktiviti yang mencabar fizikal dan mental serta pembabitan aktiviti kemasyarakatan.

Sumber : Agensi berita/NA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan