Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Permata Singapore tawar bufet berkonsep al fresco sempena Aidiladha

Kini dengan peraturan duduk makan di premis makanan dan minuman (F&B) dilonggarkan, bolehlah anda berkumpul dengan orang tersayang sempena Hari Raya Aidiladha - tapi ingat, sentiasa patuhi peraturan COVID-19 serta jaga jarak selamat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Permata Singapore tawar bufet berkonsep al fresco sempena Aidiladha

(Gambar-gambar: Permata Singapore)

Diterbitkan : 15 Jul 2021 09:46PM Dikemas Kini : 15 Jul 2021 09:48PM

SINGAPURA: Kini dengan peraturan duduk makan di premis makanan dan minuman (F&B) dilonggarkan, bolehlah anda berkumpul dengan orang tersayang sempena Hari Raya Aidiladha - tapi ingat, sentiasa patuhi peraturan COVID-19 serta jaga jarak selamat.

Jika anda masih mencari tempat untuk menjamu selera, mungkin anda boleh pertimbangkan Permata Singapora sebagai antara tempat makan pilihan.

Mulai 19 Julai hingga 25 hari bulan ini, restoran itu akan menyediakan sajian bufet Aidiladha pertamanya yang lengkap dengan stesen memotong daging di ruang terbuka.

(Gambar: Permata Singapore)

Restoran yang menyajikan masakan Nusantara ini bertempat di Gedung Kuning yang bersejarah, di Sultan Gate dekat kawasan Kampong Gelam.

Berharga S$58++ untuk makan tengah hari dan S$68 bagi makan malam, menu khas Eid 2021 itu menampilkan sajian tambahan di samping menu bufet a la carte yang tersedia.

Hidangan yang disediakan termasuk Nasi Koma Koma iaitu sajian mewah menggunakan beras basmati yang dimasak dengan safron, kacang pistachio, badam, kurma, buah pic kering, kismis dan rempah-ratus.

Juga ditawarkan dalam menu khas itu ialah Kambing Bakar yang diperapkan dengan rempah ratus khas, disajikan bersama sos gulai belimbing dan dalcha yang mengandungi kentang, terung, tomato serta kacang panjang.

Cef tanah air, Firdauz Nasir, juga menyiapkan juadah khas Kerabu Jambu Mawar menggunakan daun salada butterhead, hirisan nipis jambu mawar dan hirisan timun yang digaul bersama calamansi, tairu, kepingan badam serta kismis.

Pencuci mulut termasuk Suji Keseri iaitu semolina bakar dengan kacang gajus, kismis serta kulit limau kering dan disajikan dengan sirap buah pelaga.

Jika anda khuatir tidak dapat tempat duduk kerana meja penuh ditempah, anda boleh menikmati dua jenis sajian dulang panggang campuran dari keselesaan rumah anda dengan membungkusnya untuk dibawa pulang atau melalui khidmat penghantaran.

(Gambar: Permata Singapore)

Setiap dulang menyajikan Nasi Koma Koma yang digandingkan bersama Kambing Bakar, Ayam Panggang serta Daging Panggang.

Sajian 'Mixed Grilled Platter' berharga S$198++, sesuai dijamu sehingga empat orang manakala yang berharga S$358++ pula boleh dinikmati sehingga lapan orang.

Permata Singapore membuka pintunya kepada orang ramai pada Mei lalu. Gedung Kuning, tempat ia beroperasi, dibina pada lewat 1850-an.

Bahagian luarnya diilhamkan seni bina Palladian, yakni gaya seni bina Eropah yang popular ketika itu. Bahagian dalaman Gedung Kuning, persis seperti bekas Istana Kampong Glam yang terletak bersebelahannya, mengikut reka bentuk rumah tradisional Melayu.

Pada 1864, Tengku Mahmud, putera bongsu Sultan Johor, menamakan rumah agamnya Gedung Kuning. Kuning adalah warna diraja yang biasa dikaitkan dengan Sultan Melayu.

Hari ini, Gedung Kuning adalah "destinasi gaya hidup Nusantara pertama" di Singapura. Selain Permata Singapore, bangunan itu juga menempatkan sebuah kafe buku dan daya tarikan Amazing Chambers iaitu sebuah bilik permainan di mana para peserta cari jalan untuk membebaskan diri dengan menghuraikan misteri berdasarkan sejarah Singapura.

Tempahan boleh dibuat secara online di lelaman https://www.gedungkuning.sg/book atau menerusi panggilan +65 9082 994.

Untuk membungkus hidangan atau membuat pesanan penghantaran, sila lakukannya di https://www.gedungkuning.sg/order

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan