Images

Perjuangan lestari batik Kudus di tengah-tengah COVID-19

BERITAmediacorp: Bukan mudah untuk mempertahankan seni kraf warisan apatah lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Di Indonesia, seorang tokoh batik dan pereka fesyen tersohor bergabung tenaga untuk memartabatkan seni batik Kudus kembali ke zaman kegemilangannya.


Denny Wirawan pereka fesyen terkenal memperjuangkan batik Kudus. (Gambar: Denny Wirawan/Instagram)

Namanya Denny Wirawan dan beliau sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat fesyen Indonesia. Pereka fesyen tersohor Indonesia itu sangat dikenali dengan rekaan yang menggabungkan seni tekstil tradisional Indonesia dari pelbagai daerah seperti tenun, sulam, songket dan batik.


Minggu Fesyen New York. (Gambar: Denny Wirawan & Batik Budaya Djarum Foundation)

Pada 2016, beliau menerima pengiktirafan besar apabila diundang ke Minggu Fesyen New York yang berprestij untuk memperkenalkan batik Kudus ke persada antarabangsa.

Denny merupakan pereka fesyen pertama dari Indonesia yang diberi penghormatan itu dan koleksinya di New York menampilkan 15 rekaan BaliJava dengan motif batik tulis yang sinonim dengan kota Kudus di Jawa Tengah.

"Ini namanya beras kecer atau beras tumpah yang mempunyai falsafah untuk kemakmuran. Keagungan dan kemakmuran dengan bunga padma ini. Di sini juga ada detail dari ciri saya iaitu embroideri dan motif merak ini juga dari ciri khas batik Kudus sebetulnya," kongsi beliau sambil menunjukkan pakaian dengan motif biji-biji beras.


Batik Kudus Balijava. (Gambar: dennywirawan.com)

PANCING MINAT ANAK MUDA

Kehalusan seni cantingan dan reka cipta tekstil dalam rekaan Denny hasil sentuhan jejari pakar batik, Ummu Asiyati, pemilik Alfaa Shoofa Batik. Pertemuannya dengan seorang tokoh batik yang sudah berusia 90 tahun menyuntik semangat baru buat Ummu untuk terus memperjuangkan seni batik Kudus.

"Saya merenung, memikir, kenapa ya Kudus tidak mempunyai batik? Saya membina anak-anak muda. Anak-anak muda, yang mereka tidak tertarik ke kilang, saya ajak belajar di sini. Saya ajar membatik dari mula. Mereka belum tahu apa-apa, yang namanya canting saya rasa belum pernah melihat," ujar beliau.

Ummu Asiyati dan Denny Wirawan digandingkan menerusi inisiatif Bakti Budaya Yayasan Djarum yang berusaha melestarikan batik Kudus yang pernah diancam kepupusan.


Demi melestarikan batik kudus, penting untuk menarik minat anak muda. (Gambar: Ummu Asiyati/Instagram)

ADA APA DENGAN BATIK KUDUS?

Keindahan batik Kudus terletak bukan hanya pada coraknya yang halus. Penggunaan warna dalam pembikinannya unik kerana membabitkan proses pewarnaan yang berpindah-pindah di tiga daerah.

Contohnya, warna merah dicelup di Lasem. Warna biru pula dicelup di Pekalongan atau Kudus, sedangkan warna cokelat soga dicelup di Solo atau Yogyakarta.

Sayangnya perusahaan batik Kudus mula merosot selepas 1980-an apabila ramai karyawan batik memilih untuk bekerja di kilang rokok yang menawarkan gaji lebih lumayan. Malah adanya teknologi batik cap juga menyebabkan harga turun dengan banyaknya.


Ummu Asiyati antara mereka yang gigih memperjuangkan batik Kudus. (Gambar: Ummu Asiyati/Instagram)

Namun, disebabkan kurangnya batik Kudus di pasaran, harga kain sarung buatan tangan kini boleh mencecah sehingga AS$20,000 ((convert to SGD)) terutama yang dihasilkan antara tahun 1930 dengan 1940.

USAHA LESTARI BATIK KUDUS DIHAMBAT COVID-19

Selain bersaing dengan batik cap, cabaran mengembalikan kegemilangan seni kraf warisan bangsa Indonesia itu kini dihambat pula dengan munculnya pandemik COVID-19.

"Waktu pandemik ini benar-benar kerajinan batik itu hampir gulung tikar. Tidak terlalu banyak yang membeli dan mereka juga bingung mahu jual ke mana. Akhirnya mereka banyak dari mereka beralih kerjaya.


Seorang pekerja dalam industri batik. (Gambar: Alfa Shoofa/Instagram)

"Ada yang menjadi pemandu Gojek. Ada yang jadi nelayan saja. Kita khuatirkan kalau semuanya akan seperti ini nanti lama-lama batik kita akan punah," luah Pengerusi Operasi Yayasan Batik Indonesia, Cik Coreta Louise.

Rancangan Encik Denny untuk meneroka pasaran di Eropah turut terjejas.

"Dua tahun yang lalu, saya cuba untuk masuk dulu melalui Fashion Week, tapi kerana ada apa ada masalah pandemik jadi juga agak tertunda dan terhambat," kata beliau.

BERALIH ONLINE AGAR TERUS BERKEMBANG

Bagaimanapun penggiat industri itu enggan sekadar berpeluk tubuh.

Cik Ummu Asiyati berkongsi: "Kami mengambil inisiatif di tengah-tengah era pandemik sekarang ini, kami melakukan pameran secara kecil-kecilan.Pada saat pandemik orang tidak berani datang ke sini jadi kami menjalankan penjualan secara online.

"Harapan saya memang supaya batik Kudus ini berkembang terus. Jangan hanya boleh membuat batik motif kuno, tapi boleh berkembang membuat motif-motif yang baru yang lebih menarik, dikenali masyarakat Kudus dan sekitarnya."

Encik Denny pula menambah bahawa sebagai pereka batik beliau berasa bertanggungjawab supaya batik sebagai warisan budaya dari leluhur ini dapat terus bertahan dan bahkan berkembang.

"Saya mengharapkan lebih banyak lagi generasi muda yang bisa memakai batik ini," tambah Denny.

Beliau sudahpun meluaskan koleksinya untuk menarik segmen pasaran "ready to wear" (siap pakai) tanpa mengabaikan ciri-ciri eksklusifnya.

- BERITAmediacorp/RR/sm

Top