Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Permainan 'escape', gabungan seni & AR antara tarikan Minggu Seni S'pura pada Januari 2020

Buat julung-julung kalinya, anda berpeluang menjadi 'detektif' dan membantu menyelesaikan satu kes pencurian yang berlaku di Galeri Nasional Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, anda berpeluang menjadi 'detektif' dan membantu menyelesaikan satu kes pencurian yang berlaku di Galeri Nasional Singapura.

Misteri kehilangan khazanah yang dicuri daripada sebuah kapsul masa di bawah bangunan Mahkamah Agung yang lama, pada tahun 1937, menjadi tanda tanya apabila sekeping nota dijumpai.

Namun, itu bukanlah pencurian sebenar tetapi sebuah permainan 'escape' yang dianjurkan sempena Minggu Seni Singapura yang bakal diadakan dari 11 hingga 19 Januari 2020.

Menerusi permainan 'escape' terbesar di Galeri Nasional Singapura berjudul 'True Lies: Secrets of the Gallery' itu nanti, orang ramai secara kreatif diajak membongkar rahsia-rahsia bangunan Mahkamah Agung sambil mempelajari lebih lanjut tentang arca-arca dan lukisan seni.

Maklumat tiket dan keterangan lanjut boleh didapati menerusi lelaman Galeri Nasional Singapura mulai Disember depan. Kegiatan ini hanya terbuka kepada golongan berusia 13 tahun ke atas.

Sempena Minggu Seni Singapura itu, kesemuanya lebih 100 acara yang menggabungkan seni dengan teknologi realiti tambahan (AR) serta pameran di ruang-ruang awam dan gaya hidup akan ditampilkan semasa pesta tersebut.

Acara tahunan bagi meraikan warna-warni landskap seni di Singapura adalah inisiatif bersama Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

INTERAKSI DENGAN KARYA SENI DI TEMPAT AWAM

Ini merupakan edisi kelapan acara kesenian besar-besaran Singapura itu dianjurkan.

Kebanyakan pameran yang bakal dipamerkan turut menggabungkan seni dan teknologi di kawasan awam penuh interaktif untuk menarik segenap lapisan usia.

Antaranya merupakan satu jejak seni awam (Public Art Trail) di daerah pusat bandar (CBD) yang mengaitkan elemen realiti tembahan (AR) bagi meningkatkan lagi pengalaman orang awam.

Menurut seorang jurucakap NAC, Cik Angela Tan: "Anda tidak perlu menjadi seorang pengamat seni yang kerap untuk datang dan mengalami sendiri karya seni yang berdekatan dengan tempat tugas anda."

Selain di kawasan bandar, Cik Tan menambah, ada banyak lagi program yang akan diadakan di kawasan kejiranan dan yang merentasi kawasan kebudayaan di Singapura.

"Minggu Seni Singapura adalah wadah di mana kami juga menyediakan seniman peluang untuk mempamerkan karya - karya baru - tapi untuk meneroka naratif yang sangat peribadi kepada mereka,"jelas Cik Tan.

DALAMI DAN FAHAMI ISU-ISU KEROHANIAN MENERUSI BAKAT SENIMAN MELAYU TEMPATAN

Antara seniman muda yang bakal menampulkan 'isi hatinya' ialah Encik Nhawfal Juma'at. Dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang seni, penyertaannya dalam Minggu Seni Singapura kali ini merupakan kali ketiga buat dirinya.

Encik Nhawfal bergabung dengan enam lagi penggiat seni dari Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD), untuk mempamerkan karya berjudul Pneuma: Kerohanian di Zaman Kontemporari (Pneuma: Of Spirituality in a Contemporary Age).

"‘Pneuma’ adalah perkataan Yunani yang bermaksud 'untuk bernafas' atau 'roh'. Jadi kami mempertengahkan isu-isu kerohanian yang bukan sahaja diketengahkan dalam segi agama atau kegiatan kaum tapi daripada kegiatan harian.

"Saya rasa pada zaman sekarang, zaman digital, ramai yang saya boleh katakan terlupa tentang diri sendiri, ke mana mereka mahu pergi selepas ini," kongsi Encik Nhawfal, yang menjadikan asam garam hidupnya sebagai inspirasi.

Pengalaman menyertai Minggu Seni Singapura kali ini lebih manis lagi buat Cik Fajrina Razak.

Jika tahun lepas, beliau yang merupakan seorang penggiat seni lukisan batik, memegang tugas sebagai kurator dan pelukis, tahun ini beliau 'naik pangkat' kerana menjadi pemudah cara untuk 'Pneuma'.

"Saya harap pengunjung akan lebih terbuka melihat lukisan-lukisan pameran kami yang sedikit provokatif. Tetapi harapan saya ialah mereka lebih terbuka dengan penerimaan tentang kerohanian dalam kehidupan seharian kita," kata Cik Fajrina, yang turut terlibat dalam dua acara lain sepanjang acara seni ini.

Pameran 'Pneuma' bakal menemui orang ramai di Pusat Seni Stamford dari 11 Januari hingga 6 Februari 2020. Masuk adalah percuma. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan