Images
  • muji file singapore
    (Gambar: Facebook/Muji Singapore)

Perniagaan Muji di S'pura, M'sia tidak terjejas oleh notis perlindungan muflis di AS

SINGAPURA: Rangkaian kedai runcit dari Jepun, Muji, menjelaskan bahawa perniagaannya di Singapura dan Malaysia "berjalan seperti biasa" meskipun cabang syarikat itu di Amerika Syarikat memfailkan notis perlindungan muflis.

Seorang jurucakap bagi Muji Singapore berkata walaupun perniagaannya di Amerika Syarikat mengalami "kerugian berterusan" disebabkan oleh faktor-faktor seperti sewa tinggi, operasi Singapura dibantu oleh langkah-langkah bantuan Pemerintah bagi COVID-19.

"Kami menerima rebat sewa yang dapat meringankan beberapa kos kami yang lebih berat buat sementara waktu," kata jurucakap itu ketika menjawab pertanyaan Mediacorp.

Syarikat milik Muji di Jepun, Ryohin Keikaku mengumumkan pada 10 Julai bahawa unit Muji di Amerika Syarikat memfailkan perlindungan muflis. Cabang di Amerika Syarikat itu akan menutup kedai yang tidak menguntungkan dan merundingkan semula sewa di negara itu, di mana 18 cawangannya ditutup sejak pertengahan Mac akibat pandemik COVID-19, kata Encik Ryohin Keikaku ketika itu.

Jurucakap Singapura berkata Ryohin Keikaku secara sukarela memfailkan perlindungan bagi cabang Amerika Syarikat untuk memastikan "kesihatan, pertumbuhan dan daya maju syarikat pada masa depan".

Ryohin Keikaku tidak merancang untuk mengemukakan permohonan serupa di negara lain, kata jurucakap itu.

"Kami ingin meyakinkan semua rakan korporat dan media kami bahawa operasi perniagaan di Muji Singapura dan Muji Malaysia adalah seperti biasa," kata jurucakap itu.

Muji mengendalikan 10 cawangan di Singapura.

Perniagaan di Singapura terjejas oleh pandemik COVID-19 dan tindakan "pemutus jangkitan" yang dilaksanakan untuk membendung penularan jangkitan itu, menurut jurucakap itu.

Dalam jangka masa hampir dua bulan tersebut, Muji mengambil tempahan e-mel dan kini juga menjual barang-barangnya di eCapitamall dan Shopee.

Selepas kedai dibuka semula pada Fasa 2 pasca tempoh pemutus jangkitan, penjualan meningkat kepada sekitar 60 hingga 70 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, tambahnya.

"Kami yakin pembelian online akan menjadi norma baru setelah COVID-19. Dalam rancangan jangka panjang, kami akan melancarkan platform e-dagang kami sendiri. Langkah-langkah mengurangkan kos juga dipantau dengan teliti untuk memastikan daya maju jangka panjang perniagaan kami,” katanya.

- CNA/TQ/tq

Top